Piston.my

Perdana Menteri Malaysia Dan China Ditunjukkan Model Serba Baharu Proton Saga Dan e.Mas 5

Perdana Menteri Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, dan Perdana Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Li Qiang, hari ini melawat ruang pameran Proton yang menampilkan dua model terbaharu, Proton Saga serba baharu dan Proton e.MAS 5, bersempena Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.  

Turut hadir pada majlis ini ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Senator Tengku Datuk  Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Luar Negeri, Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan,  Pengerusi Geely Holding Group, Eric Li Shufu, serta Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar.  

Majlis ini menandakan detik bersejarah dalam hubungan jangka panjang antara Malaysia dan Republik Rakyat China,  yang melambangkan komitmen bersama kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan  industri, inovasi teknologi dan kemajuan masa depan.

Kehadiran kedua-dua pemimpin tertinggi ini turut menegaskan  kepentingan sektor automotif sebagai bidang kerjasama utama dalam menyokong agenda transformasi negara serta  penglibatan berterusan China dalam pembangunan industri Malaysia.

Paparan umum dua model terbaharu Proton ini mencerminkan kejayaan kerjasama strategik antara DRB-HICOM  Berhad dan Geely Holding Group dalam memacu transformasi Proton ke arah menjadi syarikat automotif moden  dan berdaya saing di peringkat global.  

Melalui perkongsian ini, Proton menggabungkan kepakaran kejuruteraan tempatan dengan teknologi terkini daripada  Geely bagi memperkukuh ekosistem automotif negara. Usaha ini turut menyokong pembangunan kemahiran baharu,  mendorong inovasi tempatan serta menyumbang kepada pertumbuhan industri yang mampan dan berimpak tinggi. 

Proton Saga Serba Baharu dan Proton e.MAS 5 lambang kemampuan serta inovasi Malaysia  Proton Saga serba baharu yang direka dan dihasilkan berasaskan platform Advanced Modular Architecture (AMA)  merupakan model pertama yang direka bentuk, dibangunkan dan diuji sepenuhnya oleh tenaga kerja rakyat tempatan  dengan sokongan teknikal daripada Geely.

Model ini juga memiliki hak harta intelek (Intellectual Property Rights) sepenuhnya milik Proton , satu pencapaian penting yang mencerminkan keupayaan dan kebolehan rakyat Malaysia  dalam menghasilkan kenderaan yang memenuhi piawaian antarabangsa.  

Sementara itu, Proton e.MAS 5 yang direka dan dihasilkan dengan teknologi dan reka bentuk terkini daripada Geely,  merupakan kenderaan elektrik mampu milik pertama Malaysia serta model kedua dalam barisan e.MAS selepas  kejayaan pelancaran Proton e.MAS 7 tahun lalu. Model ini menjadi simbol kesediaan Proton untuk memacu peralihan  negara ke arah mobiliti hijau, seiring dengan matlamat yang digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga  Negara (National Energy Transition Roadmap).  

Mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab automotif serantau melalui Automotive Hi-Tech Valley (AHTV)  Paparan dua model terbaharu Proton di Sidang Kemuncak ASEAN ini mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara  Malaysia dan Republik Rakyat China, serta menunjukkan komitmen bersama kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama dalam industri, pemindahan teknologi, dan pembangunan modal insan bagi menyokong pertumbuhan  ekonomi yang berterusan.  

Inisiatif ini turut sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab automotif serantau melalui pembangunan  Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak. Projek strategik ini bakal menjadi pemangkin utama  kepada pelaburan, pembuatan berteknologi tinggi dan inovasi masa depan, sekali gus memperkukuh kedudukan  Malaysia sebagai peneraju industri automotif di rantau Asia Tenggara.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan