Dalam satu usaha yang menyatukan warisan ikonik dan inovasi prestasi tinggi, Lotus telah melancarkan Emira Clark Edition, model edisi terhad sebagai penghormatan kepada legenda sukan permotoran, Jim Clark. Hanya 60 unit akan ditawarkan secara global, menjadikan ia koleksi eksklusif untuk peminat automotif. Model ini turut membuat kemunculan sulungnya sebagai kereta utama di Grand Prix Formula Satu Miami.

Emira Clark Edition dibangunkan dengan kerjasama The Jim Clark Trust, dan dicipta bagi memperingati tahun kegemilangan 1965 — tahun yang menyaksikan Jim Clark menjuarai Kejuaraan Dunia Formula Satu bersama Team Lotus, serta merangkul kemenangan berprestij di Indianapolis 500. Tidak cukup dengan itu, beliau turut menguasai Formula 2, Siri Tasman di Australia dan New Zealand, serta perlumbaan kereta jelajah menggunakan Lotus Cortina, menjadikan pencapaiannya pada tahun tersebut sebagai salah satu yang paling luar biasa dalam sejarah perlumbaan.

Reka bentuk Emira Clark Edition diinspirasikan terus daripada Lotus Type 38, jentera yang digunakan Clark untuk menawan Indianapolis 500. Badan kereta disempurnakan dengan warna eksklusif Clark Racing Green, diserikan dengan bumbung hitam kontras, cermin sisi perak dan jalur lumba kuning terang di bahagian hadapan. Elemen perlumbaan klasik turut diterapkan melalui penutup bahan api aluminium bermesin dengan anod biru, hujung ekzos kuning dan jalur kuning lukisan tangan sepanjang sisi badan. Lambang khas Clark Edition pada pintu meminjam rekabentuk asal kereta lumba Jim Clark.

Ruang dalaman pula direka untuk membangkitkan semangat perlumbaan era 1960-an. Tempat duduk pemandu dibalut kulit merah dan Alcantara, manakala tempat duduk penumpang menggunakan kulit hitam – satu penghormatan kepada konfigurasi kabin Clark pada tahun 1965. Tombol gear kayu gaya retro dan lencana Jim Clark dengan corak tartan keluarga dari Lochcarron, Scotland, memberikan sentuhan sentimental yang mendalam. Tandatangan Clark turut tertera pada papan pemuka, dan lambang Team Lotus dijahit pada bahagian belakang tempat duduk, menyerlahkan warisan perlumbaan kereta ini.

Setiap unit Emira Clark Edition akan diberi nombor pengeluaran tersendiri pada plat gentian karbon, dan disertakan beg kulit buatan tangan eksklusif dengan hiasan Clark sebagai pelengkap istimewa bagi pemiliknya.
Dari sudut prestasi, edisi istimewa ini mengekalkan enjin supercharged V6 3.5 liter Lotus Emira yang menjana 400hp. Kuasa disalurkan menerusi transmisi manual enam kelajuan bersama limited-slip differential. Antara ciri prestasi lain termasuk stereng hidraulik untuk rasa pemanduan tulen, nota ekzos baharu, Track Mode, dan pakej penggantungan sukan yang ditawarkan melalui Lotus Drivers Pack.

Emira Clark Edition bukan sekadar sebuah kereta — ia adalah penghormatan moden kepada warisan Jim Clark dan bukti pengaruhnya yang kekal dalam dunia perlumbaan serta falsafah kejuruteraan Lotus. Model ini ditawarkan pada harga £115,000 (kira-kira RM646,274) di United Kingdom, manakala di Jerman ia disenaraikan pada €140,000 (sekitar RM666,176).