Piston.my

Dalam Negara

Kementerian Pengangkutan sedang meneliti cadangan untuk menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB), sebuah agensi khusus yang berperanan menyiasat kemalangan jalan raya secara menyeluruh di seluruh negara.

Inisiatif ini lahir daripada syor pasukan petugas khas yang ditubuhkan susulan dua tragedi besar baru-baru ini — kemalangan maut melibatkan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, dan insiden bas persiaran di Gerik, Perak yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, cadangan tersebut masih di peringkat penilaian namun mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus keselamatan jalan raya. Jika dilaksanakan, penubuhan MTSB akan menjadi kali pertama Malaysia mempunyai badan penyiasatan kemalangan khusus, selari dengan fungsi lembaga keselamatan pengangkutan di beberapa negara maju.

(more…)

iCAUR Malaysia memperkukuh kehadirannya dalam pasaran tempatan dengan melancarkan Hab Komponen iCAUR, sebuah gudang berpusat yang berperanan menyokong operasi selepas jualan serta mempertingkat keupayaan rangkaian pengedarnya yang semakin berkembang.

Bertempat di Kawasan Perindustrian Hicom, Shah Alam, kemudahan seluas 88,000 kaki persegi ini diuruskan oleh Chery Corporate Malaysia dan dikongsi bersama OMODA | JAECOO Malaysia. Beroperasi sejak Mac 2025, hab ini sedang giat memperluas inventori alat ganti menjelang pelancaran rasmi iCAUR 03 di Malaysia pada suku ketiga tahun ini.

Hab tersebut menyimpan lebih 10,000 unit alat ganti dan komponen yang dipilih dengan teliti, menzahirkan komitmen jenama terhadap kesediaan operasi. Kemudahan ini membolehkan penyediaan perkhidmatan selepas jualan yang pantas dan efisien kepada pelanggan di seluruh negara. Ia dijangka menyokong sekurang-kurangnya 16 pengedar menjelang akhir 2025, dengan pelan pengembangan berterusan ke tahun 2026.

Langkah ini seiring dengan falsafah jenama “Born to Play” yang menekankan kesiapsiagaan sejak hari pertama. Disokong oleh rangkaian pembekalan global yang kukuh, iCAUR Malaysia berhasrat menetapkan penanda aras baharu untuk perkhidmatan selepas jualan premium, selain memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab Pemanduan Tangan Kanan (RHD) di ASEAN.

(more…)

Proton dan Touch ‘n Go Sdn. Bhd. mengumumkan kerjasama strategik untuk  mengintegrasikan teknologi RFID Touch ‘n Go ke dalam Proton X50 serba baharu. Kerjasama ini, yang dimeterai melalui  Memorandum Persefahaman (MoU), menandakan satu pencapaian penting dalam memacu ekosistem mobiliti terhubung  di Malaysia. 

Di bawah perjanjian ini, setiap Proton X50 baharu akan dilengkapi dengan tag RFID Touch ‘n Go terus di barisan  pengeluaran, membolehkan akses lancar ke rangkaian lebuh raya berteknologi RFID di seluruh Malaysia. Inisiatif ini  mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat untuk menyediakan pengalaman pemanduan yang lebih pintar dan mudah  bagi pengguna di Malaysia. 

Majlis menandatangani perjanjian ini berlangsung di ibu pejabat Proton Centre of Excellence di Shah Alam.  Penandatangan bagi pihak MoU ini ialah Praba Sangarajoo, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go, dan Zhang Qiang,  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, manakala saksi bagi perjanjian ini ialah Jarrod Wong, Pengarah Jualan  Touch ‘n Go, serta Ong Chee Wooi, Ketua Jualan Proton Edar. 

“Ini tentang kepuasan segera,” kata Praba Sangarajoo, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Sdn. Bhd. “Anda memandu  keluar Proton X50 baharu dari bilik pameran dengan RFID yang sudah siap dipasang — begitu sahaja. Ini bukan sekadar  mengenai mobiliti pintar; ia mengenai membawa nilai sebenar dan keseronokan ke dalam perjalanan harian.” 

(more…)

Proton telah memulakan separuh kedua tahun ini dengan prestasi yang kukuh apabila  jualan kereta di Malaysia kembali melonjak selepas prestasi kurang memberangsangkan pada bulan Jun. Jualan  keseluruhan syarikat pada bulan ini adalah 13,518 unit, peningkatan sebanyak 22.1% berbanding bulan sebelumnya.  Pencapaian ini mendorong jualan tahun hingga kini (YTD) kepada 85,674 unit untuk tujuh bulan pertama 2025, sekaligus  mengukuhkan posisinya di tangga kedua dalam kedudukan jualan nasional. 

Pegangan pasaran bagi bulan ini dianggarkan sebanyak 19.2%, dengan angka pegangan pasaran YTD semasa  sebanyak 19.3%. Ini merupakan peningkatan 0.6% berbanding keseluruhan tahun 2024, yang mencatat 18.7% untuk  setahun penuh apabila jualan kereta Malaysia mencapai tahap jualan tertinggi baharu. Jumlah Keseluruhan Industri (TIV)  untuk Julai dianggarkan pada 70,545 unit, peningkatan sebanyak 28.7% berbanding bulan Jun dan merupakan angka  jualan bulanan kedua tertinggi untuk tahun 2025. 

Dilancarkan pada 24 Julai, Proton X50 Serba Baharu merupakan pemacu peningkatan volum yang utama bagi syarikat  pada bulan lalu. Dengan 999 unit diserahkan dalam tujuh hari terakhir pada bulan tersebut, ia mengakhiri Julai dengan  jumlah jualan melebihi 2,000 unit buat kali ketiga pada tahun 2025 dan mencapai angka 2,068 unit. 

(more…)

Kerajaan Negeri Johor sekali lagi menggesa pentadbiran persekutuan supaya mengetatkan undang-undang sedia ada, bagi membolehkan tindakan terus diambil terhadap pemilik kenderaan berdaftar asing yang dikesan membeli petrol bersubsidi RON95.

Menurut laporan NST, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han, berkata cadangan tersebut telah dikemukakan kepada kerajaan persekutuan sejak empat bulan lalu. Beliau menjelaskan bahawa mengikut peraturan semasa, penguatkuasaan hanya boleh dilaksanakan terhadap pengusaha stesen minyak, manakala pemandu asing yang melanggar larangan ini kebanyakannya terlepas daripada tindakan undang-undang.

Kerajaan negeri, katanya, akan terus melobi supaya pindaan dibuat bagi memberi kuasa kepada pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengenakan hukuman secara langsung ke atas pesalah. Perubahan ini, tegas beliau, penting demi melindungi sumber negara dan memastikan undang-undang Malaysia dipatuhi.

(more…)

Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengenal pasti lebih 1,000 lokasi di seluruh negara sebagai kawasan berisiko tinggi atau “black spot” yang memerlukan penambahbaikan segera dari segi infrastruktur dan keselamatan jalan raya.

Menurut laporan Harian Metro, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kebanyakan kawasan ini terletak di sepanjang jalan persekutuan dan mempunyai ciri berbahaya seperti selekoh tajam, pencahayaan tidak mencukupi, serta permukaan jalan yang rosak. Beliau menegaskan bahawa kerajaan memberi keutamaan kepada kerja-kerja pembaikan bagi mengurangkan risiko kemalangan di lokasi-lokasi ini.

Sebagai sebahagian daripada langkah berterusan meningkatkan keselamatan di zon rawan kemalangan, sebanyak 300 lampu jalan berkuasa solar telah dipasang di Lebuhraya Timur-Barat Gerik-Jeli (JRTB).

(more…)

Lexus Malaysia secara rasmi membuka pintu kepada Lexus Subang Jaya, sebuah kemudahan 3S yang serba baharu dan sepenuhnya terintegrasi, direka untuk memenuhi keperluan komuniti yang dinamik dan berkembang. Terletak di SS16, cawangan baharu ini mempunyai lokasi yang strategik untuk memberi perkhidmatan kepada pelbagai demografi daripada kejiranan yang sudah lama terbina dan golongan profesional muda, sehinggalah kepada keluarga baharu dan pelajar institusi pengajian tinggi di tengah-tengah Lembah Klang.

Dibina dengan perhatian teliti terhadap setiap perincian yang menjadi tanda tangan Lexus, pusat baharu ini menawarkan Jualan, Servis dan Alat Ganti (3S) di bawah satu bumbung, memastikan perjalanan pelanggan yang lengkap dari pembelian hingga penjagaan selepas jualan. Bilik pameran ini direka dengan ruang yang dipertimbangkan sepenuhnya, disesuaikan untuk memberikan pengalaman yang lancar dan peribadi kepada pelanggan.

