Didorong oleh komitmennya untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, BYD Sime Motors, pengedar rasmi kereta BYD di Malaysia, menjalinkan kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam usaha mencapai agenda mobiliti rendah karbon negara. Salah satu tujuan utama kerjasama ini adalah untuk mengurangkan emisi karbon melalui penggunaan EV di Malaysia.
Sebahagian daripada kerjasama ini, program bernama “Jom Pandu BYD Bersama MOT” telah dilancarkan dan akan dijalankan selama enam bulan. Disokong oleh rakan niaga BYD Sime Motors, Gentari Sdn Bhd (“Gentari”) melalui Gentari Green Mobility Sdn Bhd, telah memasang dua pengecas EV di ibu pejabat MOT, inisiatif yang membolehkan kakitangan MOT memandu uji semua model EV BYD dan merasai sendiri inovasi di sebalik kemajuan pengangkutan elektrik ini.
Kerjasama ini telah dilancarkan secara rasmi di pejabat MOT di Putrajaya oleh YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan dan Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara, Sime Motors. Turut hadir bersama ialah YB Datuk Haji Hasbi Bin Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan; YBhg. Dato’ Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan; Adeline Lew, Pengurus Besar, BYD Sime Motors; dan Izuan Hafiz, Ketua Mobiliti Hijau MY-SG, Gentari Green Mobility.