Piston.my

Dalam Negara

Malaysia secara rasmi menyambut kehadiran iCAUR 03, menjadikannya pasaran pertama di luar China yang menerima SUV elektrik penuh jenama tersebut. Selepas membuat penampilan sulung dunia di Shanghai, model baharu ini ditayangkan di Malaysia Autoshow 2025 dan kini dilancarkan secara rasmi – menandakan langkah penting dalam perkembangan landskap kenderaan elektrik negara.

iCAUR 03 dibangunkan untuk menggabungkan keupayaan lasak off-road dengan teknologi elektrik moden. Rekaan luarnya menampilkan bahasa rekaan i-BOX yang tajam dan bersegi, digabungkan dengan elemen pencahayaan futuristik yang memberi imej garang serta berbeza di jalan raya. Namun, kelebihannya tidak hanya pada penampilan, kerana model ini hadir dengan pelbagai teknologi canggih.

Dari segi keupayaan, SUV ini dilengkapi sistem iROAD dengan 12 mod pemanduan yang boleh dipilih, disokong suspensi belakang multilink jenis H-arm bagi kawalan lebih tepat. Teras kuasanya ialah modul pemanduan elektrik 6-dalam-1 yang menggabungkan pengawal motor, pengecas terbina dalam dan inverter ke dalam satu unit kompak – memastikan penghantaran kuasa yang lancar di pelbagai permukaan jalan.

(more…)

CyberSecurity Malaysia (CSM), agensi di bawah Kementerian Digital, telah merasmikan pelancaran Makmal Forensik Kenderaan pertama di Malaysia, sekali gus menandakan satu pencapaian besar dalam memperkukuh keupayaan siasatan digital negara. Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo.

Seperti yang dilaporkan oleh Bernama, makmal ini akan membantu pihak berkuasa dalam pelbagai kes berkaitan kenderaan – daripada siasatan kemalangan jalan raya hinggalah jenayah serius seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan kesalahan rentas sempadan.

Kenderaan moden kini menyimpan pelbagai data penting termasuk corak pemanduan, lokasi GPS, prestasi enjin malah rakaman kamera pemuka (dashcam). Semua maklumat ini boleh dianalisis untuk memahami punca sesuatu insiden atau jenayah.

Menurut Gobind, peranan makmal ini bukan sekadar untuk menyelesaikan kes, tetapi juga untuk mengenal pasti punca utama agar kejadian yang sama dapat dicegah pada masa hadapan. Beliau menegaskan bahawa siasatan hanya akan dijalankan atas permintaan rasmi agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Pada masa yang sama, jaminan diberikan bahawa privasi data pengguna akan sentiasa dilindungi mengikut undang-undang negara.

(more…)

UMW Toyota Motor (UMWT) menutup bulan Ogos 2025 dengan pencapaian cemerlang apabila mencatatkan jualan 9,083 unit dalam tempoh sebulan sahaja. Prestasi ini menjadikan jumlah keseluruhan jualan Toyota sepanjang tahun meningkat kepada 62,246 unit, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai jenama kenderaan bukan nasional paling laris di Malaysia.

Toyota menjelaskan bahawa kejayaan ini berpunca daripada strategi menawarkan pilihan yang pelbagai kepada rakyat Malaysia – sama ada model petrol yang dipercayai ataupun pilihan hibrid yang lebih mesra alam. Pendekatan ini memastikan pelanggan mendapat teknologi yang sesuai dengan keperluan mereka tanpa ketinggalan arus pembangunan automotif.

Jenama Toyota sendiri telah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia selama lebih 60 tahun. Model ikonik seperti Hilux, Vios dan Camry bukan sahaja sinonim dengan kegunaan harian, malah turut menjadi teman setia untuk perjalanan pulang ke kampung mahupun sebagai kenderaan kerja lasak bagi para petani dan peniaga. Sejak tahun 2015, Toyota telah menjual hampir 860,000 unit kenderaan di pasaran tempatan.

(more…)

UMW Toyota Motor bersama Toyota GAZOO Racing Malaysia telah melancarkan Toyota GR Malaysia eRacing Championship 2025, iaitu siri perlumbaan simulator terbesar di negara ini. Matlamat utama kejohanan ini jelas – mencari pelumba maya terpantas Malaysia dan membuka peluang untuk mereka melangkah ke dunia perlumbaan sebenar.

Memasuki edisi kelapan, kejohanan yang dahulunya dikenali sebagai GT Cup Malaysia kini tampil dengan penjenamaan baharu dan skala lebih besar. Tahun ini, peserta bukan sahaja akan bersaing di platform Gran Turismo, tetapi juga di RaceRoom, Assetto Corsa dan iRacing, sekali gus menguji kemahiran di pelbagai simulasi perlumbaan. Menariknya, jumlah hadiah wang tunai yang ditawarkan mencecah RM123,000, diagihkan kepada tiga kategori iaitu Pro, Club dan Junior.

Format perlumbaan dijanjikan sengit. Selepas tiga pusingan awal, hanya 40 pelumba terbaik akan mara ke suku akhir. Dari situ, 20 pelumba terpantas akan layak ke separuh akhir, sebelum hanya 10 finalis terbaik berentap di pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini.

(more…)

Bermaz Motor secara rasmi memperkenalkan Mazda CX-80 Baharu ke pasaran Malaysia, menjadikannya model kedua dalam barisan Large Product Group Mazda. Sebagai SUV tiga baris tempat duduk flagship jenama itu, CX-80 mewakili langkah berani Mazda dalam menggabungkan kemewahan, prestasi dan keselesaan mesra keluarga.

Model ini mula diperkenalkan di Eropah pada April 2024 sebelum dipertontonkan di Malaysia sempena Kuala Lumpur International Mobility Show pada tahun yang sama. Dibangunkan berasaskan falsafah reka bentuk “Graceful Toughness”, CX-80 menampilkan seni ketukangan Jepun yang berpadu dengan kejuruteraan moden, sambil mengekalkan falsafah Jinba-Ittai – hubungan erat antara pemandu dan kenderaan – namun kini dengan fokus lebih besar kepada ruang, keselesaan serta keselamatan keluarga moden.

Dari segi penampilan, CX-80 memberikan imej yang garang dan berwibawa. Bentuk badan yang memanjang, jarak roda yang lebih besar serta garisan bumbung yang tirus menyerlahkan gaya elegan sambil mengekalkan karekter sebuah SUV premium. Gril berukir dengan lampu utama LED adaptif yang nipis, garisan badan yang mengalir dan kemasan krom yang halus menonjolkan bahasa reka bentuk Kodo. Lampu berbentuk-L di bahagian hadapan dan belakang pula menjadi identiti visual tersendiri. Permainan cahaya dan bayang pada panel badannya menggambarkan sentuhan Takumi yang menjadi ciri eksklusif model premium Mazda.

Kabinnya pula memadukan minimalisme dengan fungsi. Susunan papan pemuka mendatar, kawalan intuitif dan penggunaan bahan premium menghasilkan suasana tenang dan sofistikated. Konfigurasi enam tempat duduk menampilkan kerusi gaya kapten di barisan kedua dengan konsol tengah penuh, manakala barisan ketiga menyediakan ruang untuk dua penumpang. Pencahayaan ambien, kemasan lembut serta kelengkapan praktikal seperti pengecas tanpa wayar dan ruang simpanan tersembunyi menambah nilai keselesaan harian.

Bahagian teknologi menjadi tumpuan utama. CX-80 dilengkapi tiga paparan digital: kluster instrumen 12.3 inci, skrin infotainmen 12.3 inci serta paparan kepala (head-up display). Sistem Driver Personalisation membolehkan kenderaan mengenal pasti pemandu lalu melaraskan lebih 250 tetapan termasuk kedudukan tempat duduk, cermin sisi dan konfigurasi paparan secara automatik. Sistem audio 12 pembesar suara Bose menambah pengalaman imersif, manakala Apple CarPlay dan Android Auto memastikan sambungan pintar yang lancar.

