Lamborghini kini sedang membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) baharu yang bukan sahaja dapat memahami gaya pemanduan seseorang, tetapi juga mampu membaca emosi pemandu ketika berada di belakang stereng.
Menurut laporan The Drive, Ketua Pegawai Teknikal Lamborghini, Rouven Mohr, menjelaskan bahawa syarikat itu sudah pun menggunakan teknologi pembelajaran mesin untuk menyesuaikan aspek seperti tork bergantung pada keadaan jalan dan gaya pemanduan. Langkah seterusnya, kata beliau, adalah menghasilkan kereta yang dapat mengesan mood pemandu dan menukar kelakuannya mengikut situasi.
Sebagai contoh, sekiranya sistem mengesan pemandu berada dalam mood ceria atau mahu lebih keseronokan, kereta akan menjadi lebih bertenaga dan lincah. Namun, jika pemandu mahukan pemanduan santai, sistem akan menenangkan tindak balas kereta. AI ini juga mampu menyesuaikan tahap sistem keselamatan – memberi lebih kebebasan kepada pemandu berpengalaman, tetapi bertindak lebih cepat jika berlaku kesilapan.







