Hyundai Motor Malaysia terus mengambil langkah untuk mengukuhkan kedudukannya di pasaran tempatan dengan memeterai kerjasama strategik bersama Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON). Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama bagi memperluas rangkaian bilik pameran Hyundai di seluruh Malaysia.
Sebagai fasa awal pelaksanaan, dua pengedar Hyundai baharu dirancang untuk dibuka di Lembah Klang dan Pulau Pinang, dengan operasi dijadualkan bermula pada separuh pertama tahun 2026. Pemilihan kedua-dua lokasi ini dibuat berdasarkan kepadatan penduduk yang tinggi serta peningkatan minat pengguna terhadap kenderaan hibrid dan teknologi mesra alam.
Penubuhan pengedar baharu ini bertujuan untuk memudahkan pelanggan mendapatkan akses kepada barisan kenderaan Hyundai, selain menyediakan perkhidmatan jualan dan sokongan selepas jualan yang lebih menyeluruh. Hyundai percaya langkah ini akan meningkatkan tahap kepercayaan pelanggan serta menjadikan pengalaman pemilikan kenderaan lebih lancar dan diyakini.




























