Piston.my

Operasi Besar JPJ KL: 939 Kenderaan Komersial Disaman, 14 Dirampas

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur telah mempergiat usaha penguatkuasaan terhadap kenderaan komersial yang membawa muatan berlebihan melalui operasi besar-besaran “Perang Terhadap Kenderaan Komersial Lebih Muatan”. Sejak operasi ini bermula pada 14 Oktober lalu, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 2,398 saman terhadap 939 kenderaan, manakala 14 kenderaan telah disita atas pelbagai kesalahan serius termasuk membawa muatan melebihi had, lesen tamat tempoh dan pelanggaran syarat perkhidmatan.

Menurut kenyataan JPJ, siasatan mendapati sebahagian daripada kenderaan yang disita didapati beroperasi dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans yang sah, serta tidak mematuhi syarat-syarat perkhidmatan yang ditetapkan. Lebih membimbangkan, terdapat pemandu yang tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) atau Lesen Vokasional (PSV/GDL) yang sah. Daripada jumlah pemandu yang ditahan, enam orang merupakan warga asing dari Indonesia dan India, manakala lapan lagi adalah rakyat tempatan.

JPJ memaklumkan bahawa tindakan undang-undang telah diambil terhadap pemandu serta pemilik kenderaan yang terlibat di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987. Operasi ini akan diteruskan sehingga 31 Disember 2025 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan JPJ untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan memastikan pematuhan sepenuhnya dalam kalangan pengendali kenderaan komersial.

Pihak JPJ turut menjelaskan bahawa tumpuan utama operasi adalah di kawasan panas (hotspot) yang dikenal pasti sering digunakan oleh kenderaan membawa muatan berat seperti kuari, pelabuhan dan kawasan perindustrian berat. Antara jenis muatan berisiko tinggi yang sering dikesan termasuk batu, pasir, tanah, silika, arang batu, besi, kelapa sawit dan balak. Sehingga kini, hampir 6,000 kenderaan telah diperiksa sejak kempen ini dilancarkan.

Dalam masa yang sama, JPJ turut berdepan pelbagai cabaran di lapangan, termasuk pemandu yang enggan memberi kerjasama atau memberikan pelbagai alasan seperti kenderaan rosak bagi mengelak daripada ditimbang. JPJ menegaskan bahawa tindakan sebegini dianggap sebagai halangan terhadap tugas penguatkuasaan di bawah Seksyen 234 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, yang boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Melalui operasi berterusan ini, JPJ berhasrat untuk membanteras amalan berbahaya dalam kalangan pengendali kenderaan berat, selain memperkukuh budaya tanggungjawab dan keselamatan jalan raya di Malaysia.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan