Piston.my

Dalam Negara

Sesungguhnya kaum wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi Malaysia. Sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pembangunan pemandu trak tugas berat yang mahir, Volvo Malaysia Sdn Bhd (Volvo Trucks) telah memperkenalkan inisiatif Volvo Iron Women di Malaysia. Berkat sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebagai rakan strategik, Volvo Trucks baru-baru ini meraikan kejayaan lima wanita menamatkan kursus dan kini ditauliahkan sepenuhnya sebagai pemandu trak tugas berat. 

“Program Iron Women Volvo telah mencapai kejayaan besar di peringkat global dan kami teruja untuk menawarkan peluang menarik ini di Malaysia sebagai program perintis di rantau Asia Tenggara,” kata Naib Presiden Volvo Trucks International, Johan Selvén, di majlis penyampaian sijil Program Volvo Iron Women.

Naib Presiden Volvo Trucks International, Johan Selvén

Mengulas mengenai potensi program ini di Malaysia, Pengarah Urusan Volvo Malaysia Sdn Bhd, Anthony O’Connell menambah, “Program Volvo Iron Women memperlihatkan komitmen kami kepada usaha mendidik wanita mendapatkan kelayakan sebagai pemandu lori komersial tugas berat. Kami amat mengalu-alukan sokongan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang bekerjasama dengan kami untuk meluaskan program Iron Women dalam jangka panjang. Graduan Iron Women kami benar-benar memberi inspirasi dan kami berbesar hati untuk memainkan peranan memperkasakan mereka untuk menjana sumber pendapatan untuk keluarga dan menjadi bakat yang dihargai dalam industri.”

Pengarah Urusan Volvo Malaysia Sdn Bhd, Anthony O’Connell

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Yang Berhormat Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri, yang menghadiri majlis penyampaian sijil berkata dalam ucapannya, “Kerjasama KPWKM dengan Volvo Trucks menerusi inisiatif Iron Women memperlihatkan kepentingan kerjasama awam-swasta yang membawa impak besar. Saya percaya kita beransur-ansur melangkah maju untuk merapatkan jurang jantina di tempat kerja. Tahniah kepada graduan Iron Women yang menamatkan latihan dengan cemerlang. Tidak lupa juga ahli keluarga mereka yang memberikan sokongan padu untuk membolehkan kumpulan Iron Women kita memberikan perhatian penuh kepada program latihan masing-masing.” 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Yang Berhormat Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri

Yang Berhormat Menteri juga memberi pengiktirafan kepada Taipanco Sdn Bhd, yang bakal mengambil kumpulan graduan yang pertama ini untuk bekerja dan sekali gus menjadi antara segelintir peserta industri yang menyedari nilai pemandu trak tugas berat wanita sebagai aset berharga untuk mengendalikan angkatan kenderaan mereka. 

Kementerian menambah bahawa ia akan memberikan sokongan dengan memberikan ilmu dan kemahiran kepada graduan Volvo Iron Women untuk menceburi industri yang dikuasai lelaki, terutamanya dengan matlamat untuk mengenal pasti dan menangani sebarang bentuk gangguan prasangka jantina dengan penuh yakin. 

Antaranya termasuk menyokong program Volvo Iron Women selama dua tahun, kaunseling dan latihan untuk gangguan prasangka jantina dan menyediakan talian khas bagi pemandu wanita yang memerlukan kaunseling dan nasihat. Kementerian juga akan membantu mengenal pasti dan mengesyorkan calon yang sesuai sebagai peserta. Dengan menyediakan sistem sokongan bagi wanita, pihak Kementerian berharap untuk menyediakan cara yang mudah dan selamat untuk lebih ramai wanita menceburi sektor ekonomi baharu, terutamanya yang lazimnya dikuasai oleh kaum lelaki. 

“Kami percaya bahawa selain daripada mempunyai angkatan trak yang boleh dipercayai, melahirkan pemandu trak yang mahir dan boleh dipercayai juga penting untuk mengekalkan pertumbuhan perniagaan kami. Setelah terlibat dalam industri logistik selama lebih dua dekad, kami melihat potensi besar dalam usaha memperkasakan dan melibatkan wanita untuk memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat bagi pemandu trak mahir,” kata Pengarah Eksekutif Taipanco Sdn Bhd, Dato’ Nazari Akhbar.

Pengarah Eksekutif Taipanco Sdn Bhd, Dato’ Nazari Akhbar

Program Volvo Iron Women dirangka untuk mengasah kemahiran calon dari mula hingga akhir, bermula dengan kelas dan peperiksaan yang dikendalikan oleh institut memandu bertauliah untuk mendapatkan lesen Kelas E bagi memandu kenderaan berat. Selepas menjalani penilaian kesihatan penuh, calon kemudian maju ke peringkat seterusnya untuk mendapatkan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) dengan menghadiri ceramah tujuh jam dan menduduki peperiksaan teori, yang kosnya ditanggung oleh syarikat majikan. Lesen GDL dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu kenderaan ringan, kenderaan berat (kejur) dan kenderaan bersendi. Program Volvo Iron Women di Malaysia memberi tumpuan kepada kenderaan bersendi. 

Kumpulan pertama graduan Volvo Iron Women terdiri daripada lima wanita berusia antara 27 tahun dan 40 tahun. Tiga daripada lima calon merupakan ibu, dengan salah seorang ialah ibu tunggal kepada lima orang anak.  Pada hari pertama latihan, kelima-lima mereka hadir dengan tahap pengalaman berbeza dalam industri pengangkutan, daripada pemandu baharu kepada pemegang lesen Kelas E sedia ada untuk Trak Kejur. 

Volvo Trucks juga menerapkan kursus tiga modul yang merangkumi teori, praktikal dan penilaian yang meliputi semua aspek latihan pemandu, antara lain termasuk pematuhan, pengurusan kelesuan, penyambungan dan pemisahan treler dan pemanduan berhemah. Selepas menamatkan kursus, kelima-lima wanita akan diambil bekerja oleh Taipanco Sdn Bhd dan menjalani latihan pengenalan yang dikendalikan pemandu berpengalaman yang berperanan sebagai mentor. 

Selain daripada mengukuhkan pertumbuhan ekonomi, pelaburan dalam pembangunan wanita menghasilkan kesan pengganda kerana wanita kemungkinan besar melaburkan semula sebahagian besar daripada pendapatan mereka ke dalam keluarga dan masyarakat. 

Pengambilan bagi program Volvo Iron Women 2025 telah dibuka secara rasmi, dengan dua kumpulan pelatih dijadualkan diambil untuk separuh pertama dan kedua tahun.  Inisiatif ini berazam mentauliahkan kira-kira 100 pemandu trak tugas berat wanita menjelang akhir 2025.  Tempoh program mungkin mengambil masa antara tiga hari bagi pemegang lesen E- GDL sedia ada dengan tahap pengalaman tertentu, hingga lapan minggu bagi mereka tanpa lesen yang baru belajar memandu trak. 

 Program Volvo Iron Women ialah sebuah inisiatif global yang dimulakan pada 2016. Langkah memperkenalkan program di Malaysia mendapat sambutan baik oleh semakin banyak syarikat logistik kerana permintaan tinggi bagi pemandu kenderaan tugas berat, sejajar dengan anggaran pertumbuhan industri pengangkutan dan logistik Malaysia. 

smart Malaysia mengumumkan Jelajah smart Tour ke Pulau Pinang, meneruskan perjalanan smart di seluruh negara untuk mempamerkan kenderaan smart #1 dan #3. Jelajah ini diadakan untuk mendekatkan anda dengan EV inovatif daripada smart dengan demonstrasi langsung yang mempamerkan ciri-ciri utama seperti keupayaan V2L dan aplikasi Hello smart.

smart Malaysia menjemput peminat kenderaan elektrik di Pulau Pinang untuk bersama-sama dan merasai prestasi smart #1 dan #3. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati tawaran ekslusif smart Fest kami, dengan penjimatan sehingga RM30,000 untuk smart #1 BRABUS. Selain itu, para pengunjung juga boleh mendapatkan tips yang bermanfaat daripada pakar smart sekaligus tidak melepaskan peluang untuk pandu uji smart.

(more…)

Pemilik Isuzu D-Max bersama-sama mempamerkan semangat patriotik mereka apabila menyertai Konvoi Merdeka Isuzu 2024 sebagai sebahagian daripada usaha syarikat untuk meraikan sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-67 tahun ini.

Seramai kira-kira 3,300 peserta melibatkan sebanyak sekitar 900 unit Isuzu D-Max berkumpul di 36 cawangan Isuzu di seluruh negara, dari Alor Setar hingga ke Keningau, sebelum berkonvoi ke destinasi pilihan di kawasan masing-masing.

Pelbagai pengisian aktiviti turut diatur untuk peserta bersantai meraikan Hari Merdeka tahun ini, termasuklah antaranya santapan durian, merakit jeram, glamping, mencari harta karun, berkelah dan banyak lagi.

Konvoi Merdeka Isuzu 2024 meneruskan kejayaan Konvoi Merdeka 66 yang berlangsung tahun lalu yang menyaksikan penyertaan sekitar 600 buah D-Max. Sebagai satu perhimpunan serentak yang terbesar melibatkan perarakan Isuzu D-Max di negara ini, konvoi berkenaan berhasrat untuk menghimpunkan pemiliknya disamping memperingati tarikh bersejarah berkenaan.

(more…)

BMW Malaysia telah memperkenalkan BMW 520i M Sport baru, yang mengembangkan rangkaian model BMW 5 Series yang dipasang secara tempatan. Ini mengikuti pelancaran BMW 520i di Malaysia Autoshow 2024 pada bulan Mei. (more…)

Peugeot Malaysia telah mengumumkan pembukaan rasmi Peugeot Subang Jaya yang dikendalikan oleh Allure Auto Sdn Bhd, terletak di tengah-tengah Taipan USJ. Ini merupakan pelancaran cawangan pertama di bawah Stellantis Malaysia, yang kini menjadi entiti rasmi yang bertanggungjawab dalam pengedaran, pemasaran, jualan, dan selepas jualan untuk Peugeot di Malaysia. (more…)

Kenderaan SUV elektrik hibrid yang dinantikan, GWM HAVAL H6 HEV, kini secara rasmi dibuka untuk tempahan. GWM Malaysia bakal memperkenalkan varian Ultra dengan ciri-ciri premium untuk pasaran tempatan, di mana harganya dianggarkan kurang daripada RM145,000 (OTR) tanpa insurans. Model baharu ini akan memberikan pilihan yang mewah dalam kategori SUV segmen-C untuk pengguna di Malaysia. (more…)

Chery Malaysia dengan bangganya meraikan pembukaan besar bilik pameran dan pusat servis 4S terbaharunya di Negeri Sembilan, yang dikendalikan oleh rakan kongsi peniaga lama Taycn Kredit Sdn Bhd. Acara pelancaran rasmi itu dihadiri oleh pelanggan sedia ada Chery dan dimeriahkan dengan kemeriahan.

Pusat 4S baharu itu, terletak di Lot 2413, Pekan Rahang Baru, Jalan Tampin, Seremban, berkeluasan 1,317 meter persegi dan memberikan pengalaman menyeluruh kepada pelanggan, daripada melihat kenderaan kepada perkhidmatan selepas jualan dan penyelenggaraan. Ia menawarkan pusat servis yang serba lengkap dengan empat ruang servis, semuanya dikendalikan oleh juruteknik terlatih Chery.

Pelancaran besar Chery Seremban telah disertai oleh ahli komuniti WCWL (With Chery, With Love), sekumpulan pemilik Chery yang bersemangat, menambah rasa setiakawan pada acara tersebut. Selepas majlis itu, ahli kumpulan WCWL menyertai konvoi di sekitar bandar Seremban, mempamerkan kebanggaan mereka terhadap jenama tersebut.

(more…)

Jaecoo Malaysia kini semakin pesat dalam memenuhi permintaan untuk SUV J7 Pacuan Semua Roda (AWD) mereka yang premium. Lebih 500 unit telah berjaya diserahkan kepada pemilik baharu di seluruh negara, menunjukkan penerimaan positif terhadap kenderaan ini di pasaran tempatan. Penghantaran gelombang pertama ini telah tiba tepat pada masanya di pengedar-pengedar utama, dan Jaecoo juga sedang bersedia untuk mempercepatkan penghantaran varian Pacuan Dua Roda (2WD) J7 yang dijangka tiba lebih awal daripada jadual, iaitu sebelum awal September.

Jaecoo memperkenalkan keahlian elit J-Club sebagai sebahagian daripada pengalaman pemilikan yang unik. Menurut Emily Lek, Naib Presiden Jaecoo Malaysia, semua pemilik Jaecoo secara automatik akan menjadi ahli J-Club, di mana mereka akan menikmati pelbagai faedah eksklusif. Ini termasuk perkhidmatan peribadi, penyelenggaraan kenderaan khas, serta akses kepada acara sosial istimewa. J-Club juga menawarkan peluang untuk pemilik mengambil bahagian dalam aktiviti luar jalan seperti glamping, bengkel penjagaan kereta, dan kerjasama dengan artis.

(more…)

Penduduk di Taman Ipoh Timur atau Ipoh Garden East semakin bimbang mengenai kemalangan jalan raya yang kerap berlaku di Jalan Perajurit, terutamanya di persimpangan dengan Persiaran Perajurit 3. Jalan ini menjadi laluan utama bagi penduduk tempatan yang bergerak ke kawasan-kawasan seperti Taman Kaya, Taman Kemuncak, dan Taman Perak, serta ke arah Bercham, Tambun, dan Sunway City Ipoh.

Menurut laporan The Star, kemalangan-kemalangan ini disebabkan oleh faktor seperti kelajuan berlebihan, bonggol jalan yang tidak mencukupi, pembahagi jalan rendah, dan kurangnya papan tanda jalan yang jelas. Penduduk lama telah menekankan bahawa isu ini telah berlarutan selama lebih daripada 15 tahun, dengan kawasan di sekitar kedai kopi berhampiran persimpangan Persiaran Perajurit 3 menjadi tumpuan utama masalah. Penunggang motosikal yang sering memotong kenderaan lain turut menyumbang kepada kemalangan yang kerap berlaku, kadang-kala beberapa kali sehari.

Di samping itu, penduduk turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemandu yang meletak kenderaan secara haram berhampiran gerai penjaja di kawasan persimpangan tersebut, yang memperburuk lagi keadaan lalu lintas. Meskipun terdapat tempat letak kereta di belakang rumah kedai, ramai pemandu memilih untuk tidak menggunakannya.

Semasa mesyuarat dewan perbandaran yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), ramai penduduk menyuarakan kebimbangan mereka. Ada yang mencadangkan penyelesaian seperti menaikkan pembahagi jalan dan menambah papan tanda reflektif bagi meningkatkan jarak penglihatan serta keselamatan. Sebagai tindak balas, MBI mencadangkan untuk memasang dua lampu isyarat di persimpangan utama dan menukar beberapa jalan menjadi jalan sehala untuk meningkatkan aliran trafik. Walau bagaimanapun, pandangan penduduk berbeza-beza tentang keberkesanan langkah ini.

(more…)

Setelah diperkenalkan kepada umum pada 15 Ogos, Proton X70 2025 telah dilancarkan di Sabah dan Sarawak, menandakan kali pertama Proton mengadakan pelancaran berasingan untuk model SUVnya khusus untuk pelanggan di Sabah dan Sarawak. 

Setelah membuat penampilan pertama pada 12 Disember 2018, SUV C-segment Proton ini telah menerima pelbagai penambahbaikan yang membawa ia ke barisan hadapan kelasnya. Dengan gaya luaran yang segar, peralatan dalaman yang dipertingkatkan, teknologi keselamatan ADAS tahap 2 yang canggih, Proton X70 2025 dijangka memberi impak besar kepada pencinta SUV di seluruh negara.

Proton X70 bukan sahaja telah merevolusikan segmen SUV premium di Malaysia tetapi juga memainkan peranan penting dalam kejayaan Proton di Sabah dan Sarawak, dengan sumbangan yang ketara kepada angka jualannya. Sepanjang lima tahun yang lalu, Proton X70 telah menjadi pilihan utama pelanggan di seluruh Malaysia, dengan lebih 100,000 unit terjual dan tujuh anugerah berprestij.

(more…)

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube