PRO-NET, anak syarikat Proton peneraju kepada pembangunan mobiliti elektrik, mengumumkan bahawa Proton e.MAS 5, kenderaan elektrik mampu milik pertama di Malaysia, telah menerima 3,000 tempahan, termasuk 1,607 tempahan dalam tempoh 24 jam pertama selepas tempahan dibuka.
Kejayaan awal Proton e.MAS 5 memperkukuh keyakinan pasaran yang telah dibina oleh model terdahulunya, Proton e.MAS 7, yang terus mengungguli carta pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia sepanjang tahun 2025. Sehingga 30 September 2025, jumlah jualan kumulatif e.MAS 7 telah mencecah 6,655 unit, merangkumi 6,212 unit jualan domestik dan 443 unit eksport. Pencapaian ini mengekalkan kedudukan e.MAS 7 sebagai EV No.1 di Malaysia selama sembilan bulan berturut-turut, dengan penguasaan pasaran EV sebanyak 24%.
Dengan kehadiran Proton e.MAS 5 tidak lama lagi, PRO-NET terus memperkukuh komitmennya untuk menawarkan kenderaan elektrik berkualiti dan berteknologi canggih pada harga mampu milik. EV segmen-B ini dijangka dijual pada anggaran harga antara RM60,000 hingga RM80,000, didatangkan dengan ciri, teknologi, dan pengalaman pemanduan yang setanding dengan kenderaan dalam lingkungan harga yang lebih tinggi.

















