Pengeluar automotif dari China, BYD, terus memperkukuh dominasinya dalam pasaran global kenderaan elektrik (EV) apabila berjaya mengatasi Tesla untuk suku ketiga berturut-turut pada tahun 2025. Pencapaian ini sekali gus mengesahkan BYD sebagai pengeluar EV terbesar di dunia setakat suku ketiga tahun ini.
Menurut data yang dikumpulkan oleh penganalisis automotif “Tongkuai Shuchang”, BYD mencatatkan jualan kumulatif sebanyak 1.61 juta unit EV tulen dari Januari hingga September 2025. Sebagai perbandingan, Tesla hanya menghantar 1.22 juta unit dalam tempoh sama — menjadikan BYD mendahului dengan kelebihan kira-kira 388,000 unit.
Bagi suku ketiga 2025, BYD menghantar 582,500 unit EV di seluruh dunia. Walaupun angka ini menunjukkan penurunan kecil sebanyak 4% berbanding suku sebelumnya, ia masih mencatat peningkatan tahunan sebanyak 31.4%. Tesla pula melaporkan penghantaran sebanyak 497,100 unit, meningkat 29.4% berbanding suku sebelumnya dan 7.4% secara tahunan. Walaupun pencapaian Tesla melebihi jangkaan pasaran, ia masih gagal menyaingi BYD buat empat suku berturut-turut.