Dari sudut servis, pusat ini dilengkapi dengan teknologi diagnostik terkini dan dikendalikan oleh juruteknik yang diperakui oleh Lexus, memastikan kenderaan diselenggara dengan tahap ketepatan dan kecekapan yang tertinggi.

(more…)

Edaran Otomobil Nasional (EON), anak syarikat DRB-HICOM Berhad dan salah satu peneraju utama dalam ekosistem automotif pelbagai jenama serta penyedia penyelesaian mobiliti terkemuka di Malaysia, hari ini secara rasmi melancarkan EON & Sahabat Autofest 2025. Ini merupakan penganjuran kali kedua acara utama yang menggabungkan elemen automotif dan gaya hidup, yang sedang berlangsung sehingga 10 Ogos 2025 di EON Glenmarie, Shah Alam..

“EON & Sahabat Autofest 2025 menampilkan kekuatan ekosistem luas kami, termasuk kemudahan kepada pelanggan dengan mengumpulkan pelbagai jenama kereta di bawah satu tempat. Berurusan dengan EON bukan hanya sekadar satu transaksi – ia adalah permulaan hubungan jangka panjang yang dibina atas kepercayaan yang berterusan melangkaui pembelian kenderaan anda,” kata Akkbar Danial, Ketua Pegawai Eksekutif EON Berhad.

Penganjuran Autofest tahun ini menandakan transformasi EON sebagai rakan mobiliti moden, dengan pengenalan identiti jenama baharu yang diperbaharui dan disatukan untuk keseluruhan Kumpulan Syarikat EON. 

Berteraskan pengenalan slogan baharu EON, “Semangat Memacu Aspirasi”, yang melambangkan usaha syarikat untuk memberi nilai kepada pelanggan melalui perkhidmatan yang bersemangat, inovasi, dan mobiliti yang mudah diakses. Slogan ini disokong oleh visi jenama EON iaitu “Menerajui mobiliti masa hadapan, dipacu dengan hati,” yang menunjukkan komitmen syarikat terhadap penyelesaian masa depan yang progresif dan berfokuskan pelanggan.

(more…)

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat Proton, hari ini secara rasmi melancarkan Jelajah MISI 5, pengembaraan ke seluruh negara untuk memperkenalkan model kedua Proton e.MAS. Model e.MAS 5, sebuah kenderaan EV mampu milik bakal menjelajah lima wilayah di seluruh negara dari Ogos hingga Oktober 2025.

Menerusi pratonton eksklusif di lokasi-lokasi tumpuan pelancongan serta di bilik pameran Proton e.MAS di 13 negeri, Jelajah MISI 5 bertujuan untuk membawa pengalaman EV kepada rakyat Malaysia. Orang ramai berpeluang melihat dan merasai sendiri kecanggihan e.MAS 5 lebih awal sebelum pelancarannya yang dijadualkan pada hujung tahun ini.

Dengan tumpuan di lokasi pelancongan dan hentian di bilik pameran Proton e.MAS, Jelajah MISI 5 membawakan pengalaman EV terus kepada rakyat Malaysia. Ia memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat e.MAS 5 lebih awal sebelum pelancarannya.

Menjelajah ke Lembah Klang, Utara, Selatan, Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak, orang ramai berpeluang mengenali e.MAS 5 dengan lebih dekat menerusi sesi penerangan, melihat sendiri kenderaan canggih ini, serta menyertai aktiviti interaktif yang menarik. Aktiviti ini diadakan untuk mempamerkan reka bentuk moden, ruang simpanan yang luas dan teknologi pintar e.MAS 5.

(more…)

Proton telah memperkenalkan pratonton rasmi model terbaharu dalam barisan kenderaan elektrik (EV) mereka — e.MAS 5, yang merupakan model kedua dalam siri e.MAS. Pendedahan awal ini menandakan satu langkah penting dalam pelan elektrifikasi Proton, menunjukkan komitmen pengeluar nasional untuk membangunkan EV yang praktikal, mampu milik dan canggih untuk rakyat Malaysia.

Walaupun sebahagian besar rekaan luaran masih diselubungi untuk mengekalkan elemen kejutan, Proton mendedahkan beberapa maklumat penting dari segi spesifikasi teknikal dan rekaan awal yang menonjolkan aspirasi syarikat dalam pasaran EV yang semakin berkembang pesat.

Dua Varian, Dua Pilihan Jarak Pemanduan

Proton e.MAS 5 akan ditawarkan dalam dua varian semasa pelancaran: Prime dan Premium. Kedua-duanya hadir dengan kapasiti bateri berbeza yang dibekalkan oleh syarikat terkemuka CATL. Varian Premium dilengkapi dengan bateri LFP (lithium iron phosphate) yang lebih besar, mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 325km dengan sekali cas. Sementara itu, varian Prime menggunakan bateri bersaiz lebih kecil, menawarkan jarak sekitar 280km.

Ruang Dalaman Luas, Walaupun Rekaan Kompak

Walaupun bersaiz luaran kompak, e.MAS 5 menampilkan ruang dalaman yang mengagumkan, hasil daripada rekaan lantai rata EV, yang membolehkan ruang kaki lebih luas terutama di bahagian belakang. Proton menyatakan bahawa model ini selesa memuatkan lima orang dewasa, dan perkara ini turut dibuktikan dalam ujian langsung yang melibatkan lima individu berbadan besar duduk serentak di dalam kabin.

Rekaan Futuristik dan Aerodinamik

Rekaan luarannya menggabungkan gaya minimalis dan elemen aerodinamik yang kemas, seakan-akan menyerupai rekaan model-model dalam rangkaian SMART. Antara ciri menarik termasuk lampu depan LED berbentuk bulu, roda 16 inci yang dioptimumkan dari segi aerodinamik, serta pemegang pintu separa tersembunyi untuk memberikan rupa lebih moden dan bersih. Varian Premium turut hadir dengan bumbung dua tona, memberikan kesan visual seakan-akan terapung yang meningkatkan daya tarikan estetik.

Paparan Digital dan Teknologi Canggih

Di dalam, tumpuan diberikan kepada paparan skrin sentuh HD sebesar 14.6 inci, lengkap dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Sistem ini dikuasakan oleh pemproses automotif berprestasi tinggi, manakala sistem pengenalan suara dalam Bahasa Melayu dan Inggeris disokong melalui platform ATLAS Auto — sama seperti dalam Proton X50 terbaharu. Reka bentuk dalaman turut diserikan dengan pemilih gear gaya kristal dan stereng dua tona, memberikan sentuhan mewah kepada kabin.

Ruang Simpanan yang Bijak dan Luas

e.MAS 5 menawarkan 32 ruang simpanan dalaman, termasuk ruang but belakang seluas 375 liter, yang boleh ditingkatkan kepada 1,320 liter apabila tempat duduk belakang dilipat rata. Tambahan menarik ialah frunk (but hadapan) berkapasiti 70 liter yang dilengkapi tupang hidraulik, memudahkan akses dan menambah utiliti harian.

Pengecasan Pantas dan Prestasi Bandar yang Cekap

Menyedari isu infrastruktur pengecasan EV yang masih berkembang, Proton menyertakan peta pengecas masa nyata dalam sistem infotainmen. Untuk pengecasan pantas, bateri boleh dicas dari 30% hingga 80% dalam hanya 21 minit. Meskipun model ini tidak menumpukan kepada kelajuan maksimum, prestasinya tetap memadai bagi pemanduan harian bandar, dengan pecutan 0 hingga 50km/j dalam hanya 3.9 saat.

Kuasa disalurkan kepada roda belakang melalui motor elektrik tunggal, digabungkan dengan suspensi belakang berbilang pautan, yang memberikan keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian.

Ciri Keselamatan Bertaraf Tinggi

Proton tidak berkompromi dari segi keselamatan. e.MAS 5 dilengkapi dengan enam beg udara serta sistem ADAS (Advanced Driver Assistance System) yang merangkumi 12 ciri keselamatan pintar, termasuk kawalan pelayaran adaptif, amaran keluar lorong, dan pengenalan tanda lalu lintas.

MISI 5: Menjelajah Seluruh Negara

Bagi membolehkan rakyat Malaysia merasai sendiri kehebatan e.MAS 5, PRO-NET telah melancarkan jelajah pratonton “MISI 5”, yang akan mengunjungi lima wilayah utama di seluruh negara. Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang EV dan memperkenalkan e.MAS 5 sebagai kenderaan kompak elektrik yang praktikal, berteknologi tinggi dan mesra keluarga.

Dengan segala yang ditawarkan — dari rekaan menarik, teknologi pintar, hingga ciri keselamatan menyeluruh — Proton e.MAS 5 bersedia untuk mengubah landskap EV mampu milik di Malaysia, dan memacu negara ke arah mobiliti masa hadapan yang lebih lestari.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube