Satu dekad selepas penganjuran buat kali pertama pada tahun 2015, BMW Group Malaysia kembali dengan edisi kedua pameran keseluruhan jenama BMW, menerusi acara MY BMW World 2025 iaitu sebuah pameran yang bertemakan Driven by Legacy, Defined by Progress (Dipacu oleh Legasi, Berteraskan Kemajuan). Acara bermakna ini bukan sahaja memperlihatkan evolusi BMW Group Malaysia sepanjang beberapa dekad, malah mengukuhkan legasi berterusannya dalam menerajui masa hadapan mobiliti.
Diilhamkan oleh konsep Heritage in Motion, acara ini menggabungkan keseimbangan dinamik antara penghormatan terhadap sejarah dengan keterbukaan terhadap inovasi, melambangkan kemajuan yang berakar teguh pada tradisi.
“MY BMW World merupakan satu keraian terhadap identiti kami sebagai sebuah jenama yang diasaskan atas nilai inovasi, kemahiran ketukangan dan semangat untuk menyampaikan Sheer Driving Pleasure. Warisan inilah yang terus menjadi asas kemajuan kami, membolehkan kami berkembang seiring dengan perubahan zaman sambil mengekalkan nilai-nilai teras yang telah memandu kami sejak era 1970-an.
Dalam landskap automotif yang pesat dan kompetitif ini, kami kekal teguh mengharungi cabaran menerusi pendekatan yang dinamik, berpandangan jauh dan bersatu padu dalam mencapai matlamat. Inilah semangat Heritage in Motion, dan MY BMW World menghidupkan naratif ini untuk pelanggan serta komuniti kami yang dihargai,” kata Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.




