Proton X50 serba baharu kini secara rasmi dinobatkan sebagai SUV nombor satu di Malaysia selepas dilancarkan pada 24 Julai lalu. Model segmen-B ini berjaya memikat hati ramai dengan reka bentuk tajam, ciri moden serta ruang dalaman yang lebih kemas.
Hanya pada bulan Ogos sahaja, lebih 4,000 unit terjual, sekali gus menjadikannya peneraju jelas dalam kelasnya. Menariknya, sambutan hangat datang daripada golongan pembeli muda, sama ada melalui pameran jualan mahupun platform digital.
Kejayaan ini turut didorong oleh permintaan tinggi dari Malaysia Timur. Bagi memastikan pelanggan mendapat pengalaman pemilikan terbaik, Proton memberi penekanan kepada sokongan selepas jualan. Pusat Alat Ganti Wilayah di Kuching, Sarawak kini berperanan sebagai hab utama, memastikan bekalan alat ganti sampai kepada pengedar dengan lebih pantas — ada kalanya dalam tempoh hanya dua hari.
Gudang tersebut kini diperluaskan sehingga 28,000 kaki persegi, tiga kali ganda lebih besar berbanding sebelum ini, dan mampu menyimpan stok untuk tempoh sehingga tiga setengah bulan. Lebih menarik, gudang ini turut menerima penghantaran terus dari luar negara, sekali gus menjamin kelancaran bekalan.





