Proton baru-baru ini telah menganjurkan “Penang Proton One Tank Challenge” yang menjadi sebahagian daripada sambutan Hari Sukan Negara peringkat Daerah Seberang Perai Tengah pada 11 Oktober. Sebagai salah satu rakan strategik penganjuran, syarikat berkenaan mengambil peluang ini untuk mengetengahkan model sedan Proton S70 dengan mencabar para pemiliknya menguji kecekapan penggunaan bahan api serta prestasi pemanduan sebenar kenderaan mereka di jalan raya.
Acara ini turut diadakan seminggu selepas Proton diumumkan sebagai salah satu penaja utama Penang Bridge International Marathon (PBIM) 2025, di mana para peserta berpeluang memenangi sebuah Proton S70 baharu melalui cabutan bertuah.
Bertemakan “Pandulah dengan Cekap. Hidup Secara Aktif. Raikan Malaysia”, acara One Tank Challenge ini sejajar dengan objektif Hari Sukan Negara yang memupuk gaya hidup sihat dan aktif. Para peserta menempuh laluan sejauh 110km yang merangkumi jalan di pulau, tanah besar serta kedua-dua jambatan yang menghubungkan Pulau Pinang dan Seberang Perai.
Bermula dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang, seramai 33 orang pemilik Proton S70 mengambil bahagian untuk menguji kemahiran pemanduan berhemah sambil menikmati pengalaman pemanduan yang mengujakan ditawarkan oleh kenderaan mereka.

