Piston.my

Proton Catat Jualan Tertinggi Tahun 2025 Pada Bulan Oktober

Oktober menjadi bulan yang istimewa buat Proton. Di sebalik jadual yang  dipenuhi dengan pelbagai acara dan pelancaran besar, termasuk pengenalan model kenderaan elektrik (EV) mampu milik pertama negara, syarikat menutup bulan ini dengan satu lagi kejayaan apabila mencatat jualan tertinggi bagi tahun 2025.

Momentum positif yang terbina sepanjang bulan tersebut menyaksikan sebanyak 15,575 unit kenderaan terjual  di pasaran tempatan dan antarabangsa. Angka ini menandakan peningkatan 16.3 peratus berbanding bulan  sebelumnya dan menjadikan jumlah keseluruhan jualan tahun setakat ini sebanyak 129,872 unit, iaitu 3 peratus lebih tinggi daripada tempoh sama tahun lalu. 

Pencapaian Proton seiring dengan kebangkitan semula industri automotif negara. Jumlah Keseluruhan Industri bagi  Oktober dianggarkan melonjak 32.3 peratus kepada 77,377 unit, paras tertinggi bagi tahun ini. Dengan hanya dua bulan lagi sebelum 2025 melabuhkan tirainya, pasaran automotif Malaysia kekal di landasan kukuh untuk melepasi angka  800,000 unit dan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju utama di rantau ASEAN. 

Ketika perhatian semakin tertumpu kepada pelancaran model serba baharu Proton Saga, model sedia ada terus  mencipta sejarah sebelum menyerahkan baton kepada penggantinya. Dengan jualan sebanyak 8,373 unit pada bulan Oktober, Proton Saga mencatat rekod tertinggi sejak Julai 2013 dan kini berada di tangga kedua carta jualan nasional.  Jumlah jualan bagi sepuluh bulan pertama tahun ini mencecah 59,107 unit, menandakan pencapaian kukuh yang bakal  menjadi penanda aras bagi generasi baharu Proton Saga untuk terus menambat hati para peminatnya. 

Kisah kejayaan turut dikongsi oleh Proton X50 yang terus mencipta momentum sejak diperkenalkan pada 24 Julai lalu.  Sebanyak 2,693 unit lagi terjual pada bulan Oktober, menjadikan jumlah keseluruhan jualan dari Ogos hingga Oktober  sebanyak 10,418 unit.

Secara keseluruhan, jualan tahun setakat ini meningkat 24.7 peratus berbanding tahun 2024  kepada 23,847 unit. Peningkatan ini membuktikan keyakinan pengguna terhadap SUV segmen-B terkemuka Proton  yang menggabungkan prestasi, reka bentuk sporty, teknologi pintar dan ciri keselamatan yang menyeluruh.  

Selepas berdepan tempoh mencabar pada bulan sebelumnya dengan jualan menurun ke paras terendah tahun ini,  Oktober menyaksikan kebangkitan semula bagi model Proton X70, Proton S70, Proton S90 dan Proton Persona. Antara  yang mencatat peningkatan tertinggi ialah Proton X70, SUV segmen-C yang merekodkan jualan sebanyak 680 unit,  naik 56.3 peratus berbanding September.

Proton S70 pula kekal sebagai peneraju sedan segmen-C dengan 1,402 unit  terjual, meningkat 43.2 peratus. Model lain turut menunjukkan prestasi positif. Proton X90, peneraju SUV segmen-D,  mencatat jualan sebanyak 209 unit, meningkat 7.7 peratus, manakala Proton Persona pula naik 4.7 peratus dengan  1,215 unit terjual sepanjang bulan tersebut. 

Dalam masa yang sama, Oktober turut menyaksikan pelancaran Proton e.MAS 5, model EV kedua di bawah jenama  elektrik Proton. Walaupun model baharu itu menarik perhatian ramai dengan spesifikasi menyeluruh dan harga  berpatutan, e.MAS 7 terus mendominasi pasaran EV negara.

Sebanyak 758 unit terjual pada bulan tersebut,  menjadikan jumlah keseluruhan jualan tahun setakat ini sebanyak 7,413 unit dan mengukuhkan lagi kedudukannya  sebagai model EV nombor satu di Malaysia.

Prestasi jualan Proton bagi bulan Oktober amat memberangsangkan dan merupakan hasil daripada usaha  berterusan untuk menarik lebih ramai pelanggan mencuba pandu uji kenderaan Proton. Melalui pengalaman ini,  mereka dapat merasai sendiri tahap kualiti dan prestasi produk Proton yang disokong oleh rangkaian pengedar  paling meluas di seluruh negara.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan