Alfa Romeo akhirnya membuat kemunculan semula di Malaysia selepas lebih sedekad menyepi tanpa wakil rasmi. Kebangkitan semula jenama Itali ini dipacu oleh DLSB Partners Sdn Bhd di bawah Atlantis Motor Group, yang kini bertindak sebagai pengedar bebas dengan matlamat membina semula rangkaian jualan, servis dan sokongan pelanggan di seluruh negara.
Tema “Drive Beautifully” menjadi asas kepada kebangkitan semula jenama ini—satu ajakan untuk rakyat Malaysia merasai semula emosi, seni dan keghairahan pemanduan yang telah lama menjadi DNA Alfa Romeo. Menurut DLSB Partners, keputusan membawa masuk semula jenama ini lahir daripada rasa cinta terhadap warisan Alfa Romeo dan keinginan untuk mengembalikan pengalaman pemilikan yang sebenar untuk para peminat tempatan.
Sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang, pengedar itu sedang menyiapkan pusat 3S flagship baharu di TREC Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Casa Alfa Romeo. Ruang ini bakal menjadi titik pertemuan pemilik, peminat dan ahli Alfa Romeo Owners Club yang sudah sekian lama mengekalkan komuniti setia jenama ini. Pihak Stellantis ASEAN turut melihat pelancaran semula ini sebagai peluang untuk menyatukan kembali komuniti peminat Alfa Romeo yang telah lama terpisah.
Dua model utama menjadi wajah kepada kebangkitan Alfa Romeo di Malaysia: sedan sports Giulia Veloce dan SUV prestasi Stelvio Veloce. Kedua-duanya menjadi lambang kekuatan teras jenama ini—rekaan yang penuh karakter, juruteraaan seimbang dan pengendalian yang tajam.
Kedua-dua model ini bukan sahaja berjaya secara global, malah terus menerima pengiktirafan antarabangsa. Dalam anugerah “BEST CARS” yang dipilih oleh lebih 94,000 pembaca auto motor und sport, Giulia dinobatkan sebagai pemenang kategori Midsize Import buat kali kelapan, manakala Stelvio mengetuai kategori Large SUV/Off-road Import.
Giulia Veloce membawa warisan lebih 50 tahun sedan sports Alfa Romeo, mengikut jejak model ikonik seperti Giulia Sprint GT, Alfetta dan 156. Rekaan luarannya menampilkan garis badan yang bersih dan berukir, bersama gril “Trilobo” yang menjadi identiti jenama dan lampu LED Adaptive Matrix 3+3. Aksen gelap di bahagian luar, rim 19 inci dan angkup brek merah Brembo mengukuhkan lagi imej prestasinya.
Model ini dikuasakan enjin 2.0 liter turbo dengan 280 hp dan 400 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik 8 kelajuan ke pacuan roda belakang. Pecutan 0–60 km/j dicapai dalam 5.7 saat dengan kelajuan maksimum 240 km/j. Keseimbangan berat 50:50, penggunaan aluminium, stereng pantas, pembahagian kuasa Q2 mekanikal dan aci pemacu gentian karbon memastikan pemanduan yang hidup, responsif dan penuh komunikasi—sesuatu yang cukup sinonim dengan Alfa Romeo. Dalamanya pula ringkas tetapi dirangka dengan teliti, menampilkan tempat duduk sport, stereng balutan kulit, kemasan logam dan paparan digital 12.3 inci.
Stelvio Veloce menawarkan pengalaman yang sama tetapi dalam bentuk sebuah SUV, diinspirasikan daripada laluan gunung terkenal, Stelvio Pass. Ia berkongsi enjin 280 hp dengan Giulia, tetapi menambah sistem pacuan semua roda Q4 yang mengagihkan tork mengikut keadaan jalan dan gaya pemanduan.
Pengendaliannya tetap membawa sentuhan khas Alfa Romeo melalui suspensi Alfa Link dan pembinaan casis ringan yang memberikan perasaan lincah seperti sebuah sedan sport, bukan SUV konvensional. Bahagian dalamannya pula menggabungkan elemen atletik dengan keselesaan harian—tempat duduk kulit yang menyokong, susun atur fokus pemandu dan ruang yang mencukupi untuk kegunaan keluarga atau perjalanan jauh.

Untuk pemilik di Malaysia, Alfa Romeo turut memperkenalkan pengalaman pemilikan baharu. Antaranya ialah acara gaya hidup La Bella Vita, sesi litar Speed Dating untuk meneroka kemampuan kereta, dan Alfa Concierge—khidmat bantuan peribadi untuk pemilik baharu. Sokongan terhadap komuniti lama juga diperkukuh melalui Famiglia Alfa Romeo, program khusus untuk model baharu dan klasik yang meliputi servis bertauliah, alat ganti tulen dan bantuan kecemasan.
Buat masa ini, kedua-dua Giulia Veloce dan Stelvio Veloce dianggarkan berharga sekitar RM400,000, dengan harga rasmi akan diumumkan pada Januari 2026. Kehadiran semula Alfa Romeo pastinya menambah warna dalam pasaran premium tempatan, menghidupkan kembali hubungan emosional antara pemandu Malaysia dan jenama yang terkenal dengan keindahan serta jiwa pemanduannya.