CX-80 dikuasakan oleh sistem 2.5L e-Skyactiv PHEV, gabungan enjin petrol 4-silinder Skyactiv-G dengan motor elektrik yang menghasilkan kuasa gabungan 323hp dan 500Nm tork. Bateri litium-ion 17.8 kWh membolehkan pemanduan elektrik penuh sejauh 65km. SUV ini mampu mencapai kelajuan maksimum 195km/j dengan penggunaan bahan api serendah 1.6L/100km (kitaran WLTP) dan pelepasan karbon hanya 36g/km.

Dibina di atas platform Large Architecture pacuan semua roda dengan enjin hadapan, CX-80 menawarkan keseimbangan antara kestabilan, keselesaan dan ketangkasan. Suspensi double wishbone di hadapan, multilink di belakang serta sistem i-Activ AWD memastikan kawalan mantap dalam pelbagai keadaan, manakala Kinematic Posture Control (KPC) meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh. Sistem Mi-Drive pula menawarkan mod pemanduan berbeza mengikut keadaan jalan.

Keselamatan menjadi keutamaan dengan penarafan lima bintang Euro NCAP 2024. Antara ciri i-Activsense yang ditawarkan termasuk Lampu Utama LED Adaptif, Pemantauan Titik Buta, Amaran Trafik Lintas Depan dan Belakang, Amaran Keluar Lorong dengan Bantuan Kekal Lorong, Sistem Brek Pintar, Pemantauan Tumpuan Pemandu serta Kawalan Jelajah Radar Mazda dengan fungsi Stop & Go.

Untuk pasaran Malaysia, Mazda CX-80 ditawarkan sebagai unit CBU dari Jepun dengan harga bermula RM330,000. Warna pilihan termasuk Melting Copper, Artisan Red, Rhodium White, Jet Black dan Platinum Quartz, setiap satunya direka untuk menonjolkan bentuk badan yang berukir halus.

Bagi memberi jaminan tambahan, Bermaz Motor menyediakan waranti pengeluar 5 tahun serta penyelenggaraan percuma 5 tahun (meliputi buruh, alat ganti dan pelincir – kecuali Mazda BT-50). Bateri voltan tinggi turut dilindungi dengan waranti 8 tahun atau 160,000km.

Dengan pelancaran CX-80, Mazda tidak sekadar memperkenalkan sebuah SUV premium baharu, tetapi menawarkan pakej lengkap yang memadukan seni ketukangan Jepun, teknologi canggih dan prestasi elektrifikasi – sesuai untuk keluarga moden yang mahukan kemewahan tanpa kompromi.

Bermaz Motor secara rasmi memperkenalkan Mazda CX-60 Baharu ke pasaran Malaysia, menandakan kemunculan model pertama daripada kumpulan produk besar (Large Product Group) Mazda. Sebagai crossover SUV flagship terbaharu jenama itu, CX-60 membuka lembaran baharu dalam penawaran Mazda dengan gabungan prestasi dinamik, keselamatan termaju dan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar.

CX-60 dibangunkan berasaskan falsafah “Noble Toughness”, yang menyatukan elemen kekuatan dan keanggunan sambil memperhalusi bahasa reka bentuk Kodo. Ia turut diinspirasikan oleh konsep Jepun “Ma”, iaitu keindahan ruang kosong, menghasilkan imbangan antara proporsi berani dan permukaan yang halus.

Reka bentuk gril baharu dengan profil lebih tinggi, dipadankan dengan sayap tanda tangan (signature wing) yang disepadukan bersama lampu isyarat, menampilkan karekter SUV yang lebih tegas. Buat pertama kali pada model Mazda, lampu utama disusun secara menegak dengan tandatangan cahaya berbentuk-L di bahagian depan dan belakang, membentuk identiti moden yang padu.

Kabin yang direka agak ke belakang memberi postur seakan-akan condong ke hadapan, seolah-olah bergerak walaupun dalam keadaan pegun. Garisan cahaya yang mengalir dari hujung kabin ke tanah mengingatkan kepada tenaga seni kaligrafi Jepun, menambahkan sentuhan budaya pada gaya keseluruhannya.

Masuk ke ruang dalaman, CX-60 mengekalkan tradisi Mazda dalam memadukan ketukangan halus dengan fungsi moden. Papan pemuka melintang luas dan konsol tengah yang teguh menekankan susun atur enjin membujur, menyerlahkan kekuatan seni bina SUV ini.

