Piston.my

Dalam Negara

Selepas penampilan sulung globalnya di Australia pada tahun lalu, smart #5 kini bersedia untuk memasuki pasaran Malaysia. Isyarat pelancaran telah diberikan menerusi hantaran di laman media sosial rasmi smart Malaysia, disertai mesej “Bold new adventures are just ahead. The spirit of discovery is calling – are you ready?”

Model terbaharu ini menandakan satu evolusi ketara bagi jenama smart, baik dari segi dimensi mahupun identiti. Merupakan SUV ketiga dalam barisan kenderaan smart, smart #5 merupakan model pengeluaran terbesar setakat ini, dengan panjang keseluruhan 4,705 mm—265 mm lebih panjang berbanding smart #3. Panjangnya turut mengatasi beberapa pesaing utama dalam segmen ini seperti Honda CR-V, sekaligus menonjolkan penampilan yang lebih tegap dan menguasai di jalan raya.

Dari sudut rekaan, smart #5 tampil dengan gaya lasak dan maskulin. Bahagian hadapan dan belakangnya menampilkan elemen pencahayaan berkotak yang dihubungkan oleh jalur LED lutsinar sepenuhnya, yang menyepadukan gugusan lampu bujur unik. Penampilan garang diserlahkan lagi menerusi bampar tengah yang menonjol, mengingatkan kepada reka bentuk palang lembu, memberikan identiti off-road yang tersendiri. Bahagian sisi pula menonjol dengan spatbor berkilat, reka bentuk tingkap yang mengalir ke tiang-D tebal, serta cermin sisi dua tona dan pemegang pintu pop-keluar yang kemas. Sebagai pelengkap, rim roda turut dilengkapi penutup tengah terapung yang kekal tegak ketika bergerak – diinspirasikan daripada ciri mewah Rolls-Royce.

Satu varian khas, dikenali sebagai Edisi Sidang Kemuncak, akan ditawarkan dengan pakej Adventurers’ Collection – lengkap dengan pembawa bumbung, bar lampu bumbung, tangga sisi, pelindung bawah badan, dan cangkuk tunda boleh tarik. SUV ini juga mempunyai kapasiti menunda sehingga 1,600 kg, menjadikannya pilihan praktikal bagi pengembaraan luar jalan.

(more…)

Proton bakal membuat kemunculan eksklusif semula di Singapura dengan memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) pertama, Proton e.MAS 7 di The Car Expo 2025. Menyusuri kejayaan  sebagai EV terlaris di Malaysia untuk empat bulan berturut-turut, pelancaran ini juga menandakan kembali  jenama Proton ke negara ini setelah lebih satu dekad.  

Kerjasama dengan pengedar rasmi baharu VINCAR Group, syarikat automotif Malaysia kembali menembusi  pasaran eksport yang kini menduduki tempat kedua tertinggi di dunia dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar  (KDNK) per kapita berdasarkan pariti kuasa beli. Pada masa hadapan, VINCAR akan menerajui operasi barisan  EV Proton di bawah jenama e.MAS, menawarkan kenderaan elektrik berkualiti tinggi yang direka untuk gaya  hidup bandar yang sesuai untuk warga Singapura. 

Kepulangan Proton ke Singapura berlaku pada waktu yang sesuai, sejajar dengan peralihan pantas negara  tersebut ke arah mobiliti hijau. Pasaran EV di Singapura meningkat secara konsisten daripada 12% kepada 18%  daripada jumlah keseluruhan industri automotif antara tahun 2022 hingga tahun 2023, dengan tujuan mencapai  55% menjelang tahun 2027. Sebagai langkah sokongan kepada perubahan ini, kerajaan Singapura  menyasarkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya 12,000 mata pengecasan EV di sekitar 2,000 kawasan  parkir Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menjelang 2025, dan 60,000 menjelang 2030. Selain itu,  kerajaan turut menetapkan matlamat untuk memastikan 100% kenderaan menggunakan tenaga bersih  menjelang 2040, sebagai sebahagian daripada usaha mencapai pengurangan perlepasan asap sifar. 

(more…)

Malaysia dan Thailand kini dalam perancangan untuk menghidupkan semula perkhidmatan kereta api terus yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Bangkok, dengan pelaksanaannya disasarkan bermula tahun ini. Langkah ini bertujuan meningkatkan kesalinghubungan dan memacu pertumbuhan sektor pelancongan antara kedua-dua negara jiran.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata usaha itu akan memanfaatkan infrastruktur rel sedia ada, tanpa keperluan membina trek baharu. Sebaliknya, pelaksanaan semula perkhidmatan tersebut bergantung kepada aspek penyelarasan operasi, strategi pemasaran dan sistem tiket bersama antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) dan State Railway of Thailand (SRT).

“Perkhidmatan ini akan menggunakan laluan kereta api sedia ada iaitu Bangkok–Padang Besar–Butterworth–Kuala Lumpur,” katanya kepada Bernama selepas lawatan kerja sehari ke Thailand.

Sepanjang lawatan tersebut, Loke turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit. Beliau juga melawat Stesen Terminal Sentral Bang Sue di Bangkok dan menerima taklimat mengenai pembangunan sistem kereta api berkelajuan tinggi di negara itu.

(more…)

Proton New Energy Technology (PRO-NET) terus melangkah jauh untuk memastikan mobiliti lestari dapat diakses oleh semua. Dengan peningkatan permintaan terhadap kenderaan Proton e.MAS, PRO-NET kini mengembangkan rangkaian pengedarnya daripada 31 cawangan yang telah beroperasi hari ini, dan mengalu-alukan lebih banyak rakan pengedar di seluruh negara. Setakat hari ini, sebanyak 40 pengedar telah dilantik secara rasmi, satu pencapaian yang membuktikan sokongan dan keyakinan rakyat Malaysia terhadap jenama Proton e.MAS.

Inisiatif ini bukan sekadar tentang angka, tetapi tentang membina kepercayaan dan membawa Proton e.MAS lebih dekat kepada rakyat Malaysia di seluruh negara. Dengan Proton e.MAS 7 yang kini semakin mendapat perhatian awam, fokus kami adalah untuk memberi keyakinan kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk beralih daripada kenderaan enjin petrol (ICE) kepada kenderaan elektrik.

Rangkaian Proton e.MAS terdiri daripada pusat jualan dan perkhidmatan yang komited, setiap satunya direka dengan teliti untuk memberikan pengalaman lancar dari saat pelanggan menerima kenderaan mereka hingga sokongan berterusan melalui perkhidmatan selepas jualan dan bantuan pengecasan EV. Setiap inisiatif ini mencerminkan komitmen Proton e.MAS untuk menjadikan pemilikan lebih mudah dan dipercayai tanpa sebarang kerisauan.

(more…)

Continental akan menghentikan operasi pembuatan tayar di kilangnya di Alor Setar, Malaysia, menjelang hujung tahun 2025. Fasiliti pengeluaran ini mengeluarkan tayar untuk kereta penumpang, trak ringan bagi pasaran Asia-Pasifik, serta tayar motosikal. Sebanyak  950 orang bekerja di fasiliti Alor Setar. Keutamaan syarikat adalah untuk menyokong para pekerjanya dengan menyediakan bantuan seperti kaunseling kerjaya serta meneroka peluang pekerjaan yang berpotensi sama ada dalam Continental mahupun di luar syarikatnya.

Keputusan untuk menutup kilang tayar Continental di Alor Setar adalah hasil daripada semakan perniagaan secara terperinci yang bertujuan untuk melindungi daya saing, serta prestasi perniagaan syarikat di rantau Asia-Pasifik (APAC). Usaha ini juga dilaksanakan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pelanggan. Syarikat juga berhasrat untuk mengoptimumkan portfolio produk tempatan dan memantau pengeluarannya.

(more…)

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bersama pengedar sahnya, Millennium Autohaus Sdn Bhd, hari ini merasmikan pembukaan Pusat 3S Mitsubishi Motors (Jualan, Servis dan Alat Ganti) baharu di Kajang, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran jenama itu di Lembah Klang.

Dengan pembukaan ini, bilangan pusat 3S Mitsubishi di rantau tersebut kini bertambah kepada 19, mencerminkan komitmen berterusan MMM terhadap pertumbuhan dan kecemerlangan dalam perkhidmatan pelanggan.

Terletak secara strategik di Lot 1872A, Jalan Semenyih, Kajang 43500, Selangor, pusat baharu ini direka khusus untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang di Kajang dan kawasan sekitarnya. Berdiri di atas tapak seluas 15,800 kaki persegi dengan binaan berkeluasan 9,600 kaki persegi, kemudahan ini menawarkan pengalaman jenama Mitsubishi yang menyeluruh dengan menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan di bawah satu bumbung untuk kemudahan optimum.

Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Shinya Ikeda berkata, pembukaan cawangan baharu di Kajang merupakan bukti kepada kerjasama kukuh antara MMM dan Millennium Autohaus, serta dedikasi bersama dalam menyediakan pengalaman pelanggan bertaraf dunia.

(more…)

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia yang baru dilantik, Tomoyuki Yamaguchi akan memberi keutamaan terhadap memperkukuhkan rangkaian pengedar Isuzu, mempertingkat tahap perkhidmatannya serta memastikan bekalan alat ganti sentiasa tersedia bagi menjamin pengalaman yang lebih baik untuk pemilik kenderaan Isuzu.

Yamaguchi menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu bermula 24 April 2025, menggantikan Shunsuke Okazoe yang kembali ke Jepun untuk menyandang jawatan Timbalan Presiden, Bahagian Jualan Jepun, Isuzu Motors Ltd.

Merupakan graduan Universiti Toyo, Yamaguchi menyertai Isuzu Motors pada 1997 dan memulakan kerjayanya dengan ditugaskan di Jabatan Operasi Antarabangsa yang menguruskan pasaran seperti Russia dan Ukraine.  Beliau terus terlibat menguruskan pasaran di negara-negara CIS dan beberapa pasaran Asia Barat Daya untuk tempoh lebih sedekad sebelum dipinjamkan ke Isuzu Motors Afrika Selatan di mana beliau bertanggungjawab mengembangkan perniagaan kenderaan perdagangan Isuzu di sana.

(more…)

UMW Toyota Motor Sdn Bhd hari ini mengukuhkan lagi barisan prestasi Gazoo Racing (GR) di Malaysia dengan pelancaran dua model terbaharu — GR Supra Track Edition dan GR Yaris Varian Automatik. Kedua-dua model ini membawa keupayaan kejuruteraan sukan permotoran dan rali ke jalan raya, sekali gus memperkukuh komitmen Toyota dalam menawarkan pengalaman pemanduan yang mengutamakan keseronokan dan kawalan.

GR Supra Track Edition

GR Supra Track Edition meneruskan warisan lebih empat dekad Supra dengan peningkatan menyeluruh dalam aspek pengendalian, kawalan casis dan aerodinamik. Ia dijana enjin pengecas turbo 3.0 liter enam silinder sebaris yang menghasilkan 388PS dan 500Nm tork, dipadankan dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan dengan pengalih gear pedal.

Model automatik mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 4.1 saat, manakala model manual mencatatkan 4.3 saat. Keupayaan ini disokong oleh Sistem Suspensi Pembolehubah Adaptif yang ditala semula, sistem stereng kuasa elektrik serta pembezaan slip terhad (LSD) yang dipertingkatkan.

Sistem brek turut dipertingkatkan dengan cakera brek hadapan 374mm yang dipadankan dengan angkup Brembo empat omboh, manakala penambahbaikan aerodinamik termasuk spat tayar yang diperluas, aero fins serta spoiler ekor itik gentian karbon meningkatkan daya turun (downforce) untuk kestabilan lebih unggul.

(more…)

Didorong oleh komitmennya untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, BYD Sime Motors, pengedar rasmi kereta BYD di Malaysia, menjalinkan kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam usaha mencapai agenda mobiliti rendah karbon negara. Salah satu tujuan utama kerjasama ini adalah untuk mengurangkan emisi karbon melalui penggunaan EV di Malaysia.

Sebahagian daripada kerjasama ini, program bernama “Jom Pandu BYD Bersama MOT” telah dilancarkan dan akan dijalankan selama enam bulan. Disokong oleh rakan niaga BYD Sime Motors, Gentari Sdn Bhd (“Gentari”) melalui Gentari Green Mobility Sdn Bhd, telah memasang dua pengecas EV di ibu pejabat MOT, inisiatif yang membolehkan kakitangan MOT memandu uji semua model EV BYD dan merasai sendiri inovasi di sebalik kemajuan pengangkutan elektrik ini.

Kerjasama ini telah dilancarkan secara rasmi di pejabat MOT di Putrajaya oleh YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan dan Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara, Sime Motors. Turut hadir bersama ialah YB Datuk Haji Hasbi Bin Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan; YBhg. Dato’ Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan; Adeline Lew, Pengurus Besar, BYD Sime Motors; dan Izuan Hafiz, Ketua Mobiliti Hijau MY-SG, Gentari Green Mobility.

(more…)

Dalam usaha sama ke arah mobiliti lestari dan operasi yang lebih cekap, Northport (Malaysia) Bhd dan PRO-NET (Proton New Energy Technology Sdn Bhd) hari ini mengumumkan penyerahan tiga unit Proton e.MAS 7 untuk kegunaan pasukan polis bantuan Northport. Sebagai model kenderaan elektrik nombor 1 di Malaysia, e.MAS 7 menetapkan piawaian baru dalam operasi keselamatan hijau. Pencapaian ini juga menandakan Northport sebagai syarikat dan pengendali pelabuhan pertama di negara ini yang mengguna dan mengendalikan e.MAS 7 dalam pengurusan kenderaan syarikat, sekaligus mengukuhkan komitmennya dalam usaha ESG korporat dan penyelesaian pengangkutan lestari.

Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET berkata: “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Northport, sebuah organisasi yang menjadi contoh dalam mengamalkan kelestarian. Proton e.MAS 7 direka untuk kegunaan harian yang praktikal, dan penggunaannya dalam operasi Northport membuktikan bahawa kenderaan elektrik ini bukan sekadar visi masa depan, tetapi satu penyelesaian yang boleh diguna pakai hari ini. Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan mobiliti lestari dengan lebih bermakna.” 

Northport Menggunakan Proton e.MAS 7 untuk Memperkukuh Inisiatif Pelabuhan Hijau

Penggunaan Proton e.MAS 7 ini mencerminkan usaha berterusan Northport untuk menjadikan operasinya lebih mesra alam. Sebagai SUV elektrik sepenuhnya pertama dari Proton, e.MAS 7 menawarkan manfaat praktikal untuk kegunaan harian. Pemanduannya yang lancar dan senyap bukan sahaja menjadikan pengalaman rondaan lebih selesa, malah membantu mengurangkan keletihan anggota bertugas, terutamanya dalam syif yang panjang. Operasi yang lebih senyap turut membantu mengurangkan pencemaran bunyi di sekitar kawasan pelabuhan. Dengan keupayaan pengecasan pantas, kenderaan ini sentiasa bersedia untuk digunakan pada bila-bila masa.

(more…)

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube