BYD dari China terus melakar sejarah baharu apabila berjaya mengeksport kumpulan pertama kereta elektrik (EV) Dolphin yang dipasang di Thailand ke pasaran Eropah. Lebih 900 unit kini sedang dihantar ke Jerman, Belgium dan United Kingdom, sekali gus menandakan langkah penting dalam strategi pengembangan global syarikat tersebut.
Dihasilkan di Thailand, Menuju ke Eropah
Kenderaan ini dipasang di kilang baharu BYD di Rayong, Thailand, yang mula beroperasi pada Julai 2024. Kilang tersebut merupakan fasiliti pemilikan penuh pertama BYD untuk kenderaan penumpang di luar China, dengan kapasiti pengeluaran sehingga 150,000 unit setahun. Menjelang Julai 2025, kilang ini telah pun mengeluarkan sebanyak 90,000 unit, sekali gus membuktikan peranannya sebagai hab global yang penting.
Kilang Rayong beroperasi menggunakan sistem CKD (Completely Knocked Down), iaitu kenderaan dihantar dalam bentuk komponen sebelum dipasang di lokasi. Kaedah ini membantu mengurangkan kos import dan dalam masa sama menyokong industri tempatan.
Elak Tarif, Luaskan Pasaran
Langkah BYD membina kereta di Thailand hadir ketika Kesatuan Eropah mengenakan tarif lebih tinggi terhadap EV buatan China. Terbaru, EU menambah tarif 20.7% di atas kadar sedia ada sebanyak 10%, menjadikan import terus dari China lebih mahal. Dengan menghasilkan kenderaan di Thailand, BYD dapat mengurangkan kesan sekatan perdagangan tersebut dan mengekalkan harga yang lebih kompetitif di pasaran Eropah.
Pertumbuhan Global Kukuh
Antara Januari hingga Julai 2025, BYD berjaya menjual lebih 545,000 unit EV di pasaran luar negara, peningkatan sebanyak 133.5% berbanding tempoh sama pada 2024. Dengan pengeluaran kini melangkaui sempadan China, BYD semakin kukuh mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam pasaran global kenderaan elektrik.