McLaren telah memperkenalkan model edisi khas, JC96, iaitu versi istimewa daripada 750S yang dicipta khusus untuk meraikan kejayaan pasukan perlumbaan mereka di Jepun pada tahun 1996. Pada ketika itu, McLaren F1 GTR muncul juara dalam Kejohanan Pemandu All-Japan Grand Touring Car Championship, satu detik bersejarah yang kini diabadikan melalui model baharu ini.
Sebanyak 61 unit sahaja JC96 akan dihasilkan, dan kesemuanya akan kekal di pasaran Jepun. Rekaan luaran tampil berani dengan corak ‘Tiger Stripe’ yang diinspirasikan daripada jentera perlumbaan asal. Ia turut dipadankan dengan rim ringan 15-jejari serta perincian unik yang mengingatkan kepada dunia sukan permotoran.
Bahagian luar dilengkapi sentuhan khas pada splitter, sayap belakang dan cermin sisi. Pelanggan boleh memilih warna eksklusif seperti Memphis Red, Titanium Silver, Ice White dan Graphite Grey, selain pilihan kemasan khusus mengikut cita rasa. Model ini turut didatangkan dengan bumbung dan diffuser berwarna hitam berkilat, angkup brek emas bersama logo McLaren merah, serta beberapa aksen halus lain yang menaikkan lagi gaya agresifnya.











