Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, hari ini memperkenalkan Ford Mobile Service (FMS), yang bakal mentakrifkan semula khidmat selepas jualan dengan menyediakan kemudahan penyenggaraan profesional dan kerja baik pulih ringan secara terus ke depan pintu pelanggan. Inisiatif ini, yang dimulakan sebagai program perintis di pengedar Ford Ara Damansara, dirangka untuk memperluas dan menyenangkan pelanggan mendapatkan khidmat servis dengan tahap piawaian kualiti tertinggi, tanpa perlu mengunjungi pusat servis.
Direka untuk memberikan fleksibiliti kepada pelanggan, FMS membolehkan pelanggan menempah khidmat juruteknik bertauliah Ford untuk melaksanakan pelbagai perkhidmatan penyenggaraan pada masa dan di lokasi pilihan mereka. Perkhidmatan yang disediakan antara lain termasuk pertukaran minyak enjin, pemeriksaan berbilang titik, penggantian bateri, pertukaran pengelap dan penapis. Semua perkhidmatan disediakan menggunakan alat ganti tulen Ford dan perkakas yang diluluskan oleh pengeluar, menjamin ketenangan fikiran dan prestasi yang diyakini.
Turse Zuhair, Pengarah Urusan Auto ConneXion-Ford, berkata, “Kami bersukacita untuk memperkenalkan Ford Mobile Service sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menawarkan kemudahan dan nilai lebih tinggi yang mempertingkatkan pengalaman pemilikan. Inisiatif ini membolehkan pelanggan mendapatkan khidmat penyenggaraan profesional bagi kenderaan masing-masing dengan tahap keyakinan sama yang diharapkan daripada pusat servis pengedar. Dalam usaha kami terus meningkatkan piawaian perkhidmatan kami yang tinggi, kami tetap memberi tumpuan kepada penyediaan penyelesaian yang memenuhi jangkaan pelanggan kami dari segi kualiti, kebolehpercayaan dan penjagaan yang diyakini.“