Piston.my

Nissan Australia Perkenal Navara Generasi Baharu

Nissan Australia telah memperkenalkan Navara generasi terbaharu, menandakan perubahan besar pada salah satu model paling ikonik dalam barisan trak pikap jenama itu. Dijadualkan tiba di bilik pameran Australia dan New Zealand menjelang penghujung suku pertama 2026, model baharu ini meneruskan legasi Navara yang sudah membina kepercayaan hampir setengah juta pemilik sejak kemunculan pertama pada tahun 1986.

Menurut Nissan, generasi terkini ini direka untuk mengekalkan semangat asal Navara sambil membawa pembaharuan penting melalui gaya yang lebih garang, enjin turbodiesel serba baharu dan talaan pemanduan yang disesuaikan untuk keadaan permukaan jalan di rantau Oceania yang terkenal mencabar.

Bahagian luar Navara baharu mengekalkan ciri yang mengingatkan kepada warisan trak pikap Nissan. Gril V-Motion yang besar dan menonjol mendominasi bahagian hadapan, diserlahkan lagi dengan lampu utama berbentuk C yang menyatu kemas dengan bentuk badan. Tiga bukaan pengambilan udara berbingkai oren ditempatkan di bahagian bawah, satu penghormatan kepada model Navara generasi pertama sekaligus mengekalkan identiti lasaknya.

Walaupun gayanya lebih keras di luar, kabin Navara baharu dibangunkan dengan pendekatan lebih matang dan moden. Ruang dalamannya direka untuk memberi rasa luas, selesa dan mudah digunakan. Kluster instrumen kini menggunakan paparan TFT berwarna 7 inci, manakala paparan infotainment 9 inci serba baharu dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar dipasang sebagai standard.

Menjana Navara baharu ialah enjin turbodiesel 2.4 liter yang menghasilkan 204PS dan 470Nm. Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik enam kelajuan, dan enjin ini ditala untuk memberi keupayaan menarik beban berat tanpa mengorbankan kecekapan bahan api, yang direkodkan pada 7.7L/100 km di bawah penilaian WLTC. Buat pertama kali, Navara kini dilengkapi stereng kuasa elektrik, satu penambahbaikan yang meningkatkan pengendalian kelajuan rendah serta respons stereng ketika melalui selekoh dan permukaan jalan yang tidak rata.

Sistem pacuan empat roda turut menerima kemas kini penting. Ia kini mampu menukar secara automatik antara pacuan dua roda dan pacuan empat roda mengikut keadaan, membolehkan kecekapan lebih baik di lebuh raya sambil memastikan cengkaman optimum ketika menunda atau meredah permukaan mencabar. Setiap varian turut didatangkan dengan kunci pembezaan kawalan elektronik, dan suspensi telah ditala semula secara khusus untuk keperluan jalan Australia dan New Zealand bagi memberikan kestabilan yang lebih konsisten.

Nissan turut memperkukuh keselamatan Navara dengan memperkenalkan pelbagai sistem bantuan pemandu moden. Antara ciri yang ditawarkan ialah Kawalan Pelayaran Pintar, Amaran Pelepasan Lorong, sistem bantuan lencongan kecemasan yang mengambil alih stereng apabila kenderaan menghampiri bahaya, serta Penghad Kelajuan Pintar yang boleh mengesan tanda had laju dan memberi maklumat kepada pemandu.

Dengan kombinasi prestasi lebih kuat, gaya yang diperbaharui dan senarai ciri keselamatan yang lebih lengkap, Navara generasi baharu ini bersedia untuk meneruskan reputasinya sebagai trak pikap serba boleh yang boleh dipercayai—sama ada untuk kerja harian, perjalanan jauh atau pengembaraan lasak di seluruh rantau Oceania.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan