Piston.my

Luar Negara

Hyundai Motor Group, melalui pusat inovasi globalnya Hyundai CRADLE, telah bekerjasama dengan syarikat biomaterial UNCAGED Innovations untuk membangunkan bahan gantian kulit yang lebih mesra alam bagi kegunaan dalaman kenderaan. Usaha ini menonjolkan komitmen Hyundai terhadap kelestarian dan rekaan automotif yang lebih hijau.

Bahan baharu ini direka untuk menyerupai rupa dan rasa kulit asli, tetapi dengan kesan alam sekitar yang jauh lebih rendah. Berbanding kulit tradisional, ia mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 95%, menggunakan 89% kurang air, serta memerlukan 71% kurang tenaga. Walaupun mesra alam, ia tetap mengekalkan ciri ketahanan, keselesaan dan kemasan premium yang sesuai untuk kenderaan moden.

(more…)

Sebuah model konsep Audi bocor di internet, mendahului pelancaran rasmi yang dijadualkan berlangsung di Milan dan Pameran Motor Munich minggu depan.

Gambar coupe elektrik itu pada mulanya muncul di laman Facebook rasmi Audi Canada sebelum dipadamkan, namun sudah cukup pantas dikongsi semula melalui seorang pengguna Instagram.

Model dua pintu tersebut yang masih belum didedahkan namanya menampilkan bahasa reka bentuk yang berani – garisan bersegi tajam, lampu hadapan yang nipis serta lampu belakang tirus. Paling mencuri perhatian ialah penggunaan louvre menggantikan cermin belakang, satu ciri unik yang sebelum ini hanya dibayangkan melalui video acah rasmi Audi.

Konsep ini dipromosikan dengan slogan “Strive for clarity”, yang mengaitkan kereta tersebut dengan warisan rekaan ikonik Audi seperti TT generasi pertama, konsep Avus Quattro, dan jentera perlumbaan Auto Union era 1930-an. Lebih menarik, ia merupakan projek sulung ketua reka bentuk baharu Audi, Massimo Frascella, yang menyertai syarikat itu pada 2024 selepas lebih 10 tahun bersama Jaguar Land Rover. Frascella menekankan pendekatan rekaan yang lebih moden, ringkas dan berpandangan jauh – berbeza daripada mengitar semula gaya retro.

1991 Avus Quattro Concept

(more…)

Volvo Cars secara rasmi melancarkan model terbaharunya, XC70 Plug-In Hibrid, yang mencatatkan sejarah baharu untuk jenama tersebut apabila mampu mencapai jarak pemanduan elektrik melebihi 200km dengan sekali cas penuh mengikut kitaran CLTC. Ini menjadikannya model hibrid plug-in paling berkeupayaan pernah dihasilkan Volvo, selari dengan visi syarikat menuju mobiliti lestari.

Dibangunkan atas platform Scalable Modular Architecture (SMA), XC70 direka khas untuk pelanggan yang inginkan pengalaman pemanduan elektrik yang lebih panjang tanpa mengorbankan fleksibiliti perjalanan jarak jauh. Tempahan awal telah dibuka di China, manakala pasaran Eropah dijangka menyusul tidak lama lagi.

Keistimewaan utama model ini ialah teknologi pengecasan pantas yang membolehkan baterinya dicas dari 0 hingga 80% dalam hanya 23 minit. Ia juga menyokong pengecasan dua hala (bi-directional charging), membolehkan tenaga disalurkan semula bagi menghidupkan peralatan elektrik – sesuai untuk aktiviti luar atau perkhemahan. Apabila digabungkan dengan enjin petrol, XC70 menawarkan jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,200km.

(more…)

Aston Martin sekali lagi mencuri tumpuan di barisan hadapan Formula 1 dengan pelancaran model berprestasi terbaharunya, Vantage S, yang kini rasmi menjadi Kereta Keselamatan FIA Formula 1. Model ini membuat penampilan sulungnya di Grand Prix Belanda di Zandvoort, melambangkan evolusi paling fokus terhadap prestasi dalam barisan Vantage setakat ini.

Dikuasakan oleh enjin V8 4.0 liter pengecas berkembar turbo yang dibina sepenuhnya secara manual, Vantage S menghasilkan 680 PS serta 800 Nm tork, membolehkannya memecut dari sifar hingga 100 km/j dalam hanya 3.4 saat dengan kelajuan maksimum 325 km/j.

Bagi memastikan tahap prestasi optimum ketika memimpin deretan jentera lumba paling pantas di dunia, Vantage S dilengkapi dengan naik taraf aerodinamik tambahan termasuk decklid spoiler penuh lebar dan lampu bar belakang yang dipasang secara tengah. Kedua-duanya direka khusus bagi meningkatkan kestabilan dan keterlihatan dalam situasi sebenar di litar.

(more…)

Geely baru sahaja memperkenalkan model terbaharunya di bawah sub-jenama Galaxy, iaitu Galaxy Starshine 6. Sedan ini diposisikan sedikit di bawah Galaxy A7 dan disasarkan kepada pembeli yang mahukan kereta hibrid bergaya moden untuk 81,800 hingga 117,800 yuan (sekitar RM53,000 to RM77,000).

Starshine 6 direka berasaskan falsafah “Galaxy Ripple” dengan menampilkan gril poligon besar yang dihiasi jalur krom menegak, lampu utama tajam serta bampar bawah bergaya sporty. Bahagian belakang pula dilengkapi jalur lampu LED merentangi but, spoiler bumbung kecil serta bampar dwitona. Pelanggan boleh memilih rim bersaiz 16- atau 17-inci, dengan pilihan tambahan bumbung suria. Menariknya, Geely masih mengekalkan pemegang pintu konvensional, tidak seperti banyak model EV baharu yang menggunakan pemegang jenis rata.

Model ini berukuran 4,806 mm panjang, 1,886 mm lebar dan 1,490 mm tinggi dengan jarak roda 2,756 mm. Secara keseluruhan, saiznya lebih besar sedikit berbanding sebuah Honda Civic. Berat kereta pula bergantung pada varian, iaitu antara 1,505 kg hingga 1,580 kg.

(more…)

Syarikat kejuruteraan British, RML Group, akhirnya mendedahkan jentera yang dinanti-nantikan – GT Hypercar, sebuah kereta yang menggabungkan teknologi perlumbaan dengan keselesaan pemanduan harian. Dibangunkan berasaskan Porsche 911 Turbo S, model ini telah direka semula sepenuhnya dengan penggunaan badan gentian karbon, casis bertaraf perlumbaan, serta enjin khas hasil kerjasama dengan Litchfield Motors.

GT Hypercar ini hadir dengan tiga mod pemanduan berbeza:

  • Wet – 600hp, direka untuk pemanduan lebih selamat dalam keadaan jalan licin.

  • Normal – 750hp, sesuai digunakan seharian.

  • Sport/Sport+ – 920hp dengan 955Nm tork, memberikan prestasi maksimum.

Dengan konfigurasi ini, ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 2.4 saat, mencapai kelajuan tertinggi 330 km/j, serta mencatat masa hanya 6 minit 45 saat di Litar Nürburgring.

(more…)

Rolls-Royce sekali lagi mengangkat taraf kemewahan automotif apabila memperkenalkan koleksi edisi khas bagi model coupé elektrikya, Spectre. Dinamakan “Inspired by Primavera” – yang bermaksud musim bunga dalam bahasa Itali – koleksi ini diraikan sebagai simbol keindahan dan pembaharuan musim tersebut melalui rekaan yang amat terperinci serta penuh seni.

Tiga Rekaan Eksklusif

Koleksi ini ditawarkan dalam tiga interpretasi unik iaitu Evanescent, Reverie dan Blossom. Setiap versi menonjolkan sisi berbeza musim bunga, daripada keindahan bunga yang mekar hingga warna-warna lembut yang melambangkan suasana segar. Proses tempahan dibuka sehingga awal tahun hadapan, manakala penghantaran pertama dijadualkan bermula pada musim bunga tahun 2026.

(more…)

BYD dari China terus melakar sejarah baharu apabila berjaya mengeksport kumpulan pertama kereta elektrik (EV) Dolphin yang dipasang di Thailand ke pasaran Eropah. Lebih 900 unit kini sedang dihantar ke Jerman, Belgium dan United Kingdom, sekali gus menandakan langkah penting dalam strategi pengembangan global syarikat tersebut.

Dihasilkan di Thailand, Menuju ke Eropah
Kenderaan ini dipasang di kilang baharu BYD di Rayong, Thailand, yang mula beroperasi pada Julai 2024. Kilang tersebut merupakan fasiliti pemilikan penuh pertama BYD untuk kenderaan penumpang di luar China, dengan kapasiti pengeluaran sehingga 150,000 unit setahun. Menjelang Julai 2025, kilang ini telah pun mengeluarkan sebanyak 90,000 unit, sekali gus membuktikan peranannya sebagai hab global yang penting.

Kilang Rayong beroperasi menggunakan sistem CKD (Completely Knocked Down), iaitu kenderaan dihantar dalam bentuk komponen sebelum dipasang di lokasi. Kaedah ini membantu mengurangkan kos import dan dalam masa sama menyokong industri tempatan.

(more…)

BYD sekali lagi mencipta sejarah apabila prototaip Yangwang U9 berjaya mencatatkan kelajuan tertinggi 472.41 km/j, menjadikannya kereta elektrik terpantas di dunia.

Pencapaian ini bukan sahaja menobatkan U9 sebagai kereta paling laju di China, malah meletakkannya setaraf dengan beberapa hypercar terkenal dunia. Rekod terbaharu ini hadir hanya beberapa bulan selepas U9 mencatat 391.94 km/j pada November lalu, bermakna terdapat peningkatan prestasi hampir 20%.

Dengan kelajuan baharu itu, U9 kini hampir menyamai hypercar berkuasa petrol seperti Koenigsegg Jesko Absolut (531 km/j), Bugatti Chiron Super Sport 300+ (490 km/j) dan SSC Tuatara (474.8 km/j). Hakikat bahawa sebuah kereta elektrik mampu mendekati kelajuan mesin-mesin legenda ini jelas membuktikan sejauh mana teknologi EV telah berkembang.

(more…)

Selepas hampir dua dekad berada di pasaran, Nissan secara rasmi menamatkan pengeluaran model R35 GT-R, menutup tirai kepada salah sebuah kereta prestasi moden paling ikonik. Unit terakhir yang dihasilkan ialah Midnight Purple Premium Edition T-Spec, yang keluar dari barisan pengeluaran di Jepun, satu-satunya pasaran terakhir bagi model ini.

Ikon Supercar Sejak 2007

Dilancarkan pada tahun 2007, R35 GT-R segera muncul sebagai simbol kejuruteraan Jepun dan prestasi tulen. Sepanjang tempoh 18 tahun pengeluarannya, kira-kira 48,000 unit telah dibina tanpa melalui reka bentuk semula sepenuhnya, sebaliknya menerima penambahbaikan berterusan.

Model ini bermula dengan kuasa 480PS, sebelum mencapai sehingga 600PS pada varian NISMO hasil penggunaan enjin VR38DETT V6 berkembar turbo yang dibina secara manual, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda canggih.

(more…)

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube