MG Motor Malaysia hari ini mengumumkan kehadiran MGS5 EV serba baharu dalam satu pratonton eksklusif, bersama anggaran harga bermula dari RM115,000. SUV elektrik segmen-B ini mewakili generasi baharu EV yang serba boleh dan mampu dimiliki, dilengkapi dengan pengecasan pantas, ruang kabin yang luas, sistem bantuan pemandu pintar, pacuan roda belakang untuk pemanduan yang lebih menyeronokkan, serta ciri keselamatan komprehensif – semuanya sebagai standard.
“MG S5 EV adalah model pertama yang kami perkenalkan sebagai langkah permulaan dalam lembaran baharu MG di Malaysia. la memberikan gambaran jelas tentang pengalaman pemanduan terbaik dalam kelasnya, terutamanya dalam segmen ini. Dibina khas mengikut kesesuaian jalan raya
Malaysia, model ini menandakan satu langkah penting buat SAIC Motor sejak kemunculannya di peringkat global di China pada Oktober lalu,” kata Emory QiFeng, Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia.
MGS5 EV direka untuk memberikan pengendalian terbaik dalam segmennya, dengan pemanduan yang dinamik dan menyeronokkan. la hadir dengan dua pilihan bateri – 49kWh yang dipadankan dengan motor 125kW, menghasilkan 170PS, 250Nm, dan jarak sehingga 340km (WLTP), atau pek 62kWh yang menawarkan jarak sehingga 430km dan pengecasan pantas DC 150kW. Kedua-dua varian menawarkan pacuan roda belakang (RWD) untuk pemanduan yang lebih responsif dan memuaskan.










