Piston.my

Dalam Negara

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengambil tindakan tegas terhadap kenderaan berdaftar Singapura yang gagal mematuhi keperluan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) apabila memasuki Malaysia. Sejumlah 1,489 saman telah dikeluarkan dalam tempoh bermula 1 Julai hingga tamatnya operasi penguatkuasaan baru-baru ini, melibatkan jumlah denda keseluruhan sebanyak RM445,800.

Operasi tersebut dijalankan di lokasi strategik berhampiran dua pintu masuk utama negara—Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB)—serta di beberapa kawasan dalam daerah Johor Bahru. Dalam tempoh itu, sebanyak 14,379 buah kenderaan Singapura telah diperiksa.

Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, operasi ini telah memasuki fasa penguatkuasaan penuh dan tidak lagi bersifat mendidik atau memberi amaran. Beliau memaklumkan bahawa dalam satu malam operasi sahaja, sebanyak 15 saman telah dikeluarkan terhadap kenderaan yang didapati masuk ke Malaysia tanpa memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP yang diwajibkan.

Tambah beliau, kebanyakan pemandu kenderaan Singapura yang disaman memberikan alasan yang sama, iaitu mereka tidak menyedari penguatkuasaan telah bermula dan menyangka pihak berkuasa masih memberi kelonggaran berbentuk pendidikan serta advokasi. Namun, Muhammad Kifli menegaskan bahawa era toleransi telah tamat dan JPJ kini akan mengambil tindakan serta-merta terhadap sebarang ketidakpatuhan. Mereka yang disaman juga diarahkan menyelesaikan denda dan menguruskan sebarang isu tertunggak tanpa sebarang penangguhan.

(more…)

Proton memulakan penghantaran model terbaharunya, Proton X50, kepada  pelanggan di seluruh negara selepas pelancaran rasminya pada 24 Julai. Dalam tempoh hanya lima hari bekerja,  sebanyak 999 unit telah berjaya diserahkan, memastikan pelanggan awal diberi ganjaran atas sokongan mereka  sebelum harga didedahkan. Sebanyak 2,000 unit juga telah siap dipasang di kilang Proton di Tanjong Malim pada  akhir bulan Julai dan jumlah ini dijangka terus meningkat dalam tempoh terdekat bagi memastikan permintaan tinggi  dapat dipenuhi dan tempoh menunggu bagi pelanggan kekal minimum. 

“Pelancaran Proton X50 serba baharu mengikut urutan yang dirancang dengan teliti di mana publisiti dipertingkatkan  dalam beberapa siri pengaktifan. Kami menerima sokongan yang luar biasa daripada bakal pembeli kereta yang kagum  dengan ciri-ciri yang ditawarkan dan hasilnya, kami memperoleh 5,000 tempahan dalam masa 10 hari sebelum harga  didedahkan, dan kini kami telah menerima tempahan secara kumulatif sebanyak 8,000 unit. 

Dengan lebih 140,000 unit terjual sejak pelancarannya pada Oktober 2020, Proton X50 merupakan SUV segmen B  paling popular di Malaysia. Proton berhasrat untuk mengukuhkan lagi kejayaan ini dengan meluaskan daya tarikan  produknya. Bagi mendekati segmen pasaran yang lebih muda, Proton telah menjalin kerjasama dengan artis dan  pempengaruh tempatan untuk pelancaran X50 baharu dan telah menghasilkan sebuah lagu istimewa bersama  kumpulan nyanyian De Fam yang dipersembahkan secara langsung, di samping melancarkan video muziknya di majlis pelancaran. 

(more…)

Volvo Car Malaysia bakal menghidupkan semula edisi popular Jualan Merdeka Eksekutif Volvo pada Ogos ini, dengan tawaran menarik ke atas rangkaian kenderaan pra-milik yang disahkan dan berkualiti tinggi. Susulan sambutan memberangsangkan pada tahun 2024 — di mana hampir 70 unit terjual pada hari pertama — edisi tahun 2025 menjanjikan nilai yang lebih menguntungkan serta pilihan model yang lebih pelbagai. Harga permulaan ditetapkan serendah RM160,000.

