Piston.my

Proton Mencatat Jualan Tertinggi Dalam 36 Bulan Dan Lepasi 100,000 Unit Bagi 2025

Proton mencatat prestasi jualan terbaik dalam tempoh 36 bulan apabila berjaya menjual  sebanyak 15,228 unit (Domestik + Eksport) pada bulan Ogos 2025. Pencapaian ini turut melonjakkan jumlah jualan keseluruhan  tahun ini kepada 100,902 unit, sekali gus mengukuhkan kedudukan Proton di tempat kedua dalam carta jualan industri automotif. Bulan Ogos juga menyaksikan jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan sebanyak 73,890 unit, iaitu paras tertinggi bagi tahun  ini. 

Seiring dengan peningkatan jualan, anggaran pegangan pasaran Proton bagi bulan Ogos turut meningkat kepada 20.6%,  menyamai pencapaian pada bulan April dan naik 1.3% berbanding Julai. Secara keseluruhan, pegangan pasaran Proton kini  dianggarkan 19.5% bagi tahun 2025. 

Model baharu Proton X50 terus mengekalkan momentum daripada bulan Julai, apabila 999 unit berjaya diserahkan hanya dalam  masa tujuh hari selepas pelancarannya. Dengan tempoh sebulan, jualan melonjak sebanyak 107.3% kepada 4,287 unit, sekali gus  menjadikan Proton X50 sebagai peneraju segmen B-SUV dan SUV paling popular di Malaysia. Secara keseluruhan, lebih 5,000  unit telah berada di tangan pelanggan hanya dalam 38 hari selepas pelancaran rasmi. 

Dua model ICE turut mengekalkan kedudukan sebagai peneraju segmen. Proton X90 sebanyak 220 unit, mengekalkan status  sebagai SUV segmen D paling laris, manakala Proton S70 terus kekal sebagai sedan segmen C paling laris dengan jualan 1,210  unit, menjadikan jumlah terkumpul tahun ini kepada 11,960 unit. 

Sebulan selepas meraikan ulang tahun ke-40, Proton Saga kekal sebagai model paling laris Proton. Dengan jualan 6,331 unit  pada Ogos, ia merekodkan bulan kedua berturut-turut melepasi paras 6,000 unit dan kini mengumpul 44,676 unit tahun ini, sekali  gus membuktikan popularitinya walaupun terdapat spekulasi mengenai pelancaran model baharu. 

Sementara itu, Proton X70 sebanyak 627 unit dengan jumlah terkumpul 5,598 unit setakat ini, meningkat 39.4% berbanding tahun  2024. Model Persona dan Iriz masing-masing menyumbang 1,379 unit dan 305 unit pada bulan Ogos. 

Kejayaan awal Proton X50 bukan kebetulan, sebaliknya hasil perancangan yang teliti. Proton telah memastikan kapasiti  pengeluaran mencukupi sebelum pelancaran bagi memenuhi permintaan pasaran. Di samping itu, kempen pra-pelancaran yang  merangkumi penglibatan di media sosial, jelajah seluruh negara serta penajaan anugerah hiburan popular, ditambah insentif  tempahan awal, menjadikan model ini bermula dengan tempahan penuh. 

Sebagai EV No.1 di Malaysia, Proton e.MAS 7 terus mengukuhkan kedudukannya dengan jualan 852 unit (domestik + eksport) pada  Ogos, peningkatan sebanyak 20.7% berbanding Julai, jumlah terkumpul mencecah 5,811 unit setakat ini. Dengan pelancaran yang  bakal tiba bagi Proton e.MAS 5, EV mampu milik pertama negara, serta perasmian Kilang EV Proton di Tanjong Malim, Proton optimis jualan EV akan terus mendapat sambutan baik. 

Selari dengan pertumbuhan segmen EV, jualan eksport Proton kini 49% lebih tinggi berbanding tahun lalu. Ogos merupakan  bulan terbaik bagi eksport dengan 586 unit dihantar ke pelbagai pasaran antarabangsa, menjadikan jumlah terkumpul 3,144 unit. Model utama bagi pasaran eksport ialah Proton X50, diikuti Saga dan Proton e.MAS 7. Malah, Proton e.MAS 7 dijangka  mencatatkan peningkatan menjelang akhir tahun apabila ia bakal dilancarkan secara rasmi di Singapura pada 17 September.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan