Kerajaan sedang meneliti cadangan penggunaan sistem pemantauan jalan raya berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani isu jalan berlubang yang kerap menyebabkan kemalangan maut, terutamanya melibatkan penunggang motosikal.
Cadangan itu dikemukakan oleh Profesor Dr Law Teik Hua, pakar keselamatan jalan raya, dan melibatkan integrasi teknologi pengimbasan automatik, dron pemeriksaan, serta platform aduan awam menerusi aplikasi mudah alih khusus.
Menurut Dr Law, sistem ini akan menggunakan algoritma pintar untuk menganalisis data dan meramalkan kawasan berisiko tinggi, serta mengutamakan pembaikan berdasarkan tahap kerosakan. “Maklumat akan dipusatkan dalam papan pemuka yang boleh diakses oleh pihak berkuasa dan syarikat konsesi, dengan makluman automatik untuk tindakan segera,” jelasnya.