BYD telah memperkenalkan Seal 05 DM-i 2026, versi terbaharu bagi model hibrid plug-in popularnya yang kini mampu mencapai jarak pemanduan elektrik sehingga 128km dan jarak keseluruhan sehingga 2,000km. Menariknya, semua peningkatan ini hadir tanpa kenaikan harga, dengan harga permulaan kekal pada 79,800 yuan (sekitar RM52,000) — menegaskan komitmen BYD untuk menawarkan nilai hebat pada harga berpatutan.
Dari segi reka bentuk, Seal 05 DM-i mengekalkan gaya “Ocean Aesthetics” yang menjadi identiti model ini, namun dengan penampilan yang lebih kemas apabila gril hadapan dikeluarkan untuk rupa yang lebih moden dan minimalis. Ruang dalaman pula menampilkan gaya ringkas tetapi canggih, lengkap dengan paparan digital 8.8 inci, skrin sentuh tengah 10.1 inci, serta tuil gear jenis kolum baharu yang memberi lebih ruang di konsol tengah.
Untuk ciri keselamatan dan keselesaan, model ini hadir dengan enam beg udara, kawalan pelayaran (cruise control), sistem audio enam pembesar suara, dan sambungan aplikasi telefon pintar untuk kawalan jauh kenderaan. Ruang but berkapasiti 508 liter turut menambah kepraktisan untuk kegunaan seharian mahupun perjalanan keluarga.








