BHPetrol telah mengadakan program pengisian minyak motosikal bersempena majlis perasmian pembukaan bagi stesen BHPetrol Paroi. Stesen ini telah mula beroperasi semenjak bulan Ogos 2025 dan merupakan stesen BHPetrol yang ke-23 di Negeri Sembilan.
Stesen BHPetrol Paroi menyediakan kemudahan jualan minyak BHPetrol Infiniti Petrol 95, 97, Diesel B10 dan Diesel B7 yang berkualiti tinggi kepada pemandu-pemandu di kawasan Seremban. Stesen ini turut menjamin bekalan petrol yang stabil serta memanfaatkan subsidi kerajaan (BUDI95) untuk memastikan pengguna dapat terus menikmati harga petrol yang bersubsidi, seterusnya meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Kedudukannya sangat strategik untuk disinggah kerana ia dilengkapi dengan kedai serbaneka BHPetromart, ruangan solat, Apacaba Bakery, kelengkapan ePay dan tentunya bilik tandas yang besar dan bersih untuk kemudahan pelanggan.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan dan A.D.U.N Lenggeng, YB Datuk Hj Mohd Asna bin Hj Amin, serta Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Ir. Azizul Azily Ahmad dan diserikan dengan kehadiran Ketua Polis Daerah Seremban, YDH ACP Mohammad Hatta bin Che Din dan Ketua Polis Balai Paroi, SM Mohd Iskandar bin Adam serta tetamu jemputan yang lain.
“Pihak kami amat berbesar hati untuk memberi pengisian minyak petrol kepada motosikal sebagai tanda usaha untuk mengukuhkan hubungan antara stesen ini dengan komuniti. Inisiatif ini bertepatan dengan penggunaan BUDI95 yang juga mencerminkan komitmen BHPetrol dalam menyokong aspirasi kerajaan ke arah membantu masyarakat, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Semoga usaha ini dapat dimanfaatkan bersama sekaligus memberi impak yang positif bukan hanya kepada perniagaan malah kepada para pengguna secara keseluruhan,” kata Ir. Azizul Azily Ahmad.
BHPetrol merakamkan setinggi penghargaan kepada semua yang hadir ke program ini dan memberi sokongan berterusan kepada jenama BHPetrol sebagai syarikat tempatan.









