PRO-NET, anak syarikat pengeluar automotif nasional Proton, hari ini mengumumkan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan EV Proton e.MAS. Sejak dilancarkan, Proton e.MAS 7 telah mencatat jualan sebanyak 7,413 unit, merangkumi 6,954 unit di pasaran tempatan dan 459 unit eksport setakat 31 Oktober 2025. Proton e.MAS 7 terus mengekalkan kedudukannya sebagai Model EV No.1 di Malaysia selama 10 bulan berturut-turut.
Pada masa yang sama, Proton e.MAS 5 yang baru sahaja dilancarkan, iaitu EV mampu milik pertama di Malaysia, terus menarik minat yang tinggi di seluruh negara dengan lebih daripada 10,000 tempahan diterima setakat ini. Pencapaian ini menunjukkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap kenderaan elektrik dalam kalangan pengguna Malaysia serta mengukuhkan komitmen PRO-NET untuk menawarkan EV yang mampu milik dan mudah diakses tanpa menjejaskan kualiti.
Minat rakyat Malaysia terhadap Proton e.MAS 5 terus menunjukkan momentum memberansangkan di seluruh negara, dengan di Wilayah Lembah Klang mencatat jumlah tempahan tertinggi, diikuti oleh bahagian Selatan dan Utara. Permintaan dari Sabah Sarawak dan Pantai Timur juga menunjukkan peningkatan, menggambarkan sambutan meluas terhadap kereta elektrik mampu milik pertama di Malaysia ini.
Menurut maklum balas daripada pusat pengedar, majoriti pelanggan e.MAS 5 terdiri daripada golongan profesional yang memilih model ini sebagai kenderaan utama untuk kegunaan harian. Ramai daripada mereka mengambil peluang untuk menukar kereta sedia ada melalui program Power Trade-In, yang menawarkan rebat tambahan sebanyak RM1,000.
Pada masa yang sama, sebilangan besar pembeli menjadikan e.MAS 5 sebagai kenderaan kedua dalam keluarga. Model hatchback segmen B ini turut menarik minat pembeli kereta pertama, mencerminkan generasi baharu yang mencari mobiliti yang praktikal, berpatutan, dan lestari.
Maklum balas awal daripada pelanggan menunjukkan bahawa faktor harga berpatutan, kepraktisan, dan pengalaman pemanduan yang seimbang menjadi antara sebab utama yang mendorong permintaan tinggi terhadap Proton e.MAS 5. Ramai rakyat Malaysia menganggapnya sebagai EV harian yang sempurna, kompak, bergaya, dan dilengkapi teknologi canggih yang memudahkan kehidupan seharian.
Rakyat Malaysia kini boleh membuat tempahan untuk Proton e.MAS 5, yang ditawarkan dengan rebat pelancaran khas bernilai RM3,000 sehingga 31 Disember 2025, serta pakej pelancaran eksklusif bernilai sehingga RM8,000* untuk tempoh masa terhad. Pakej ini merangkumi pemasangan pengecas rumah 7kW percuma, data internet tanpa had selama lima tahun, serta pelbagai rebat dan manfaat pemilikan eksklusif yang direka untuk menjadikan pengalaman memiliki EV lebih berbaloi dan menyeronokkan.

