Piston.my

BM

Selepas mengumumkan anggaran harga bermula dari RM115,000 untuk SUV elektrik segmen B terbaharu, MGS5 EV, MG Motor Malaysia kini menawarkan pakej eksklusif awal sempena Malaysia Autoshow 2025.

Pelanggan yang membuat tempahan MGS5 EV semasa Malaysia Autoshow dengan bayaran yuran tempahan RM500 akan layak untuk pakej early bird eksklusif. Pakej ini menawarkan penjimatan luar biasa memberikan nilai tambahan kepada penyokong awal sebelum harga rasmi diumumkan. Di samping itu, pelanggan awal juga akan menerima pengecas AC Wallbox 7kW secara percuma bagi memudahkan pengecasan di rumah.

Varian dan Prestasi MGS5 EV

MGS5 EV akan ditawarkan dalam dua varian – COM dan LUX. Varian COM hadir dengan pilihan bateri 49kWh atau 62kWh, masing-masing memberikan jarak WLTP sehingga 340km dan 430km. Bateri 62kWh adalah standard untuk varian LUX, yang juga menawarkan jarak sehingga 430km. Semua varian dilengkapi dengan tork 170PS dan 250Nm disalurkan melalui konfigurasi Pacuan Roda Belakang (RWD) yang menjadi pilihan unik dalam segmennya serta sokongan pengecasan 7kW AC.

(more…)

BMW Malaysia hari ini melancarkan BMW 330Li M Sport Baharu di Malaysia Autoshow 2025, sebagai satu lagi acara dalam sambutan berterusan 50 tahun BMW 3 Series. Dalam pada jenama ini meraikan lima dekad dan tujuh generasi BMW 3 Series, wajah jenama BMW – model jarak roda panjang terbaharu ini menyerlahkan legasi berterusan dalam prestasi dinamik, keselesaan mewah dan teknologi progresif. 

Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, berkata, “BMW 3 Series telah lama menjadi tunjang utama dalam portfolio kami serta simbol identiti jenama BMW. Model ini bukan sahaja menerajui penciptaan segmennya, malah terus berkembang seiring peredaran masa, merentasi tujuh generasi, untuk menjadi kenderaan yang unggul sejajar dengan misi kami dalam memberikan prestasi luar biasa dan keseronokan pemanduan yang tiada tandingan, serta dilengkapi dengan inovasi terbaik. Legasi ini diteruskan pada hari ini dalam satu lembaran baharu, yang jelas terlihat pada model terbaharu – memperlihatkan DNA BMW 3 Series dengan lebih ketara untuk pasaran Malaysia yang moden. Dengan BMW 330Li M Sport Baharu, model ini menjadi lambang sempurna warisan kebanggaan BMW sambil memenuhi jangkaan tinggi pemandu pada hari ini. Didorong oleh prinsip terhadap Keterbukaan Teknologi dan Kuasa Pilihan, BMW 330Li M Sport Baharu mencerminkan usaha berterusan kami dalam inovasi, menerusi tawaran keupayaan digital yang canggih, sistem bantuan moden dan reka bentuk yang sungguh menyerlah.”

Sejak penampilan sulungnya pada tahun 1975, BMW 3 Series telah menjadi lambang keunggulan dalam gaya pemanduan sporty, ketepatan dan inovasi dalam segmen premium. Merentasi tujuh generasi, model ini kekal sebagai penanda aras dalam segmennya untuk dinamik pemanduan dan kemajuan teknologi automotif. BMW 330Li M Sport Baharu meneruskan legasi ini dengan menggabungkan prestasi ikonik bersama keselesaan yang dipertingkatkan serta integrasi digital yang moden. Dengan reka bentuk yang diperbaharui, elemen dalaman yang direka semula dan pelbagai ciri yang ditambah baik, BMW 330Li M Sport Baharu membuktikan bagaimana BMW 3 Series terus berevolusi – iaitu dengan kekal setia pada warisannya sambil menyambut baik masa hadapan mobiliti premium.

Model ini dikuasakan oleh enjin petrol 4-silinder 2.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 258hp dan tork 400Nm. Dengan prestasi ini, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 6.2 saat, dan mencapai kelajuan maksimum sehingga 250km/j.

(more…)

MINI, jenama automotif kompak premium paling sofistikated, meraikan legasi serta evolusi berterusan John Cooper Works (JCW) dengan pengenalan tiga model baharu yang mengujakan. Selain itu, MINI Cooper Convertible Baharu turut menyertai barisan penambahan terbaharu dalam keluarga MINI, menawarkan pengalaman pemanduan bumbung terbuka yang unik sejajar dengan semangat MINI “Always Open”.

Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, berkongsi, “Sukar untuk dipercayai bahawa hanya sembilan bulan lalu kami memperkenalkan keluarga MINI Baharu kepada rakyat Malaysia, dan keterujaannya terus berkembang hingga ke hari ini. Hari ini, kami sekali lagi mengangkat nama lagenda John Cooper Works, yang pertama kali menempa nama dalam sejarah sukan permotoran di jalan-jalan ikonik Monte Carlo, dan kini diraikan di seluruh dunia. MINI JCW Baharu meneruskan legasi gemilang ini sebagai pewaris sejati, menghidupkan semula enjin berprestasi tinggi dan kelincahan mendebarkan yang telah menjadikan JCW satu legenda. Sebagai lambang DNA prestasi MINI, MINI JCW Baharu direka untuk memberikan keterujaan dan pengalaman pemanduan yang mendebarkan, ciri yang sentiasa menjadi identiti JCW – ringan, berkuasa, dan sememangnya MINI!”

Beliau menambah, “Dengan pengenalan MINI JCW Serba Elektrik yang Pertama dan MINI JCW Aceman Serba Elektrik yang Pertama, kami memperluaskan pengalaman pemanduan JCW yang tidak dapat disangkal lagi kepada lebih ramai peminat, memenuhi pelbagai citarasa sambil kekal setia kepada DNA berprestasi tinggi yang menjadi teras model JCW. Model-model elektrik ini meneruskan legasi perlumbaan MINI ke masa hadapan, dengan prestasi mendebarkan yang dipacu oleh kuasa elektrik. Pada masa yang sama, kami juga memperkenalkan MINI Cooper Convertible Baharu, yang menonjol dalam barisan MINI dengan pengalaman pemanduan bumbung terbukanya dan reka bentuk memikat, menjadikannya sememangnya tiada tandingan. Di MINI, keunikan adalah teras kepada setiap yang kami lakukan, dan barisan model ini meraikan semangat unik yang menjadikan setiap MINIac begitu menyerlah di jalan raya.” 

Barisan model MINI JCW terkini terus mengangkat legasi prestasi dan warisan perlumbaan, yang bermula daripada kejayaan MINI klasik dalam Rali Monte Carlo, yang mana kelincahannya membolehkan ia menewaskan kenderaan yang jauh lebih besar dan berkuasa. Mewarisi semangat perlumbaan yang ikonik ini, rangkaian John Cooper Works (JCW) telah lama sinonim dengan prestasi luar biasa serta kelincahan, justeru itu model-model baharu ini terus membawakan pengalaman pemanduan yang tiada tandingan, sama ada dengan enjin berprestasi tinggi atau serba elektrik. Diperkenalkan seiring dengan barisan MINI JCW Baharu yang berkuasa petrol dan serba elektrik, MINI Cooper Convertible Baharu mencerminkan falsafah “Always Open” – pengalaman pemanduan bumbung terbuka yang unik, kini digandingkan dengan kokpit serba digital yang canggih, menawarkan keseronokan pemanduan dan kebebasan sebenar.

MINI John Cooper Works – Warisan Perlumbaan dan Gaya Sporty yang Tersendiri.

Rangkaian John Cooper Works merupakan kemuncak gaya sporty dan individualiti, mempersembahkan tiga model baharu yang menonjol dengan reka bentuk ikonik serta dipadankan dengan perincian premium berasaskan prestasi. MINI JCW Baharu terus mengekalkan warisan perlumbaan unggul jenama ini, dengan menawarkan binaan ringan dan pengendalian ala go-kart yang tiada tandingan, sambil memfokuskan pada enjin prestasi tinggi dan kelincahan yang menjadi terasnya. Melangkah ke hadapan, MINI JCW Serba Elektrik yang Pertama dan MINI JCW Aceman Serba Elektrik yang Pertama menyuntik semangat lagenda JCW dengan kuasa elektrik, menyebarkan keterujaan kepada lebih ramai peminat, sambil mengekalkan tarikan prestasi unggul untuk semua peminat setia MINI. 

(more…)

UMW Toyota Motor (UMWT) terus melakar kejayaan  yang meyakinkan pada April 2025, apabila mencatat jualan sebanyak 7,932 unit  kenderaan pada bulan berkenaan, sekali gus menjadikan jualan terkumpul  setakat tahun ini kepada 27,876 unit. Pencapaian ini mengukuhkan lagi hubungan  erat UMWT dengan rakyat Malaysia—satu ikatan yang dibina atas asas  kepercayaan, kualiti, dan usaha bersama ke arah kemajuan menerusi mobiliti.

“Di UMW Toyota Motor, kami tidak hanya menghasilkan kenderaan—kami  menggerakkan aspirasi dan harapan bermakna, ke arah masa depan yang lebih  lestari,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor. “Dengan  berpaksikan strategi Multipathway, kami menawarkan pelbagai pilihan elektrifikasi  yang membolehkan pengguna membuat pilihan yang lebih hijau, tanpa  melupakan prestasi, keselamatan atau keseronokan pemanduan. Inilah janji kami:  untuk menjadi rakan mobiliti yang memperkasa rakyat Malaysia, membina dunia  yang lebih bersih, lebih pintar dan lebih terhubung.”

Memacu Masa Depan Lebih Lestari di Malaysia Autoshow 2025

Komitmen UMW Toyota Motor terhadap kelestarian dan inovasi akan  diterjemahkan secara nyata di pentas berprestij Malaysia Autoshow 2025 yang  bakal berlangsung tidak lama lagi. Di sinilah aspirasi dan teknologi bersatu—di  mana UMWT bakal mempamerkan rangkaian inovasi terbaharu dalam dunia  mobiliti elektrik hibrid. Dipandu oleh strategi Multipathway yang holistik, UMWT akan terus membawakan penyelesaian mobiliti yang bukan sahaja mesra alam,

tetapi juga praktikal, mudah diakses dan selari dengan wawasan jangka panjang  menuju masa depan sifar karbon. Butiran acara adalah seperti berikut:

Tarikh: 9 hingga 15 Mei 2025

Tempat: MAEPS Serdang, Selangor

Masa: 10 pagi – 10 malam

(more…)

Bulan April menyaksikan Proton mencapai peningkatan jualan unutk menambah  pegangan pasaran bagi syarikat. Jualan kumpulan pada bulan itu mencapai 12,692 unit (domestik, eksport,  smart, Proton e.MAS), peningkatan 14.7% berbanding bulan yang sama pada 2024 dan hasilnya, bahagian  pasaran bagi bulan itu dianggarkan sebanyak 20.8%. Sebaliknya, Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan  meningkat hanya 1.8% berbanding April tahun lalu kepada 60,886 dan menurun sebanyak 16.3% berbanding Mac akibat kesan tempoh perayaan.  

Keputusan ini telah mengukuhkan kedudukan syarikat di tangga kedua pada senarai jualan automotif Malaysia dan datang padamasa tawaran dan potongan harga oleh jenama baharu mengakibatkan keadaan pasaran yang  sangat kompetitif dan memberi pembeli kereta pelbagai pilihan. 

Proton e.MAS 7 mendahului jualan EV keseluruhan dan tiga model ICE mendahului segmen

Salah satu kisah kejayaan terbesar untuk 2025 ialah prestasi jualan yang kukuh bagi Proton e.MAS 7, yang  menyaksikan jumlahnya meningkat setiap bulan sejak pelancaran pada 16 Disember 2024. Trend itu berterusan  pada April apabila model EV pertama Proton menembusi kekangan 800-unit dengan mencapai 863-unit  (domestik + eksport). Ini menjadikan jualan tahun sehingga kini (YTD) kepada 2,716 unit dan meletakkan model  itu sebagai EV terlaris di negara dan jenama Proton e.MAS di tempat kedua untuk jualan EV keseluruhan  walaupun pada masa ini hanya mempunyai satu model dalam rangkaiannya. Lebih penting lagi, hasilnya  bermakna EV kini menyumbang 6% daripada keseluruhan jualan Proton. 

(more…)

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan model Edisi Wolfsburg, yang terdiri daripada Volkswagen Arteon R-Line, Tiguan Allspace Elegance dan Tiguan Allspace R-Line.

Model-model edisi eksklusif yang menjadi tanda penghargaan terhadap Wolfsburg, tanah kelahiran Volkswagen itu akan membuat penampilan sulung pada acara Malaysia Auto Show 2025.

(more…)

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan Golf GTI Black Edition. Ini merupakan versi eksklusif yang berani bagi sebuah model ikonik yang menggabungkan aspek adrenalin dan gaya dalam satu pakej menarik.

Berharga RM258,990 termasuk Pakej Jaminan Volkswagen (VAP), Golf GTI Black Edition ditawarkan dengan rebat pengenalan RM15,000, mengurangkan harga kepada RM243,990.

Lahir daripada warisan model lagenda GTI, Black Edition dicipta khas untuk peminat sejati yang mendambakan keseronokan memandu serta gaya tarikan yang ringkas. Dengan rekaan yang diinspirasikan daripada konsep
‘stealth’, estetika gelap dan aspek dinamik yang telah dipertingkatkan, Golf GTI Black Edition bukan sekadar sebuah kereta, tetapi satu pernyataan.

GTI Black Edition ditawarkan dalam dua pilihan warna luaran yang menarik — Deep Black (hitam) atau Kings Red (merah). Dipasang di Malaysia, model ini menampilkan perincian serta aksesori tulen yang membezakannya
daripada model-model GTI yang lain.

(more…)

Dunia sukan permotoran Malaysia dijangka menerima acara baharu menjelang tahun 2025 menerusi penganjuran kejohanan GR86 Cup Malaysia Series, yang akan menampilkan versi terkini jentera coupe sport Toyota GR86. Dianjurkan oleh Haro Sports and Entertainment Sdn Bhd, siri perlumbaan ini diwujudkan sebagai platform kompetitif yang mesra penyertaan, mengutamakan kemahiran pemanduan berbanding kelebihan teknikal.

Edisi sulung GR86 Cup Malaysia akan dilangsungkan sebagai perlumbaan sokongan sempena pusingan tempatan Siri SUPER GT 2025, yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang dari 26 hingga 28 Jun. Dua perlumbaan pecut 10 pusingan akan membuka tirai siri tersebut, diikuti dua lagi pusingan tambahan – pusingan kedua akan berlangsung bersama perlumbaan 300km Siri Kejuaraan Malaysia, manakala pusingan terakhir akan menampilkan perlumbaan gaya ketahanan sebanyak 86 pusingan. Kesemua acara akan diadakan di Sepang.

Menurut Rakan Kongsi Urusan Haro Sports and Entertainment, Fahrizal Hasan, GR86 Cup Malaysia Series direka khusus sebagai kejohanan yang menawarkan keseimbangan antara kos penyertaan yang rendah dan cabaran kompetitif yang tinggi. Tambah beliau, siri ini memberi peluang kepada pelumba amatur dan separa profesional untuk beralih ke arena perlumbaan sebenar dengan persekitaran yang terkawal dan seimbang.

(more…)

Leapmotor, pengeluar kenderaan elektrik yang disokong oleh Stellantis, telah memulakan prajualan bagi model crossover C10 tahun 2026 yang diperbaharui di China. Walaupun mengekalkan reka bentuk asalnya, model terbaharu ini hadir dengan sistem kuasa elektrik yang lebih berkuasa serta penambahan teknologi canggih, sejajar dengan komitmen Leapmotor untuk memperkukuh kedudukannya di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Dilancarkan buat kali pertama pada Mac 2024, Leapmotor C10 telah mencapai kejayaan komersial yang memberangsangkan dengan jumlah penghantaran sebanyak 97,103 unit, menurut data yang dikeluarkan oleh China EV DataTracker.

Model C10 2026 mengekalkan dimensi asal — sepanjang 4,739 mm, lebar 1,900 mm dan tinggi 1,680 mm dengan jarak roda 2,825 mm — namun hadir dengan penambahbaikan ketara dari segi prestasi dan kelengkapan. Pelanggan boleh memilih antara rim aloi bersaiz 18 inci atau 20 inci mengikut keperluan.

Antara sorotan utama bagi varian elektrik sepenuhnya ialah penggunaan seni bina 800V berteknologi tinggi yang menyokong pengecasan pantas serta kecekapan sistem nyahcas. Pek bateri baharu berasaskan kimia lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 74.9 kWj menawarkan jarak pemanduan sehingga 605 kilometer mengikut kitaran CLTC.

(more…)

Dalam satu usaha yang menyatukan warisan ikonik dan inovasi prestasi tinggi, Lotus telah melancarkan Emira Clark Edition, model edisi terhad sebagai penghormatan kepada legenda sukan permotoran, Jim Clark. Hanya 60 unit akan ditawarkan secara global, menjadikan ia koleksi eksklusif untuk peminat automotif. Model ini turut membuat kemunculan sulungnya sebagai kereta utama di Grand Prix Formula Satu Miami.

Emira Clark Edition dibangunkan dengan kerjasama The Jim Clark Trust, dan dicipta bagi memperingati tahun kegemilangan 1965 — tahun yang menyaksikan Jim Clark menjuarai Kejuaraan Dunia Formula Satu bersama Team Lotus, serta merangkul kemenangan berprestij di Indianapolis 500. Tidak cukup dengan itu, beliau turut menguasai Formula 2, Siri Tasman di Australia dan New Zealand, serta perlumbaan kereta jelajah menggunakan Lotus Cortina, menjadikan pencapaiannya pada tahun tersebut sebagai salah satu yang paling luar biasa dalam sejarah perlumbaan.

Reka bentuk Emira Clark Edition diinspirasikan terus daripada Lotus Type 38, jentera yang digunakan Clark untuk menawan Indianapolis 500. Badan kereta disempurnakan dengan warna eksklusif Clark Racing Green, diserikan dengan bumbung hitam kontras, cermin sisi perak dan jalur lumba kuning terang di bahagian hadapan. Elemen perlumbaan klasik turut diterapkan melalui penutup bahan api aluminium bermesin dengan anod biru, hujung ekzos kuning dan jalur kuning lukisan tangan sepanjang sisi badan. Lambang khas Clark Edition pada pintu meminjam rekabentuk asal kereta lumba Jim Clark.

Ruang dalaman pula direka untuk membangkitkan semangat perlumbaan era 1960-an. Tempat duduk pemandu dibalut kulit merah dan Alcantara, manakala tempat duduk penumpang menggunakan kulit hitam – satu penghormatan kepada konfigurasi kabin Clark pada tahun 1965. Tombol gear kayu gaya retro dan lencana Jim Clark dengan corak tartan keluarga dari Lochcarron, Scotland, memberikan sentuhan sentimental yang mendalam. Tandatangan Clark turut tertera pada papan pemuka, dan lambang Team Lotus dijahit pada bahagian belakang tempat duduk, menyerlahkan warisan perlumbaan kereta ini.

Setiap unit Emira Clark Edition akan diberi nombor pengeluaran tersendiri pada plat gentian karbon, dan disertakan beg kulit buatan tangan eksklusif dengan hiasan Clark sebagai pelengkap istimewa bagi pemiliknya.

Dari sudut prestasi, edisi istimewa ini mengekalkan enjin supercharged V6 3.5 liter Lotus Emira yang menjana 400hp. Kuasa disalurkan menerusi transmisi manual enam kelajuan bersama limited-slip differential. Antara ciri prestasi lain termasuk stereng hidraulik untuk rasa pemanduan tulen, nota ekzos baharu, Track Mode, dan pakej penggantungan sukan yang ditawarkan melalui Lotus Drivers Pack.

Emira Clark Edition bukan sekadar sebuah kereta — ia adalah penghormatan moden kepada warisan Jim Clark dan bukti pengaruhnya yang kekal dalam dunia perlumbaan serta falsafah kejuruteraan Lotus. Model ini ditawarkan pada harga £115,000 (kira-kira RM646,274) di United Kingdom, manakala di Jerman ia disenaraikan pada €140,000 (sekitar RM666,176).

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube