Dalam satu langkah baharu, Volvo Car Malaysia mengumumkan sambungan perkhidmatan data Volvo Car Connect Plus secara percuma selama setahun tambahan untuk pemilik terpilih yang langganannya akan tamat tidak lama lagi.
Dikenali sebagai Digital Services sebelum ini, Volvo Car Connect Plus ialah pakej sambungan data yang disertakan bersama model Volvo generasi terkini dengan sistem Google built-in, membolehkan penstriman media tanpa tethering, kemas kini dalam talian (OTA), serta integrasi lancar dengan perkhidmatan Google seperti Google Assistant, Google Maps, dan Google Play Store.
Pakej ini turut menjadi nilai tambahan bagi pemilik Volvo, dengan sehingga lima tahun sambungan data percuma yang diberikan bersama setiap pembelian kenderaan baharu.
Ketika model Volvo dengan sistem Google built-in mula ditawarkan di Malaysia, pelanggan menikmati empat tahun sambungan data percuma. Tempoh itu kemudiannya dilanjutkan kepada lima tahun bermula dengan model tahun 2024.
Sebagai penghargaan kepada kelompok pelanggan terawal ini, Volvo Car Malaysia kini melanjutkan perkhidmatan Volvo Car Connect Plus secara automatik selama setahun, agar tawaran mereka sejajar dengan model terkini. Pelanjutan ini berlaku secara automatik tanpa memerlukan kemas kini perisian atau penggantian kad SIM.
Pemilik model tahun 2022 dan 2023 yang dibina atas platform Compact Modular Architecture (CMA) dan Scalable Product Architecture generasi pertama (SPA1) akan menerima lanjutan langganan data percuma selama setahun selepas pakej sedia ada mereka tamat. Model model yang terlibat adalah seperti berikut:
| SUV / Crossover | Sedan | Estate | |
| Model Tahun 2022 |
|
|
|
| Model Tahun 2023 |
|
|
|
Sun Qian, Ketua Total Offer untuk rantau APeC, berkata, “Pemberian tambahan tempoh langganan percuma Volvo Car Connect Plus ini adalah tanda penghargaan kami kepada pelanggan yang setia, bagi membolehkan mereka menikmati sepenuhnya pengalaman kenderaan Volvo dengan sistem Google built-in – hanya dengan sebutan ‘Hey Google’ untuk menavigasi destinasi atau melaras suhu pendingin hawa, tanpa mengalih tumpuan daripada pemanduan.”
Beliau menambah, “Pelanggan yang merupakan pengguna terawal kini boleh berasa lebih tenang kerana mereka juga akan menikmati lima tahun penuh akses data percuma, tanpa perlu melanggan pelan baharu dalam masa terdekat.”
Volvo Car Connect Plus menjadi komponen penting bagi generasi baharu kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) Volvo yang dipacu oleh perisian. Dengan teknologi AI-powered core computing yang diperkenalkan pada model EX90 dan bakal digunakan pada ES90 serta EX60, Connect Plus membolehkan lebih banyak data diproses secara dalam talian, meningkatkan keupayaan pembelajaran mesin untuk sistem pemanduan autonomi dan keselamatan jalan raya dunia sebenar.
Satu lagi kelebihan utama untuk pemilik ialah langganan Connect Plus terikat kepada kenderaan, bukan kepada individu. Jika kenderaan dijual, baki tempoh sah dan kuota data akan dipindahkan kepada pemilik baharu, sekaligus menambah nilai jual semula kenderaan tersebut.







