Great Wall Motor (GWM) telah melancarkan Haval Big Dog Plus, versi terbaharu SUV popular mereka yang kini tampil dengan lebih kuasa, lebih teknologi serta pilihan enjin yang pelbagai. Model ini ditawarkan dalam lima varian dengan harga anggaran antara RM88,000 hingga RM119,000, merangkumi pilihan enjin petrol dan juga hibrid plug-in (PHEV).
Dari segi reka bentuk, Big Dog Plus hadir dengan gril baharu yang lebih garang bersama logo HAVAL bercahaya yang lebih besar di bahagian hadapan. Lampu utama bulat yang menjadi identiti model ini masih dikekalkan, manakala bahagian belakang kini menggunakan logo GWM menggantikan tulisan Haval.
Di sisi, kemasan rivet menambah imej lasak. Keupayaan off-roadnya turut dikekalkan dengan sudut pendekatan 24°, sudut berlepas 30°, serta kedalaman meredah air sehingga 560 mm.







