Sebagai pengeluar trak di peringkat global dengan produk paling berkeupayaan, pelbagai guna serta boleh diharapkan sejak dulu lagi, barisan kenderaan komersial Isuzu sentiasa memberi nilai tambah kepada operasi perniagaan. Penyandang rekod 11 tahun sebagai jenama kenderaan komersial No.1 di Malaysia, Isuzu sememangnya sangat memahami keperluan pelanggan. Untuk itu, syarikat itu memperkenalkan varian yang memberi tumpuan kepada operasi perniagaan dalam bandar — trak pikap Isuzu D-Max Double Cab 1.9-liter 4×2 Manual Low Ride yang baharu.
Disasarkan untuk menjadi penyelesaian pengangkutan yang mudah dan cekap antaranya kepada pengendali perniagaan, penyedia perkhidmatan mahupun syarikat yang mempunyai barisan kenderaan yang besar, Isuzu D-Max Low Ride 4×2 baharu ini menampilkan fungsi dan kecekapan sebagai keutamaannya, sekaligus menjadi sebuah trak pikap mampu milik dalam pasaran pada ketika ini.
Tarikan utamanya ialah ruang muatan barangan di kedudukan lebih rendah dengan jarak 78 cm dari tanah: ini adalah 5% lebih rendah berbanding model High Ride biasa dengan muatan beban. Selain urusan muat naik dan pemunggahan barangan yang lebih senang, capaian di bahagian bukaan ruangnya juga lebih baik, memudahkan petugas untuk mengambil barang dari ruang kargo yang luas dan mampu menampung beban seberat 930 kg.
“Isuzu D-Max Low Ride baharu ini direka untuk memberikan nilai yang penting kepada pemiliknya. Ciri-ciri asas dan fungsi yang ringkas adalah bertujuan untuk mengekalkan tahap kos operasi yang rendah disamping memberikan produktiviti tinggi,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.
Selain harga jualan lebih rendah yang menjadikannya sebuah trak pikap paling mampu milik dalam pasaran ketika ini, Isuzu D-Max Low Ride 4×2 baharu juga menjadikan kos operasi lebih murah melalui spesifikasi mekanikalnya yang sangat boleh diharap, terdiri daripada enjin 1.9 liter Blue Power yang sudah terbukti lasak, berprestasi serta jimat bahan api sekaligus. Tidak lupa, ia juga menikmati kadar cukai jalan antara yang termurah bagi trak pikap.











