Omoda telah memperkenalkan model terbaharunya, Omoda 3, sebuah crossover kompak bergaya sporty yang diletakkan di bawah Omoda 5 dan Omoda 7. Mengikut pasaran, model ini juga mungkin dikenali sebagai Omoda C3, selari dengan penamaan Omoda 5 (C5) dan Omoda 7 (C7).
Seperti yang dapat dilihat menerusi rekaan berani dan bersudut tajam, Omoda 3 jelas disasarkan kepada golongan pembeli muda, sebagaimana yang dinyatakan oleh Pengarah Jenama Omoda, Roy Xie. Malah, model ini dihasilkan oleh pasukan pereka muda dengan purata usia hanya 28 tahun.
Inspirasi rekaan Omoda 3 diambil daripada konsep “kapal bintang”, yang menjelaskan kehadiran garisan tajam dan lipatan bersudut pada badan kenderaan. Beberapa ahli media dari Malaysia berpendapat bahawa rekaan Omoda 3 menyerupai elemen tertentu daripada Lamborghini Urus. Namun begitu, penulis berpendapat ia lebih mengingatkan kepada Toyota Yaris Cross dalam versi lebih tajam, terutamanya pada bahagian lengkungan roda yang bersudut — Yaris Cross kini merupakan model terlaris dunia dalam segmennya.