Dua penyedia tenaga terbesar di Australia, Origin Energy dan AGL, kini menjalankan ujian teknologi Vehicle-to-Grid (V2G) – satu sistem yang membolehkan kereta elektrik (EV) membekalkan semula tenaga ke grid elektrik, menjadikan EV seumpama bateri mudah alih.
Daripada dua ujian tersebut, projek AGL merupakan yang lebih besar. Ia terbuka kepada pemilik model terpilih daripada Hyundai, Kia, BYD dan Zeekr, dan akan berlangsung selama 12 bulan di beberapa negeri utama. AGL turut bekerjasama rapat dengan pengeluar kereta bagi memastikan jaminan bateri tidak terjejas. Sebagai galakan, 50 peserta pertama akan menerima diskaun khas untuk pengecas dwihala, menjadikan kosnya hampir sama dengan pengecas rumah biasa.
Berbeza pula dengan pendekatan Origin. Syarikat itu menawarkan skim pajakan BYD Atto 3 kepada pelanggan dengan bayaran kurang daripada AUD800 (sekitar RM2,222) sebulan. Pakej ini merangkumi pengecas V2G serta 320kWh tenaga percuma setiap bulan, cukup untuk pemanduan tahunan sekitar 24,000 km. Namun, ujian ini lebih terhad kerana hanya dibuka kepada 50 peserta sahaja dan dijadualkan bermula pada tahun 2026.








