Selepas mencatat jualan tertinggi dalam tempoh tiga tahun pada Ogos lalu, Proton meneruskan momentum positif dengan prestasi kukuh pada bulan September, sekaligus melonjakkan jumlah jualan tahun hingga kini (YTD) melepasi pencapaian tahun 2024. Pada bulan September, Proton berjaya menjual sebanyak 13,395 unit (domestik + eksport), meningkatkan jumlah keseluruhan suku ketiga (Q3) kepada 42,141 unit. Secara kumulatif, jumlah YTD mencecah 114,297 unit, iaitu 0.9% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pencapaian ini lebih signifikan kerana jumlah keseluruhan industri (TIV) pada September dianggarkan menurun sebanyak 21.7% kepada sekitar 57,169 unit, hanya sebulan selepas mencapai paras tertinggi tahun 2025. Berdasarkan keputusan ini, pegangan pasaran Proton dianggarkan berada pada 23.4% untuk bulan September dan 19.9% bagi YTD. Angka ini adalah yang tertinggi tahun ini dan selari dengan usaha syarikat untuk melepasi 20% penguasaan pasaran automotif pada 2025 walaupun berdepan persaingan yang semakin sengit.
Proton X50 yang baru dilancarkan terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia, mengekalkan kedudukannya sebagai SUV paling laris di negara ini. Sebanyak 3,438unit diserahkan pada bulan kedua penuh jualannya, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai peneraju segmen dan SUV nombor satu di Malaysia.











