Piston.my

Dalam Negara

Sebagai acara tahunan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri, BHPetrol meneruskan tradisi untuk mengadakan majlis ‘Program Balik Kampung Dengan Selamat’ bersama pelanggan, rakan perniagaan dan rakan sekerja.  Pada tahun ini,  stesen BHPetrol Sg. Besi Harmony (PLUS arah Selatan) telah dipilih untuk menjalankan acara tersebut kerana lokasinya sangat strategik dan lengkap dengan pelbagai kemudahan, sesuai buat para pemandu singgah dan mengisi keperluan untuk perjalanan ke arah Selatan tanah air sebaik sahaja keluar dari Kuala Lumpur.   

Sebanyak 300 beg cenderahati dipenuhi dengan makanan ringan dan minuman diagihkan kepada pelanggan-pelanggan yang singgah di stesen tersebut sebagai bekalan perjalanan ke destinasi masing-masing.  Pelanggan stesen turut menerima sampul raya berupa baucar BHPetrol yang boleh ditebus di mana-mana stesen minyak BHPetrol. Bersesuaian dengan perjalanan pulang ke kampung halaman, pelanggan yang berkunjung ke stesen turut diberi keistimewaan pemeriksaan kenderaan secara percuma bagi 9-checkpoint yang disediakan oleh pihak PLUS. Turut berlangsung adalah perkongsian dan persediaan tips keselamatan jalan raya sempena musim perayaan ini, terutama sekali berkaitan pemanduan jarak jauh yang disampaikan oleh Encik Mohd Yusuf Abdul Aziz, Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS serta klip video yang disediakan oleh pempengaruh digital Abang Gan daripada PanduLaju.

(more…)

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.9 bilion bagi meningkatkan sistem pengangkutan awam melalui pemerolehan bas diesel dan bas elektrik baharu untuk Lembah Klang serta Pulau Pinang. Langkah ini bertujuan memodenkan armada sedia ada serta meningkatkan kesalinghubungan bagi kemudahan penumpang.

Menurut laporan New Straits Times, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengumumkan bahawa kumpulan pertama sebanyak 310 bas diesel akan dihantar pada bulan Jun, diikuti oleh 250 bas elektrik menjelang akhir tahun ini. Selain itu, sebanyak 1,100 lagi bas elektrik berserta infrastruktur pengecasan akan diperkenalkan secara berperingkat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan bahawa bas-bas baharu ini akan menggantikan kenderaan lama yang dikendalikan oleh Rapid Bus Sdn Bhd, di mana sebahagian besar daripadanya telah beroperasi lebih sedekad dan memerlukan penggantian segera.

(more…)

Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 50% ke atas caj tol bagi tempoh dua hari sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Diskaun ini akan berkuat kuasa bermula jam 12:01 pagi pada hari Jumaat sehingga jam 11:59 malam keesokan harinya, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya yang melakukan perjalanan semasa musim perayaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menyatakan bahawa inisiatif ini akan melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM19.69 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol. Diskaun ini hanya terpakai kepada kenderaan persendirian Kelas 1 dan tidak melibatkan plaza tol di sempadan negara, iaitu di Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang.

(more…)

Jaecoo Malaysia sedang melakarkan laluan yang mantap sebagai jenama SUV pencabar Malaysia, kali ini dengan pratonton Jaecoo J8, model keempat ditetapkan untuk menyertai portfolio jenama itu.

SUV Jaecoo J8 dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo 4 silinder sebaris yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 246hp dan 385Nm tork. SUV J8 menawarkan keekapan dan prestasi bahan api tahap tinggi dengan Transmisi Automatik 8-kelajuan, paip ekzos berkembar dan kapasiti tangki bahan api sebanyak 65L. SUV ini mempunyai perawakan yang menggagumkan dengan ketinggian berukuran 1.71meter, kelebaran 1.93meter, dan 4.82meter panjang. Manakala, jarak rodanya berukuran 2.82meter.

SUV Jaecoo J8 tampil dengan dua varian. Jaecoo j8 pacuan dua roda (2WD) menampilkan konfigurasi lima tempat duduk, manakala varian pacuan semua roda (AWD) tampil dengan enam tempat duduk. Para peminat boleh menjangkakan SUV J8 turut direka dengan ciri kebolehsuaian khas oleh jenama Jaecoo yang membolehkan pemanduan di bandar mahupun kegunaan lasak. Ini termasuk teknologi Continuous Damping Control (CDC) atau Kawalan Redaman Berterusan dari Jaecoo yang disepadukan ke dalam sistem suspensi varian AWD. la juga mempunyai kapasiti harungan air sedalam 450mm yang serasi untuk pengembaraan lasak.

SUV J8 2WD dan AWD masing-masing mempunyai kapasiti ruang but sebanyak 738L dan 200L. Di dalam ruang kabin, kedua-dua varian menampilkan paparan media 12.3 inci, kamera panoramik 540 darjah, dan pelbagai ciri premium eksklusif untuk setiap varian.

SUV J8 2WD menampilkan sistem audio yang merangkumi 12 pembesar suara jenama Sony, enam beg udara, pencahayaan ambien dan upholsteri kulit buatan.

Sementara itu, SUV J8 AWD menampilkan sistem audio yang merangkumi 14 pembesar suara jenama Sony, termasuk pembesar suara yang dipasang di bahagian keselamatan pemandu dipertingkatkan dengan perakam video digital (DVR) yang terbina dalam serta fungsi keupayaan parkir kereta secara automatik. Untuk keselesaan tambahan, tempat duduk barisan hadapan dan kedua dikuasakan elektrik mempunyai ciri mengurut serta rona langsir. Bahagian kabin juga dilengkapi dengan upholsteri kulit tulen dan hiasan panel suede.

Varian 2WD tersedia dalam pilihan warna satu tona, iaitu Carbon Crystal Black, Khaki White dan Olive Grey. Sementara itu, varian AWD tersedia dalam dua tona untuk pilihan warna yang sama. Ciri premium yang mampu dimiliki merupakan tema konsisten yang diperjuangkan oleh Jaecoo terutamanya dengan SUV J8. SUV Jaecoo J8 AWD yang memaparkan 6 tempat duduk dianggarkan berharga sekitar RM220,000. Manakala, dan varian SUV J8 2WD yang berciri 5 tempat duduk dianggarkan berada dalam lingkungan harga sekitar RM195,000.

Dalam usaha untuk mempamerkan teknologi canggihnya, Jaecoo turut menyediakan segment khas di jelajah pertamanya untuk pengunjung mengetahui lebih lanjut mengenai teknologi Kenderaan Hibrid Plug-in (PHEV) bertempat di 1Utama Shopping Centre. Ini seiring dengan kejayaan pelancaran SUV Jaecoo J7 PHEV pada bulan Februari lalu. Pek bateri PHEV dipamerkan dan diiringi oleh pakar produk untuk memberikan orang ramai Gambaran jelas tentang Super Hybird System (SHS) atau Sistem Super Hibrid buatan Jaecoo yang canggih.

Malaysia pertama kali melihat SUV Jaecoo J8 di Pameran Auto Malaysia (MAS 2024) pada tahun 2024. Khalayak umum kini boleh mendekati dan meneliti SUV sgement-D ini serta mendaftar minat di Pameran Jelajah Jaecoo J8 dari 27 Mac hingga 31 Mac di 1Utama Shopping Centre (GF Luxe).

Berikutan itu, Pameran Jelajah Jaecoo J8 akan menuju ke Queensbay Mall di Pulau Pinang dari 9 April hingga 13 April, diikuti oleh Pameran Auto Malaysia (MAS 2025) dari 8 Mei hingga 15 Mei.

Hampir 7,000 anggota polis trafik akan dikerahkan dalam Operasi Selamat 24 bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba. Operasi ini akan memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi yang sering mencatatkan kemalangan, khususnya di lebuh raya utama yang dijangka mengalami peningkatan jumlah kenderaan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, mengesahkan bahawa seramai 6,957 pegawai dan anggota trafik telah ditugaskan untuk operasi tersebut yang akan berlangsung dari 29 Mac hingga 3 April. Dalam usaha meningkatkan keselamatan lalu lintas, pihak berkuasa telah mengenal pasti 25 lokasi panas dan 46 lokasi titik hitam di sepanjang lebuh raya utama yang akan diberi perhatian khusus. Selain itu, sebanyak 407 lokasi panas dan 76 titik hitam di jalan persekutuan serta perbandaran turut akan dipantau secara intensif bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Sepanjang tempoh operasi, dianggarkan sebanyak 2.2 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya. Bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik, pengawasan secara berterusan akan dilakukan, termasuk penyediaan bantuan segera kepada pengguna jalan raya yang menghadapi kecemasan.

(more…)

Divisyen Jualan Antarabangsa (ISD) Proton menandakan kemasukannya ke pasaran  kenderaan elektrik (EV) Nepal dengan pelancaran Proton e.MAS 7. yang memanfaatkan pertumbuhan pesat  sektor EV negara tersebut yang meningkat sembilan kali ganda dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pelancaran ini terbina berdasarkan prestasi kukuh model tersebut di Malaysia sejak kemunculannya pada 16  Disember dan membantu membuka jalan kepada strategi antarabangsa yang lebih luas. 

Acara pelancaran yang berlangsung di Regency Ballroom Hotel Hyatt Boudha, telah dihadiri oleh Mohammad  Firdaus Azman, Chargé d’ Affaires Malaysia di Nepal. Mewakili Proton adalah Dr. Li Chunrong, CEO Proton;  Zhang Qiang, CEO PRO-NET dan Edmund Lim Meng Thong, Pengarah Jualan Antarabangsa. Jagdamba  Motors Pvt. Ltd. Manakala, Jagdamba Motors Pvt. Ltd. diwakili oleh Shanker Lal Agrawal, Pengerusi Kumpulan  Shanker; Akhil Gupta, Pengarah Eksekutif Jagdamba; Sahli Agrawal, Pengarah Urusan Jagdamba dan Raju  Bhetwaal, Naib Presiden Kanan Jagdamba Motors. 

Pengedar sah Proton di Nepal, Jagdamba Motors Pvt Ltd, sedang aktif mengembangkan rangkaian  pengedarnya. Pada masa ini, tiga pengedar beroperasi, dengan rancangan untuk memuktamadkan perjanjian  dengan 12 pengedar di seluruh negara menjelang akhir 2025. Syarikat ini juga merancang untuk membangunkan  infrastruktur pengecasan dan membina jaringan pusat servis yang mantap di seluruh negara bagi mengurangkan  sebarang kebimbangan pelanggan terhadap kenderaan elektrik. 

(more…)

Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), dengan sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Tourism Malaysia, dengan bangganya merasmikan Majlis Flag-Off ASEAN Unity Drive 2025 (AUD 2025), menandakan permulaan perjalanan sejauh 9,000km merentasi 9 negara ASEAN bagi mempromosikan kelestarian di dalam mobiliti.

AUD 2025 adalah satu inisiatif penting yang menggariskan kepimpinan Malaysia dalam memacu mobiliti hijau, kerjasama rentas sempadan, dan inovasi automotif di seluruh Asia Tenggara. Perjalanan ini akan berkemuncak di Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) yang akan berlangsung dari 9 hingga 15 Mei 2025 di MAEPS, Serdang.

Majlis pelepasan telah diadakan di Menara MITI dan dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“ASEAN Unity Drive 2025 melambangkan kekuatan kolektif rantau ini dalam memajukan mobiliti lestari seiring memperkukuhkan integrasi ekonomi dan pengurusan alam sekitar. Malaysia, melalui inisiatif seperti ASEAN Automotive Institute Alliance, komited kepada membentuk ekosistem mobiliti bersatu yang mempercepatkan inovasi, menyelaraskan piawaian, dan mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai peneraju global dalam pengangkutan generasi baharu. Inisiatif ini adalah langkah penting ke arah industri automotif yang bersedia untuk masa depan dan membawa manfaat kepada seluruh rantau ini,” kata YB Senator Tengku Zafrul.

(more…)

Proton telah menayangkan tayangan terbaharu siri filem pendek Hari Raya pada majlis berbuka puasa. Edisi 2025 dihasilkan dengan kerjasama Elite Definition Sdn Bhd, pengedar eksklusif untuk Penyegar Udara Little Joe di Malaysia. 

Filem tahun ini menampilkan Proton e.MAS 7, SUV kenderaan elektrik (EV) segmen-C baru Proton, dengan  menonjolkan ciri-ciri unik yang telah menjadikannya model EV paling laris di Malaysia dalam dua bulan pertama  tahun ini. Filem ini berdurasi hampir 27 minit dan berkisar tentang tema Hari Raya tradisional, iaitu keluarga,  kemaafan, dan kepentingan komunikasi. Filem ini dilakonkan oleh pelakon popular Malaysia seperti Que Haidar,  Azwan Ali, dan Fatimah Abu Bakar di bawah arahan Pekin Ibrahim. 

“Tahun lepas, filem pendek Hari Raya pertama Proton bersama Little Joe telah berjaya mengumpulkan 5.2  juta tontonan di semua platform media sosial, memastikan kami mencapai audiens yang luas dan beraneka  ragam. Mengambil kira keputusan tersebut, kami berbesar hati untuk berkolaborasi sekali lagi dalam  menghasilkan filem yang memaparkan pengajaran hidup dalam konteks nilai-nilai Hari Raya tradisional, sambil  turut menonjolkan EV pertama kami, Proton e.MAS 7,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

(more…)

Negara-negara anggota ASEAN sedang giat merangka dasar seragam bagi kenderaan elektrik (EV) dalam usaha mempercepatkan peralihan rantau ini ke arah penggunaan tenaga bersih serta memperkukuh agenda kemampanan. Langkah ini bertujuan menangani cabaran utama industri EV, termasuk penyeragaman spesifikasi bateri serta pembangunan infrastruktur pengecasan yang boleh diakses merentas sempadan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mengesahkan bahawa perbincangan mengenai langkah-langkah ini telah dimulakan dalam kalangan pegawai kanan serta pemimpin negara ASEAN. Beliau menyatakan bahawa dasar EV piawai ini akan membantu mengurangkan kebimbangan pengguna EV selain memperkukuh rantaian bekalan automotif yang lebih berdaya tahan dan saling berkaitan di rantau ini.

Menurutnya, rangka kerja dan garis masa bagi pelaksanaan dasar ini dijangka dimuktamadkan dan diumumkan secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung pada Mei ini. Dasar bersama ini bukan sahaja bertujuan untuk menggalakkan pelaburan dalam industri EV, malah ia juga akan memastikan pembangunan infrastruktur yang lebih tersusun serta penyelarasan piawaian teknikal bagi meningkatkan aksesibiliti EV di seluruh rantau ini.

(more…)

Industri automotif Malaysia mencatatkan pemulihan memberangsangkan pada Februari 2025 dengan jumlah volum industri (TIV) meningkat sebanyak 31 peratus kepada 63,906 unit berbanding 48,732 unit yang direkodkan pada Januari. Peningkatan ini didorong oleh kestabilan pasaran selepas permulaan tahun yang perlahan, menurut laporan terkini Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Dalam satu kenyataan, MAA menyatakan bahawa pertumbuhan ketara ini mencerminkan pemulihan positif dalam industri automotif selepas tempoh jualan yang lebih perlahan pada awal tahun. “Peningkatan ini menunjukkan bahawa pasaran kembali stabil dan pengguna mula kembali yakin untuk membuat pembelian kenderaan baharu,” kata persatuan itu.

Bagaimanapun, secara perbandingan tahun ke tahun, jumlah jualan Februari mencatatkan sedikit penurunan sebanyak dua peratus berbanding 65,017 unit yang dijual dalam tempoh yang sama pada 2024. Daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual pada Februari, sebanyak 58,606 unit merupakan kenderaan penumpang, manakala 2,939 unit lagi adalah kenderaan komersial.

(more…)

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube