CyberSecurity Malaysia (CSM), agensi di bawah Kementerian Digital, telah merasmikan pelancaran Makmal Forensik Kenderaan pertama di Malaysia, sekali gus menandakan satu pencapaian besar dalam memperkukuh keupayaan siasatan digital negara. Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo.
Seperti yang dilaporkan oleh Bernama, makmal ini akan membantu pihak berkuasa dalam pelbagai kes berkaitan kenderaan – daripada siasatan kemalangan jalan raya hinggalah jenayah serius seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan kesalahan rentas sempadan.
Kenderaan moden kini menyimpan pelbagai data penting termasuk corak pemanduan, lokasi GPS, prestasi enjin malah rakaman kamera pemuka (dashcam). Semua maklumat ini boleh dianalisis untuk memahami punca sesuatu insiden atau jenayah.
Menurut Gobind, peranan makmal ini bukan sekadar untuk menyelesaikan kes, tetapi juga untuk mengenal pasti punca utama agar kejadian yang sama dapat dicegah pada masa hadapan. Beliau menegaskan bahawa siasatan hanya akan dijalankan atas permintaan rasmi agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Pada masa yang sama, jaminan diberikan bahawa privasi data pengguna akan sentiasa dilindungi mengikut undang-undang negara.



