UMW Toyota Motor (UMWT) menamatkan separuh pertama tahun 2025 dengan prestasi jualan yang memberangsangkan, apabila mencatatkan sebanyak 7,773 unit terjual pada bulan Jun sahaja, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif sepanjang tahun ini kepada 44,286 unit. Prestasi ini terus mencerminkan daya tarikan kukuh jenama Toyota dalam kalangan pengguna di Malaysia, berteraskan reputasinya dalam aspek kebolehpercayaan, nilai praktikal, dan inovasi berterusan.
Toyota kekal teguh dalam pelbagai segmen pasaran Malaysia, memenuhi keperluan pengguna dari pelbagai latar belakang—daripada pembeli kereta pertama hinggalah kepada peminat tegar automotif dan pelanggan korporat. Selaras dengan falsafah global “Mobiliti untuk Semua”, UMWT kekal komited dalam menyediakan kenderaan yang bukan sahaja tahan lama tetapi juga relevan dengan gaya hidup moden. Barisan modelnya merangkumi kereta penumpang, SUV, hibrid dan kenderaan komersial, yang semuanya disesuaikan untuk keperluan praktikal harian masyarakat Malaysia.
Toyota Dominasi Super GT Malaysia 2025
UMWT turut mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam dunia sukan permotoran dengan memainkan peranan utama dalam membawa kembali perlumbaan Super GT ke Malaysia selepas 12 tahun. Sebagai Penaja Tajuk Festival Super GT Malaysia yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, jenama Toyota berjaya menarik lebih 75,000 pengunjung sepanjang hujung minggu acara itu.





