Sejak diperkenalkan pada 1985, Proton Saga kekal sebagai pilihan utama rakyat Malaysia yang mencari kereta praktikal dan mampu milik untuk keperluan harian. Model ini terus menarik perhatian golongan siswazah baharu dan pembeli kereta kali pertama, membuktikan kedudukannya yang masih relevan dalam pasaran hingga ke hari ini. Pada tahun ini, Proton Saga menyambut ulang tahun ke-40 pengeluarannya, dan kini ia diiktiraf sebagai ikon nasional serta model Proton paling laris dengan lebih dua juta unit di jual di seluruh dunia.
Sepanjang empat dekad, Proton Saga telah melalui pelbagai perubahan bagi memenuhi cita rasa dan keperluan semasa para pengguna. Namun, ia tetap mengekalkan ciri-ciri utama yang menjadi kekuatannya iaitu praktikal, mampu milik serta keupayaan pengendalian yang terbaik dalam kelasnya. Kualiti Proton Saga juga telah dipertingkatkan dengan ketara, berdasarkan penurunan skor dalam Global Consumer Product Audit (GCPA) daripada 2,580 mata pada Ogos 2024 kepada hanya 1,050 mata pada Mei 2025.
GCPA merupakan kaedah audit kualiti yang digunakan oleh kumpulan Geely dan diadaptasi oleh Proton, di mana skor lebih rendah menunjukkan tahap kualiti yang lebih tinggi. Skor ini menilai isu-isu yang berlaku di barisan pengeluaran mengikut tahap kesulitan masing-masing.