Segmen kenderaan hibrid di Malaysia bakal menyaksikan kemasukan pemain baharu dengan ketibaan Jaecoo J7 Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV), sebuah SUV yang dijadualkan dilancarkan secara rasmi menjelang penghujung Februari 2025.
Jaecoo Malaysia mengesahkan bahawa unit pertama J7 PHEV yang dipasang secara tempatan telah mula dikeluarkan dari barisan pengeluaran di Shah Alam, menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkenalkan model ini ke pasaran tempatan.
Menurut Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek, J7 PHEV diletakkan sebagai alternatif yang strategik antara kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya. “Kami percaya Jaecoo J7 PHEV memenuhi keperluan pasaran dengan menawarkan kelebihan terbaik daripada kedua-dua teknologi menerusi Sistem Super Hibrid (SHS) termaju kami. Memandangkan ekosistem EV di Malaysia terus berkembang, kami komited untuk menyediakan pengguna dengan peralihan yang lancar ke arah mobiliti hibrid,” katanya.









