Piston.my

Land Rover Perkenal Defender Dakar D7X-R

Land Rover telah memperkenalkan sebuah versi Defender yang dibina khas untuk dunia perlumbaan rali lasak, sekali gus mengesahkan penyertaannya dalam Kejohanan Rali-Serbuan Dunia 2026 dan Rali Dakar. Model ini diberi nama Defender Dakar D7X-R, dan ia akan bertanding dalam kategori “Stock”. Pasukan tersebut turut menerima sentuhan istimewa apabila dipimpin oleh Stéphane Peterhansel, juara Dakar sebanyak 14 kali.

Model ini dihasilkan berasaskan Defender Octa, namun Land Rover telah mengukuhkannya dengan ketara. Struktur badannya dipertingkatkan, sistem penyejukan dinaik taraf untuk menangani haba gurun, dan perlindungan tambahan dipasang pada bahagian bawah bagi menghadapi laluan berbatu serta berpasir.

Dari sudut luaran, rekaannya jelas menunjukkan ia siap untuk aksi ekstrem. Fender yang lebih lebar, bampar yang dipotong tinggi, bonet dengan bukaan udara, serta pengambilan udara lebih besar menjadikannya kelihatan agresif. Ia turut dilengkapi dua snorkel, sesuai untuk keadaan berhabuk, manakala lampu bar LED di atas bumbung disediakan bagi kegunaan malam. Bagi mengurangkan berat, roda ganti pada pintu belakang telah ditanggalkan. Penampilan kereta ini juga diserikan dengan cat khas “Geopalette”, yang direka untuk menggambarkan suasana gurun.

Kemaskini paling ketara terletak pada bahagian off-road. D7X-R menggunakan tayar 35 inci, trek yang lebih lebar serta jarak tinggi badan yang dinaikkan. Sistem suspensi Bilstein dipasang untuk menyerap hentakan pada kelajuan tinggi, manakala brek pula dipertingkatkan dengan cakera besar berventilasi dan angkup berbilang omboh bagi prestasi pemberhentian yang lebih baik.

Di bawah bonet, ia kekal menggunakan enjin V8 berkembar turbo 4.4 liter seperti Defender Octa, namun kini ia ditala untuk menggunakan bahan api lestari. Transmisi automatik lapan kelajuan masih digunakan, tetapi nisbah gear telah dipendekkan bagi membantu cengkaman di pasir lembut. Unit kawalan motorsport pula menguruskan elektronik, termasuk Mod Penerbangan, iaitu fungsi yang membantu kereta mendarat dengan stabil selepas melompat di kawasan bukit pasir. Kereta ini juga menerima tangki bahan api 550 liter, penting untuk peringkat perlumbaan yang jauh dan panjang.

Bahagian dalamannya telah dirombak sepenuhnya untuk tujuan perlumbaan. Semua ciri keselesaan dikeluarkan dan digantikan dengan sangkar keselamatan, tempat duduk perlumbaan, panel gentian karbon serta skrin tambahan untuk pemantauan. Tempat duduk belakang dibuang dan ruang tersebut digunakan untuk menyimpan tiga tayar ganti, peralatan membaiki kereta, tangki udara, bicu serta bekalan air.

Defender Dakar D7X-R dihasilkan di Slovakia dan telah menjalani lebih 6,000 km ujian rali sebelum penyertaan rasminya. Ia dijadual membuat penampilan perlumbaan pertama di Arab Saudi pada Januari 2026.

Rali Dakar tahun itu bakal menghidangkan lebih 80 jam perlumbaan dan melebihi 5,000 km peringkat masa sepanjang dua minggu. Land Rover akan menurunkan tiga pasangan pelumba: Peterhansel bersama Mika Metge, Rokas Baciuška bersama Oriol Vidal, dan Sara Price bersama Sean Berriman, di bawah kepimpinan prinsipal pasukan, Ivan James.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan