UMW Toyota Motor (UMWT) menutup bulan Ogos 2025 dengan pencapaian cemerlang apabila mencatatkan jualan 9,083 unit dalam tempoh sebulan sahaja. Prestasi ini menjadikan jumlah keseluruhan jualan Toyota sepanjang tahun meningkat kepada 62,246 unit, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai jenama kenderaan bukan nasional paling laris di Malaysia.
Toyota menjelaskan bahawa kejayaan ini berpunca daripada strategi menawarkan pilihan yang pelbagai kepada rakyat Malaysia – sama ada model petrol yang dipercayai ataupun pilihan hibrid yang lebih mesra alam. Pendekatan ini memastikan pelanggan mendapat teknologi yang sesuai dengan keperluan mereka tanpa ketinggalan arus pembangunan automotif.
Jenama Toyota sendiri telah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia selama lebih 60 tahun. Model ikonik seperti Hilux, Vios dan Camry bukan sahaja sinonim dengan kegunaan harian, malah turut menjadi teman setia untuk perjalanan pulang ke kampung mahupun sebagai kenderaan kerja lasak bagi para petani dan peniaga. Sejak tahun 2015, Toyota telah menjual hampir 860,000 unit kenderaan di pasaran tempatan.




