Volvo Car Malaysia memperkenalkan semula inisiatif jaminan selepas jualan yang pertama dalam industri di bawah nama Program Jaminan Lanjutan Alat Ganti Volvo (Volvo Genuine Parts Extended Warranty), menawarkan jaminan seumur hidup tanpa caj tambahan untuk Alat Ganti Volvo yang dipasang di semua pengedar sah Volvo di seluruh negara.
Program ini direka khas untuk pelanggan yang kenderaan Volvonya telah tamat tempoh jaminan standard, sekaligus menetapkan penanda aras baharu dalam segmen kereta premium di Malaysia. Ia menegaskan komitmen berterusan Volvo terhadap kualiti produk, kepuasan pelanggan, serta pengurangan kos pemilikan jangka panjang dengan alat ganti yang dijamin “Untuk Sepanjang Hayat”.
Berbeza dengan jaminan standard yang datang bersama pembelian kereta baharu, Jaminan Lanjutan Alat Ganti Volvo menawarkan perlindungan seumur hidup termasuk kos buruh untuk semua Alat Ganti Volvo yang dipasang oleh pengedar sah di luar tempoh jaminan pengeluar asal.
Faedah utama kepada pelanggan termasuk:
- Jaminan seumur hidup terhadap Alat Ganti Volvo bagi kecacatan bahan atau mutu kerja
- Kos buruh ditanggung sepenuhnya untuk pembaikan yang dilakukan di pusat servis sah Volvo
- Tiada caj tambahan selain harga asal alat ganti dan pemasangan
Semua Alat Ganti Volvo dilindungi di bawah jaminan lanjutan ini, kecuali alat ganti jualan borong, pembelian di-atas kaunter, barangan guna habis (consumables), bateri, aksesori, serta komponen yang tertakluk kepada haus dan lusuh. Alat ganti yang dilindungi di bawah program ini boleh diganti semula tanpa had, tertakluk kepada pengecualian yang telah ditetapkan.
Jaminan lanjutan ini turut meliputi Alat Ganti Volvo yang dibaik pulih (remanufactured parts) yang dijual dan dipasang melalui pengedar sah Volvo. Ia juga terpakai bagi alat ganti yang diganti oleh bengkel sah Volvo di negara lain yang mengambil bahagian dalam program ini, sekiranya kerosakan berlaku ketika kenderaan berada di sana.
Jika alat ganti yang rosak dan dilindungi di bawah program ini menyebabkan kerosakan pada alat ganti lain yang turut layak menerima perlindungan, alat ganti tersebut juga akan digantikan secara percuma.
Kesahan Tuntutan Pelanggan
| Sah | Tidak Sah |
| Alat Ganti Volvo yang dibeli pada atau selepas 1 Oktober 2021. | Alat Ganti Volvo yang dibeli sebelum 1 Oktober 2021. |
| Alat ganti yang dibayar sepenuhnya (dibeli di luar tuntutan jaminan standard). | Alat ganti yang diganti di bawah jaminan standard untuk kenderaan baharu. |
| Alat ganti yang dipasang oleh pengedar sah Volvo. | Alat ganti yang dipasang di bengkel tidak sah — tidak tertakluk kepada jaminan 12 bulan atau Jaminan Lanjutan Alat Ganti Volvo |
| Invois atau resit bertarikh yang menunjukkan nama pemilik sah kenderaan semasa. | Tiada invois/resit atau tiada nama pemilik kenderaan semasa yang sah pada dokumen. |
| Sepanjang tempoh pemilikan yang sama. | Jika kenderaan berpindah milik selepas alat ganti dipasang, jaminan tersebut tidak boleh dipindah milik. |
| Alat ganti yang dibeli sepenuhnya oleh pelanggan dan dipasang di pengedar sah Volvo. | Alat ganti yang diganti di bawah jaminan kereta baharu. |
Untuk layak menerima perlindungan ini, alat ganti mesti dibeli dan dipasang pada atau selepas 1 Oktober 2021 di pengedar sah Volvo, dengan invois sah sebagai bukti pemasangan. Jaminan seumur hidup ini tidak boleh dipindah milik dan hanya sah untuk satu pemilik, termasuk bagi kenderaan milik syarikat atau fleet. Pelanggan juga perlu memastikan kenderaan diselenggara mengikut jadual penyelenggaraan yang disyorkan oleh Volvo.
Kenderaan yang tidak dihantar ke bengkel sah Volvo selama lebih dua tahun selepas tamat jaminan standard perlu menjalani pemeriksaan kesihatan kenderaan (vehicle health check) atas kos pemilik bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan tidak diubah suai. Kesahan program Jaminan Lanjutan Alat Ganti Volvo tertakluk kepada penyelenggaraan berterusan di rangkaian servis sah Volvo.
Untuk menyemak sama ada alat ganti Volvo anda layak di bawah program ini, sila kunjungi pengedar sah Volvo terdekat.