Bahan-bahan dalaman dipilih teliti untuk meraikan seni dan warisan Jepun, menggabungkan ketukangan tradisional dengan teknik moden bagi menghasilkan tekstur yang kaya serta suasana harmoni. Hasilnya ialah sebuah ruang kabin yang memancarkan kemewahan sederhana (understated luxury) sambil mengekalkan falsafah reka bentuk Jepun.

CX-60 turut dilengkapi tiga paparan utama: kluster digital 12.3 inci, paparan kepala (head-up display) dan skrin infotainmen 12.3 inci dengan pengecaman suara. Sistem ini bersepadu dengan Driver Personalisation System, yang boleh mengenal pasti pemandu dan melaraskan lebih 250 tetapan secara automatik – termasuk kedudukan tempat duduk, stereng, cermin sisi serta paparan HUD.

Kemudahan lain termasuk 360° View Monitor dengan fungsi See-Through View, kamera undur dengan garisan panduan, pengecas tanpa wayar serta sistem audio premium Bose 12-pembesar suara. Apple CarPlay dan Android Auto turut disokong bagi memastikan sambungan tanpa gangguan.

CX-60 dikuasakan oleh enjin 2.5L 4-silinder aspirasi semula jadi yang menghasilkan 189hp dan 261Nm tork, dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan. Dibina di atas platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture, SUV ini direka bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan dan dinamik pemanduan, tetapi juga sebagai persediaan ke arah elektrifikasi masa depan.

Mazda mengekalkan falsafah Jinba-Ittai – keserasian antara pemandu dan kenderaan – pada teras kejuruteraan CX-60. Teknologi Kinematic Posture Control (KPC) membantu menstabilkan kenderaan ketika mengambil selekoh dengan mengawal postur badan di bawah daya G tinggi. Penalaan suspensi pula memastikan gabungan keselesaan dan ketepatan kawalan, sesuai untuk pelbagai keadaan jalan.

Keselamatan menjadi aspek utama dalam pembangunan CX-60. SUV ini telah menerima penarafan 5 bintang Euro NCAP (2022), membuktikan tahap perlindungan tinggi kepada penumpang dewasa, kanak-kanak serta pengguna jalan raya yang terdedah.

Ia turut dilengkapi dengan suite i-Activsense yang komprehensif, termasuk Lampu Utama LED Adaptif, Pemantauan Titik Buta, Smart Brake Support hadapan dan belakang, Amaran Keluar Lorong dengan Bantuan Kekal Lorong, Pemantauan Pemandu, Kawalan Jelajah Radar dengan fungsi Stop & Go serta sistem Cruising & Traffic Support.

Mazda CX-60 dibawa masuk sepenuhnya (CBU) dari kilang Hofu, Wilayah Yamaguchi, Jepun, dan kini dibuka untuk tempahan di rangkaian pengedar sah seluruh negara. Harga bermula daripada RM198,900.

Pelanggan turut menikmati waranti pengeluar 5 tahun dan program penyelenggaraan percuma 5 tahun (buruh, alat ganti dan pelincir), sah sehingga 100,000km atau 5 tahun – yang mana dahulu. Bateri voltan tinggi juga diberikan jaminan tambahan, tidak termasuk model Mazda BT-50.

Warna pilihan merangkumi Soul Red Crystal, Rhodium White, Jet Black, Platinum Quartz dan Zircon Sand, setiap satunya dicipta untuk menonjolkan garisan badan CX-60 yang bertenaga.

Dengan kehadiran Mazda CX-60, Mazda bukan sekadar memperkenalkan sebuah SUV baharu. Ia adalah simbol ketukangan Jepun, kejuruteraan moden dan dedikasi Mazda dalam menghasilkan kenderaan yang benar-benar serasi dengan pemandunya.

Chery Malaysia kini bersiap sedia untuk memperkenalkan model terbaharu mereka, Chery O5, dengan membuka pendaftaran minat (ROI) kepada orang ramai sebelum pelancaran rasminya hujung bulan ini. Sebagai salah satu model global paling dikenali keluaran Chery, O5 sudahpun membina pengikut setia menerusi rekaan futuristik, prestasi dinamik serta ciri keselamatan yang canggih. Versi terkini dijangka membawa pengalaman pemanduan ke tahap lebih tinggi dengan gaya rekaan lebih berani, dinamik pemanduan yang diperhalusi dan teknologi baharu yang dipertingkatkan.

Dari segi luaran, Chery O5 tampil dengan kelihatan yang lebih segar melalui rim aloi 18 inci baharu yang menyerlahkan penampilannya. Di bawahnya, sistem suspensi belakang jenis multi-link diperkenalkan bagi meningkatkan tahap keselesaan dan memastikan pemanduan lebih lancar, terutamanya di jalan raya Malaysia.

Bahagian dalamannya pula memadukan sentuhan elegan dan praktikal. Tempat duduk berbalut kulit sintetik dengan fungsi pengudaraan di bahagian hadapan menambah keselesaan, manakala tumpuan utama kabin terarah kepada paparan dwi-skrin bersepadu bersaiz 20.5 inci. Sistem ini turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, dilengkapi pengecas tanpa wayar serta kawalan penyaman udara automatik dua zon bagi memastikan pemandu dan penumpang kekal selesa serta sentiasa berhubung.

(more…)

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah membuka tempahan bagi Nissan Navara X-Tremer baharu, sebuah trak pikap yang dibangunkan untuk menyerlahkan ketangguhan sama ada di jalan bandar mahupun laluan lasak. Model ini bukan sekadar kemas kini, sebaliknya diposisikan sebagai simbol gaya maskulin dan kemampuan sebenar sebuah pikap.

Reka Bentuk Luar Lebih Garang

Navara X-Tremer mengekalkan reputasi ketahanannya tetapi kini hadir dengan penampilan yang lebih menonjol. Bahagian hadapan diberikan gril hitam baharu bersama pelindung bampar berkonsep “X”, manakala kemasan lengkung roda bercirikan karbon serta over-fender hitam menguatkan lagi imej lasaknya. Di belakang, trak ini dilengkapi antena sirip jerung, bampar hitam baharu dan pelekat pada pintu belakang yang menyerlahkan identitinya berbanding varian Navara lain.

Kabin Dipertingkatkan

Ruang dalaman kini lebih moden tanpa mengorbankan ketahanan. Papan pemuka sentuhan lembut dengan jahitan berganda, konsol tengah yang dikemaskini serta stereng balutan kulit menambah aura premium. Sistem hiburan pula menggunakan skrin sentuh 8 inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay untuk kesalinghubungan lancar. Tempat duduk QUOLE MODURE tahan kotoran direka bagi mengurangkan penyerapan haba, manakala kerusi hadapan Zero Gravity terus menawarkan keselesaan jarak jauh dan mengurangkan keletihan pemandu.

(more…)

Jika GWM Tank 500 telah memikat hati anda tetapi anda menanti masa yang sesuai untuk membelinya, masanya telah tiba berkat Kempen Merdeka GWM 2025.

Dilancarkan secara rasmi pada awal tahun ini, GWM Tank 500 boleh dikatakan salah satu SUV paling hangat di segmen automotif Malaysia sejak kebelakangan ini.

Berharga hanya RM328,000, Tank 500 menawarkan kemewahan, ruang dan keupayaan off-road yang boleh menyaingi Toyota Land Cruiser.

Menggerakkan Tank 500 ialah sistem hibrid yang menggabungkan enjin 2.0 liter turbo dengan motor elektrik. Gabungan ini menghasilkan 346PS dan 648Nm tork, yang cukup untuk memecutkan Tank 500 ke 100km/j dalam hanya 7.3 saat.

Menampilkan kulit Nappa dan kemasan kayu sebenar, bahagian dalaman Tank 500 adalah gabungan ruang, serba guna dan kemewahan, menjadikannya sesuai untuk mereka yang mahukan SUV besar untuk keluarga mereka dan juga untuk dipandu.

Bumbung panoramik bersaiz penuh serta tempat duduk berventilasi menjamin keselesaan dalam semua situasi, manakala sistem audio Infinity 12-speaker  dengan Apple Carplay dan Android Auto tanpa wayar menyediakan hiburan dan navigasi.

Bagi mereka yang menuntut lebih dari SUV mereka dan memerlukan keupayaan off road, Tank 500 dilengkapi dengan sistem pacuan empat roda pintar dengan differential hadapan dan belakang yang dikawal secara elektronik.

Ia juga mempunyai 11 mod pemanduan untuk mengatasi apa jua situasi, serta bantuan pusingan tank turn assist yang memudahkannya bergerak di ruang sempit dengan mengunci roda belakang dalam.

Untuk memudahkan pengurusan saiznya yang besar, pelbagai sensor parkir, di samping kamera 360 dengan paparan casis telus, yang menunjukkan apa yang ada di bawah kereta.

Sempena Merdeka, GWM Malaysia sedang menganjurkan kempen “book and win” istimewa, menjadikan September bulan yang ideal untuk menempah GWM Tank 500, atau mana-mana model GWM yang lain.

Berlangsung sekarang hingga 28 September 2025, anda berpeluang memenangi hadiah bernilai RM120,000 jika anda menempah GWM Tank 500 pada mana-mana hujung minggu hingga 28 September.

Dengan menempah GWM Tank 500, anda secara automatik layak untuk menyertai dua cabutan bertuah. Satu cabutan bertuah di lokasi (on the spot) dan satu penyertaan ke Cabutan Bertuah Utama dengan hadiah bernilai sehingga RM120,000.

Hadiah-hadiah tersebut termasuk iPhone 16 Pro, Nintendo Switch 2, DJI Osmo Pocket 3, Philips Air Purifier, Xiaomi X20+ Robot Vacuum, Samsung Galaxy A56, Marshall Acton III dan juga Dyson Cool Fan, antara lain.

Dan jika anda tidak dapat mengunjungi bilik pameran GWM, jangan risau kerana GWM akan mengadakan siri jelajah seluruh negara untuk membawa pengalaman GWM terus kepada rakyat Malaysia. Siri jelajah ini menawarkan pandu uji, aktiviti interaktif dan tawaran eksklusif.

Tarikh dan lokasi siri jelajah adalah seperti berikut:

Wilayah Tengah:

Mid Valley Kuala Lumpur: 10-14 September

GF Luxe, 1 Utama: 7 Oktober – 6 November

Wilayah Utara:

Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang: 30 Oktober – 2 November

Ipoh Parade: 6 – 9 November

Bagi mereka yang berada di Klang, GWM Malaysia telah merasmikan pembukaan bilik pameran terbarunya. Terletak di PT 4209, Jalan Kapar, Kawasan 18, bilik pameran baharu ini berkeluasan 3,900 kaki persegi dan menampilkan ruang santai pelanggan seluas 1,140 kaki persegi, tiga ruang servis yang lengkap dan mampu menyelenggara sehingga 200 kenderaan setiap bulan.

Bilik pameran baharu ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang untuk jualan, dan dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang untuk servis.

Tunggu apa lagi? Singgah ke mana-mana showroom GWM untuk meninjau Tank 500 atau mana mana model dari GWM. 

Lotus Cars Malaysia telah mengemas kini rangkaian model elektrik sepenuhnya, Eletre, sekali gus memberikan penawaran yang lebih jelas serta pilihan prestasi yang lebih luas. Harga permulaan kini ditetapkan pada RM499,000, menandakan fasa baharu buat Lotus dalam meneroka pasaran kenderaan elektrik (EV) premium.

Selaras dengan strategi penamaan global terbaharu, model-model tersebut kini dikenali sebagai Eletre 600 dan Eletre 900, merujuk terus kepada kuasa yang ditawarkan. Pendekatan ini memudahkan pelanggan memahami tahap prestasi setiap varian, sama seperti kaedah penamaan pada model baharu Lotus Emeya.

Pelanggan turut boleh memilih pakej yang menekankan aspek pemanduan sporty atau lebih berorientasikan keselesaan dan kemewahan, mengikut cita rasa masing-masing. Dengan cara ini, proses pemilihan menjadi lebih ringkas tetapi masih mengekalkan tahap penyesuaian yang tinggi.

(more…)

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube