BMW telah mendedahkan model baharu iX3 generasi akan datang, yang menandakan satu langkah penting dalam usaha jenama itu untuk menghasilkan kenderaan elektrik yang bukan sahaja berprestasi tinggi, tetapi juga lebih mampan. Model ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Neue Klasse, iaitu pelan jangka panjang BMW untuk mencapai neutraliti karbon sepenuhnya menjelang tahun 2050, dengan sasaran penting yang sedang dilaksanakan secara berperingkat.
iX3 50 xDrive dibangunkan dengan mempertimbangkan kesan terhadap alam sekitar di setiap peringkat, bermula daripada proses pembuatan hinggalah kepada penggunaannya di jalan raya. Menurut data BMW, apabila dicas menggunakan bekalan elektrik biasa di Eropah, iX3 baharu menjadi lebih mesra alam berbanding kereta petrol selepas hanya 21,500 kilometer pemanduan. Jika pula menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui sepenuhnya, kecekapan dicapai lebih awal, iaitu selepas 17,500 kilometer, menjadikan model ini antara EV paling efisien sejak tahun pertama digunakan.
Dalam usaha mengurangkan jejak karbon, BMW berjaya mengurangkan pelepasan rantaian bekalan sebanyak 35% semasa pembangunan model ini. Antara langkah penting yang diambil ialah penggunaan bahan kitar semula dan sumber tenaga boleh diperbaharui. Bateri generasi keenam (Gen6) yang digunakan dalam iX3 kini mengandungi 50% kobalt, litium dan nikel kitar semula, dan keseluruhan pengeluaran baterinya dikuasakan oleh tenaga hijau. Hasilnya, pelepasan karbon yang berkaitan dengan bateri telah dikurangkan sebanyak 42% berbanding generasi terdahulu.

