Dalam langkah strategik untuk mempercepatkan pelan elektrifikasinya, Mazda Motor Corporation telah mengumumkan kerjasama rasmi dengan pengeluar bateri global terkemuka, Contemporary Amperex Technology Co., Ltd. (CATL). Usaha sama ini dijalankan melalui Changan Mazda, hasil perkongsian Mazda dengan Changan Automobile di China, dan akan memanfaatkan teknologi casis pintar bersepadu CIIC (Cell to Chassis Integrated Intelligent Chassis) terkini keluaran CATL.
Platform CIIC yang diperkenalkan oleh CATL pada Disember lalu mewakili pendekatan baharu dalam reka bentuk kenderaan elektrik, dengan struktur gaya papan selaju yang memisahkan bahagian atas dan bawah kenderaan. Pendekatan “decoupled” ini membolehkan penggunaan subsistem modular serta antara muka sambungan yang standard, sekali gus memberikan fleksibiliti yang tinggi dalam pembangunan perisian dan perkakasan kenderaan. Keupayaan ini membolehkan pengeluar seperti Mazda menyesuaikan produk mereka dengan lebih pantas dan cekap mengikut keperluan pasaran yang sentiasa berubah.
Dengan menggabungkan teknologi casis CIIC daripada CATL dengan kepakaran pengeluaran automotif Changan Mazda, kerjasama ini dijangka mempercepatkan tempoh pembangunan dan memperkenalkan kenderaan tenaga baharu (NEV) yang bukan sahaja menepati kehendak pengguna, malah mematuhi peraturan automotif yang semakin ketat di China dan pasaran global.