Acara istimewa ini akan berlangsung pada 16 dan 17 Ogos 2025, bertempat di Aras 3A, Dataran Symphony, Menara Symphony, Petaling Jaya. Pameran tersebut bakal memperlihatkan barisan kenderaan pra-milik terpilih yang diperoleh daripada kumpulan korporat dalaman Volvo Car Malaysia, termasuk unit yang pernah dipandu oleh ahli pengurusan tertinggi syarikat itu sendiri.

Semua kenderaan yang ditawarkan adalah sebahagian daripada program Volvo Selekt Certified Used Cars, yang menjamin setiap model telah memenuhi standard ketat dari segi keselamatan, prestasi dan kebolehpercayaan. Setiap unit telah menjalani pemeriksaan 125 mata secara menyeluruh dan dibaik pulih menggunakan alat ganti tulen Volvo oleh juruteknik yang terlatih. Tambahan pula, kesemua kenderaan telah menerima kemas kini perisian terkini, dan masih dilindungi oleh waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun, bantuan tepi jalan 24 jam, serta perkhidmatan digital penuh.

(more…)

Proton dengan bangganya  mengumumkan integrasi fungsi Pengecaman Suara (VR) Bahasa Melayu pada Proton X50 Serba Baharu yang baru sahaja dilancarkan. Inovasi ini tiba tujuh tahun selepas Proton memperkenalkan sistem VR “Hi Proton” dalam Bahasa  Inggeris ke pasaran Malaysia. Ciri unik dalam industri automotif ini secara signifikan meningkatkan kemudahan, akses  yang lebih mudah, dan keselamatan, sambil pada masa yang sama menyediakan sistem kawalan yang amat intuitif  untuk ramai pemandu Malaysia. 

Di teras kecanggihan Proton X50 Serba Baharu adalah paparan infotainmen 14.6 inci yang canggih, dilengkapi  dengan fungsi VR Bahasa Melayu yang lancar dan sokongan Bahasa Inggeris sedia ada. Keupayaan dwi-bahasa ini  jelas meletakkan Proton sebagai pengeluar kereta pertama yang menawarkan fungsi arahan suara sedemikian maju.  

‘Aisyah’ Nama Yang Dipilih Untuk Pengecaman Suara Bahasa Melayu Pertama Di Dunia

Diberi nama Aisyah – sebuah figura wanita yang menarik dan mesra, direka untuk dirasai seperti rakan atau ahli keluarga  – sistem VR ini dibangunkan dalam tempoh hanya tujuh bulan, tempoh yang lebih singkat daripada perancangan awal  projek selama setahun. Pembangunan yang berlangsung dari Oktober 2024 hingga Mei 2025 ini melibatkan pengumpulan  4,000 variasi arahan Bahasa Melayu, dan sepanjang tempoh yang sama, 4,000 variasi arahan Bahasa Inggeris turut  dikumpul. 

(more…)

Sikap sambil lewa terhadap penggunaan tali pinggang keledar dalam kalangan pemandu dan penumpang bas terus menjadi kebimbangan utama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, susulan satu operasi penguatkuasaan yang mendedahkan tahap ketidakpatuhan yang amat membimbangkan.

Menurut laporan The Star, Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata bahawa sebahagian besar individu yang diperiksa semasa operasi mengemukakan alasan “terlupa” memakai tali pinggang keledar. Ada juga yang menyatakan kepercayaan bahawa mereka tidak perlu memakainya kerana sedang menaiki “bas besar yang selamat”, sekali gus mendedahkan salah tanggapan serius mengenai tahap keselamatan dalam pengangkutan awam.

Operasi yang dijalankan pada malam 29 Julai lalu menyaksikan pemeriksaan ke atas 350 buah bas ekspres dan bas persiaran. Hasil pemeriksaan mendapati 135 penumpang dan 18 pemandu daripada 109 buah bas telah gagal mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar, satu angka yang jelas menunjukkan kelalaian yang berleluasa.

(more…)

Pengguna jalan raya, khususnya pemilik kenderaan persendirian, menarik nafas lega apabila kerajaan memutuskan untuk menangguhkan kenaikan kadar tol yang sepatutnya dilaksanakan di 10 lebuh raya utama negara pada tahun ini. Penangguhan ini berjaya mengelakkan peningkatan tol antara 79% hingga 83% yang dijangka akan memberi kesan langsung kepada kos harian rakyat.

Tanpa penangguhan tersebut, pengguna Kelas 1—kategori yang melibatkan kereta persendirian—berkemungkinan besar perlu membayar caj tol tambahan antara RM0.50 hingga RM4.56 sehari, bergantung kepada laluan. Ini boleh membawa kepada kos sebanyak RM136 sebulan, atau mencecah RM1,632 setahun bagi mereka yang berulang-alik selama 20 hari setiap bulan.

Menurut The Star, perkara ini disahkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada 29 Julai. Beliau menjelaskan bahawa keputusan untuk menangguhkan pelarasan kadar tol merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memberi bantuan kewangan segera kepada rakyat, terutama golongan yang bergantung kepada lebuh raya bertol untuk urusan harian.

(more…)

Volvo Padel Open 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh kemeriahan pada Ahad lepas selepas enam hujung minggu yang mendebarkan, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai kejohanan padel terbesar dan paling dinanti-nantikan di Malaysia.

Kembali untuk edisi keduanya yang sangat dinantikan, kejohanan ini mencatat kehadiran yang mengagumkan – lebih 400 pemain bertanding dalam tiga kategori: Beginner, Intermediate dan Advanced – termasuk 160 peserta baharu yang mencuba buat pertama kali dalam suasana kompetitif.

Tahun ini, kejohanan dianjurkan bersama tiga kelab padel utama Lembah Klang – Joy Division Padel, Padelground dan PadelKu – dengan sokongan rakan kongsi seperti Coca-Cola Malaysia, Tactical Padel, Directors’ ThinkTank dan REGEN Physio & Sports Rehab. Para peserta berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM180,000.

Selain ganjaran wang tunai, para juara turut menerima jam bermain percuma di gelanggang, pengalaman selama tujuh hari dengan Volvo elektrik sepenuhnya serta raket atau barangan eksklusif daripada Tactical – menjadikan kemenangan mereka lebih bermakna.

(more…)

Dengan penawaran yang tiada tanding bagi kecekapan bahan api melalui barisan trak pikap keluarannya, Isuzu Malaysia berjaya mengukuhkan kedudukannya di tempat kedua dalam pasaran tempatan apabila mencatatkan angka jualan yang membanggakan bagi suku kedua tahun ini untuk Isuzu D-Max.

Peningkatan jumlah jualan terbaik yang dicapai bagi tempoh suku tahunan tersebut telah mendorong syarikat mencatatkan perkongsian pasaran sebanyak 16% dengan 3,081 unit trak pikap tersebut telah terjual setakat ini. Populariti Isuzu D-Max ini sekali lagi dipacu oleh permintaan tinggi terhadap model dengan enjin 1.9 liter—sebuah enjin yang cukup berkemampuan dan menawarkan prestasi memanduan yang memukau, penjimatan bahan api yang cekap, kepelbagaian penggunaan dan keselesaan—yang telah menyumbang kepada lebih 85.8% jualan.

Antara yang paling laris dijual ialah varian 1.9-liter 4×4 Auto Premium, yang menawarkan nilai terbaik untuk wang menerusi kelengkapan impresif serta keselesaan yang ditawarkan, begitu juga dengan ciri keselamatannya. Sebagai sebuah varian yang juga telah tersenarai dalam Malaysian Book of Record bagi pencapaian perjalanan paling jauh bagi satu tangki minyak, 1.9-liter 4×4 Auto Premium sendiri menyumbang kepada 18.6% daripada jualan keseluruhan.

(more…)

Proton Holdings Berhad (Proton) mengumumkan penubuhan Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB), sebuah anak syarikat milik penuh yang ditubuhkan untuk menerajui usaha  memperluas pasaran luar negara. Penubuhan ini bertujuan untuk memberikan lebih fleksibiliti dalam menguruskan  pasaran antarabangsa. Dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat baharu ini ialah Encik Edmund Lim Meng  Thong, bekas Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton. 

Dengan jualan eksport dikenali sebagai faktor utama pertumbuhan jualan masa hadapan, PICSB dipertanggungjawabkan untuk meluaskan jejak global Proton dengan sasaran untuk berkembang ke negara-negara Selatan Global di samping  terus menyelia dan membangunkan usaha jualan serta pemasaran di pasaran luar negara sedia ada.

Model-model  Proton kini mendahului jumlah eksport kenderaan di Malaysia dan perancangan jangka panjang syarikat menetapkan peningkatan sepuluh kali ganda dalam jumlah eksport dalam tempoh lima tahun akan datang. Turut hadir dalam  mesyuarat lembaga pengarah pertama yang diadakan pada 14 Julai ialah Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li  Chunrong bersama Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Encik Ainol Azmil dan Ketua Pegawai  Kewangan, Pn. Chen Limin. 

Megah Mewakili Produk Buatan Malaysia Di Persada Global 

Setelah memulakan eksport ke Bangladesh pada tahun 1986, hanya setahun selepas kereta pertama dihasilkan,  Proton dengan pantas meluaskan jejak global. Menjelang tahun 1992, Proton telah menjadi francais kereta baharu  paling pesat berkembang di UK dengan jualan tahunan mencapai 15,000 unit. Menjelang awal tahun 2000-an, model model Proton telah berada di 64 buah negara di seluruh dunia. Proton secara strategik mengalihkan tumpuan  kepada pasaran serantau berpertumbuhan tinggi seperti ASEAN, China, India, Timur Tengah, dan Afrika Utara. 

(more…)

Acara terulung Kustom Kulture, Art Of Speed (AOS 2025) yang ke-14 menggegarkan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dari 26 hingga 27 Julai 2025, menarik ribuan peminat dan penggemar tegar. 

Kekal setia pada identitinya, AOS memukau pengunjung dengan pameran luar biasa jentera ubah suai dari dalam dan luar negara, manakala kehadiran tetamu antarabangsa menambah lagi bahang acara ikonik ini yang meraikan seni dan gaya hidup automotif.

Acara berlangsung dengan penuh kemeriahan, sorakan dan tenaga luar biasa, sekali lagi membuktikan mengapa AOS terus menjadi acara budaya kustom paling dinantikan di Malaysia.

Tetamu Antarabangsa & VIP

Tahun ini memperlihatkan tetamu yang lebih ramai lagi, termasuklah:

  1. Shige Suganuma, Hiro “Wildman” Ishii & Hey Murakamii dari MOONEYES – Jepun
  2. Brendon Vetuskey – Pereka Produk Hot Wheels, Amerika Syarikat
  3. Darren McKeag (McKeag Art) – Amerika Syarikat
  4. Mark Hawwa dari The Distinguished Gentleman’s Ride – Australia
  5. Yuichi Yoshizawa dari Custom Works Zon – Jepun
  6. Masa Sugihara dari Luck MC – Jepun
  7. Ben Forster dari Benflathead – Australia
  8. Scott Hopkin dari Pipeburn – Australia
  9. Gussan dari 2%er – Jepun
  10. Daisuke Sakon dari Kustomstyle – Jepun
  11. Koichi Ikura dari AMEFES – Jepun
  12. Side Yakotani – Jepun 
  13. Banzai Racing Equipment – Jepun
  14. StanceNation – Jepun
  15. Vibes Magazine – Jepun
  16. GokurakuDezign – Taiwan
  17. Ken Takabayashi (Ken The Flattop) – Jepun
  18. Shuji Masunaga (Highjumper Art Service) – Jepun
  19. Choppajoop – Singapura
  20. SixtySick Paintlab – Indonesia (kumpulan terdiri daripada 20 artis pinstripe)
  21. Fahmi Freeflow – Indonesia 
  22. Mill Art – Indonesia 
  23. Irvine Jasta – Indonesia
  24. Bangkok Hot Rod Show – Thailand
  25. MOONEYES Bangkok – Thailand
  26. Kustomanila – Filipina
  27. Borneo Kustom Show – Brunei
  28. BBQ Ride – Indonesia
  29. Wicked Wallop – Singapura
  30. 645 Magazine – Indonesia
  31. Infinite Media – Thailand
  32. Simon’s Garage – China 

AOS Menyala!

Naik taraf besar-besaran bermula sebaik sahaja anda melangkah masuk. Gerbang ikonik AOS kini tampil lebih garang dan moden dengan paparan LED penuh yang memancarkan visual dan animasi dinamik. Sentuhan baharu ini bukan sekadar penyambut tetamu yang bergaya — ia mencerminkan semangat AOS itu sendiri: penuh kreativiti, budaya dan inovasi. Tidak hairanlah gerbang baharu ini menjadi antara lokasi paling banyak dirakam dan tumpuan utama yang dinanti-nantikan para pengunjung.

(more…)

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube