Piston.my

Dalam Negara

Proton telah menamat tahun 2024 dengan jualan sebanyak 152,352 unit (domestik  dan eksport) sekali lagi menduduki tempat kedua dalam carta jualan. Tahun berakhir dengan catatan yang tinggi  selepas 14,601 unit dijual pada bulan Disember, peningkatan sebanyak 19.7% berbanding bulan sebelumnya. Ini  adalah angka jualan kedua tertinggi untuk tahun ini, susulan bulan yang memberangsangkan untuk eksport  dengan 1,113 unit dihantar ke pasaran luar negara.  

Prestasi cemerlang ini dicapai selepas dua belas bulan persaingan sengit untuk jenama automotif nasional  daripada pengeluar kenderaan asal (OEM) baru dan model-model yang menyasarkan kumpulan pelanggan yang  sama, serta semasa tahun di mana Proton telah beralih ke ruang kenderaan elektrik (EV) dengan pelancaran  model pertamanya, Proton e.MAS 7. Selain daripada jualan kenderaan jenama Proton, Proton juga  merupakan pengimport dan pengedar untuk model smart Automobile melalui anak syarikatnya PRO-NET dan  untuk tahun 2024, sebanyak 622 unit smart #1 dan #3 telah dijual, menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan  yang dijual sebanyak 152,974 unit.  

Jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk 2024 dianggarkan mencapai 813,521 unit, menandakan tahun kedua  berturut-turut rekod jualan automotif untuk Malaysia, dan bahagian pasaran Proton untuk tahun ini dianggarkan  pada 18.7%. Ini adalah tahun keenam berturut-turut syarikat mencapai kedudukan kedua dalam carta,  memberikannya asas kukuh untuk menghadapi persaingan pada tahun 2025.  

(more…)

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, telah mengumumkan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mula melengkapkan pegawai penguatkuasanya dengan kamera badan pada tahun 2025. Menurut Brenama, langkah ini bertujuan untuk meningkatkan ketelusan, melindungi pegawai semasa bertugas, dan mengatasi kebimbangan masyarakat mengenai integriti amalan penguatkuasaan.

Pengumuman tersebut dibuat semasa Taklimat Tahun Baharu 2025 Kementerian Pengangkutan, dengan penekanan pada dua matlamat utama:

  1. Melindungi imej dan integriti JPJ: Kamera badan akan memantapkan keyakinan orang ramai terhadap jabatan ini.
  2. Menjaga keselamatan pegawai: Teknologi ini memberikan perlindungan kepada pegawai penguatkuasa daripada kritikan, penghinaan, atau tuduhan tidak berasas, dengan merekodkan bukti sah semasa tindakan dijalankan.

Anthony Loke menegaskan, “Penggunaan kamera badan bukan sahaja melindungi JPJ tetapi juga memastikan pegawai kita dilindungi daripada salah faham dan tuduhan yang tidak berasas.”

(more…)

UMW Toyota Motor Sdn Bhd mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dan menakrif semula landskap segmen kenderaan berprestasi tinggi dengan memperkenalkan tiga model paling dinanti-nantikan seluruh peminat kereta di Malaysia. Pelancaran model 2025 GR Yaris, GR Corolla, dan Corolla GR Sport, bersempena majlis penutup Toyota Gazoo Racing Musim Ke-7, bukan sahaja menjadi simbol inovasi, tetapi juga penanda aras baharu dalam komitmen Toyota dalam memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan buat rakyat Malaysia. Berpegang kepada legasi cemerlang Toyota Gazoo Racing dalam sukan permotoran serta kejuruteraan termaju yang telah terbukti, pengenalan model-model ini menjadi pemangkin keterujaan dan inspirasi dalam kalangan peminat automotif tempatan sejak penampilan di peringkat global pada 2007.

Ketiga-tiga model ini mempersembahkan prestasi unggul dan kejuruteraan terperinci Toyota Gazoo Racing, membawa semangat litar lumba terus ke jalan raya dan membolehkan pemandu merasai adrenalin serta kehebatan teknologi litar perlumbaan. Di sisi lain, Corolla GR Sport tampil dengan gaya sporty yang berani sambil mengekalkan aspek praktikaliti harian, menyerlahkan lagi keupayaan Toyota dalam menyatukan elemen estetika, prestasi, dan fungsi dengan sempurna untuk menawarkan pengalaman luar biasa kepada generasi pemandu moden. Melalui gabungan inovasi dan kepakaran ini, Toyota memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dalam inovasi berprestasi tinggi, tambahan kepada pendekatan Multi-Pathway bagi memastikan semua mendapat manfaat terbaik.

GR Yaris 2025: Sentuhan Kejuruteraan Perlumbaan ke Jalan Raya 

GR Yaris 2025 adalah bukti cemerlang kejuruteraan Toyota Gazoo Racing, sebuah kereta kompak yang menggabungkan prestasi litar rali dengan praktikaliti di jalan raya. Dipacu enjin pengecas turbo G16E-GTS 1.6-liter yang ikonik, nadi utama jentera ini mampu menghasilkan 300PS dan 400Nm tork, menjadikan setiap pemanduan penuh adrenalin. Dipadankan transmisi manual 6-kelajuan tradisional dan digabungkan dengan sistem GR-Four AWD yang diinspirasikan oleh perlumbaan rali serta legasi Kejohanan Rali Dunia (WRC), ia ternyata memberikan kawalan maksimum kepada pemandu.

Setiap elemen GR Yaris direka dengan fokus mutlak kepada prestasi. Teknologi penyejukan canggih, seperti sub-radiator dan sistem semburan intercooler, memastikan enjin beroperasi secara optimum walaupun di bawah tekanan yang ekstrem. Kehebatan teknologi perlumbaan diterjemahkan ke dalam output enjin yang lebih tinggi, disokong oleh sistem suspensi yang dipertingkatkan untuk kawalan yang mantap dan keupayaan membelok yang agresif. Bahagian hadapan yang direka semula dengan Functional MATRIX Ver.2 memaksimumkan aliran udara dan penyejukan, sambil meningkatkan aspek aerodinamik secara menyeluruh, manakala bahagian belakangnya pula dilengkapi dengan sistem ekzos, diffuser, dan pencahayaan baharu, menonjolkan postur lebar dan rendah yang menawan.

(more…)

Volvo Car Malaysia kini menerima tempahan untuk Volvo EX30 Model Year 2025 (MY25) pemasangan tempatan (CKD). Langkah ini menyusuli kejayaan pelancaran model import sepenuhnya (CBU) pada September 2024, menunjukkan komitmen Volvo dalam menyediakan penyelesaian mobiliti yang selamat, mampan, dan inovatif untuk pasaran Malaysia.

Varian dan Harga

Volvo EX30 CKD akan tersedia dalam dua varian:

  1. Ultra – RM208,888
  2. Ultra Twin Performance – RM228,888

Pelanggan boleh memilih daripada tiga warna menarik:

  • Cloud Blue
  • Vapor Grey
  • Crystal White

(more…)

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini  mengumumkan harga baharu untuk Touareg R-Line yang akan membuatkan SUV flagship itu lebih menarik buat para pelanggan di Malaysia. Harga runcit  cadangan Touareg R-Line pemasangan tempatan itu kini ialah RM382,690, tidak termasuk VAP. 

Perubahan harga itu adalah hasil maklum balas dan perkembangan positif  dalam operasi Volkswagen di peringkat tempatan, selain dinamik pasaran  yang lebih baik. Ini membolehkan penjimatan disalurkan kepada para  pelanggan.  

Touareg R-Line dikenali sebagai peneraju kerana teknologinya yang canggih  serta ciri-ciri keselamatan bantuan pemandu termaju, di samping reka  bentuk yang garang dan keupayaan prestasi luar biasa. Jentera itu  dikuasakan oleh enjin turbo V6 pengecas turbo 3.0liter yang mampu  menjana 340PS dan tork mencecah 450Nm.  

(more…)

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menyiasat empat kakitangan Puspakom cawangan Wangsa Maju selepas dakwaan meluluskan kenderaan yang gagal memenuhi piawaian pemeriksaan. Pemeriksaan mengejut ini, sebahagian daripada inisiatif Ops Gempur, dijalankan pada 31 Disember untuk memastikan integriti pemeriksaan kenderaan di seluruh negara.

Penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman, menjelaskan situasi tersebut dalam sidang media di Puspakom Shah Alam. Beliau menegaskan bahawa laporan media sebelum ini, yang menyatakan tiga kakitangan telah dipanggil untuk soal siasat, adalah tidak tepat. Menurut Mahmood, JPJ pada mulanya menyoal siasat dua kakitangan tetapi kemudiannya melibatkan dua lagi pekerja dari cawangan yang sama.

Gambar yang tersebar menunjukkan seorang pengarah wilayah pusat Puspakom bersama kakitangan semasa pemeriksaan JPJ. Mahmood menegaskan bahawa pengarah tersebut tidak terlibat dalam siasatan.

(more…)

Dalam usaha memperkukuh keselamatan jalan raya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan operasi penguatkuasaan besar pada Malam Tahun Baru dan telah memeriksa lebih 12,000 kenderaan di pelbagai negeri. Operasi ini melibatkan kerjasama dengan agensi seperti Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya, terutama dalam kalangan penunggang motosikal.

Operasi Kuala Lumpur: 731 Kesalahan, 117 Kenderaan Dirampas

Di ibu negara, JPJ memeriksa 5,094 kenderaan dan mengenakan penalti terhadap 731 kesalahan. Sebanyak 117 kenderaan, termasuk 101 motosikal, telah dirampas. Operasi ini turut menyaksikan penahanan 30 pemandu warga asing dari Pakistan, Indonesia, Bangladesh, dan Sri Lanka. AADK pula menguji air kencing 26 individu, di mana tiga didapati positif dadah jenis methamphetamine atau opiat. Tambahan pula, 38 motosikal disita dalam operasi khas bagi penunggang motosikal melulu.

Selangor: Operasi Terbesar dengan 7,124 Kenderaan Diperiksa

Di Selangor, JPJ memeriksa 7,124 kenderaan, mengeluarkan 827 notis bagi pelbagai kesalahan. Kesalahan utama termasuk memandu tanpa lesen (173 kes) dan cukai jalan tamat tempoh (103 kes). Tiga individu turut didapati positif dadah.

(more…)

PRO-NET, anak syarikat kepada pengeluar automotif nasional Proton, dengan  bangganya mengumumkan bahawa Proton e.MAS 7, EV pertama syarikat, telah mencatat lebih 2,500 tempahan.  Pencapaian gemilang ini mencerminkan semangat yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia  terhadap mobiliti lestari dan menandakan permintaan tinggi terhadap Proton e.MAS 7. 

Proton e.MAS 7, EV nasional pertama Malaysia, terus menarik perhatian kerana inovasi dan nilainya, dengan  menawarkan dua varian iaitu Prime dan Premium yang dikuasakan oleh bateri berkapasiti 49.52 kWh dan 60.22  kWh. Dengan jarak WLTP sehingga 410 km, EV ini menyokong pengecasan AC 11kW dan pengecasan pantas DC  sehingga 100kW. Harga Atas Jalan (tanpa insurans) untuk Proton e.MAS 7 ialah RM109,800 bagi varian Prime dan  RM123,800 bagi varian Premium. Sebagai tawaran pelancaran istimewa untuk 3,000 pelanggan pertama, rebat  RM4,000 diberikan, menjadikan harga varian Prime RM105,800 dan varian Premium RM119,800. 

(more…)

Telekom Malaysia (TM) telah mengumumkan kerjasama strategik dengan Perodua dalam memajukan pembangunan kenderaan elektrik (EV), inovasi digital, dan pertumbuhan lestari, sejajar dengan visi Malaysia untuk mewujudkan sektor automotif bernilai tinggi dan berdaya saing di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Kerjasama ini dirasmikan melalui majlis menandatangani perjanjian di antara Amar Huzaimi Md. Deris, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, dan Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua. Kolaborasi ini meliputi empat bidang strategik, iaitu: Rangkaian Sambungan Hiper (Hyperconnected Network), Kemajuan Teknologi Digital, Peningkatan Pengalaman Pelanggan, dan Kelestarian Alam Sekitar.

TM, melalui TM One, cabang perniagaann untuk sektor perusahaan dan kerajaan, berhasrat menaik taraf infrastruktur Perodua dengan menyediakan sambungan tetap dan tanpa wayar, termasuk penyelesaian SD-WAN untuk rangkaian pengedar, rangkaian 5G persendirian untuk aplikasi automotif, dan teknologi pembuatan pintar untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran.

(more…)

Seorang lelaki berusia 40-an kini disiasat kerana didakwa membuat laporan polis palsu mengenai kereta mewahnya telah dicuri, dalam usaha untuk mendapatkan bayaran insurans. Kes ini berlaku di Rembau dan telah terbongkar selepas siasatan terperinci oleh pihak berkuasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Shaik Abd Kadir Shaik Mohamed, lelaki tersebut membuat laporan kecurian pada pukul 3:15 pagi Sabtu. Dalam laporannya, dia mendakwa telah dirompak oleh dua individu tidak dikenali pada malam Jumaat sekitar jam 10:30, yang kononnya melarikan diri dengan kereta Audi miliknya serta barangan peribadi lain.

Penyiasatan awal dijalankan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan samun berkumpulan. Namun, ketidakkonsistenan dalam keterangannya semasa sesi soal siasat mencetuskan keraguan. Pihak polis kemudian mendapati bahawa kejadian yang dilaporkan sebenarnya tidak berlaku.

(more…)

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube