Di sebalik tumpuan utama terhadap pelancaran rasmi SUV tujuh tempat duduk Jetour VT9 dan kehadiran menonjol SUV lasak T2 di Malaysia Autoshow 2025, satu lagi model elektrik telah mencuri perhatian secara senyap – Jetour eVT5, sebuah SUV elektrik kompak yang menjanjikan gabungan prestasi, praktikaliti dan teknologi moden.
Diposisikan sebagai model mesra bandar dengan fokus kepada elektrifikasi, Jetour eVT5 dilengkapi dengan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 53.6 kWh yang dibekalkan oleh CATL. Meskipun dinilai mengikut kitaran ujian NEDC yang kini tidak lagi digunakan secara meluas, eVT5 masih menawarkan jarak pemanduan sejauh 356 kilometer bagi setiap cas penuh. Keupayaan pengecasan pantasnya turut menonjol, dengan kemampuan mengecas daripada 30% ke 80% dalam masa hanya 30 minit melalui port pengecasan hadapan.
Dari segi mekanikal, SUV ini dipacu oleh motor elektrik pacuan hadapan yang menjana kuasa sebanyak 163 PS dan 280 Nm tork. Ia dilengkapi sistem suspensi topang MacPherson di bahagian hadapan dan penyerap hentak jenis multi-link di belakang, memberikan keselesaan dan kestabilan semasa pemanduan. Kuasa pemberhentian pula dibekalkan oleh sistem brek cakera berventilasi di hadapan dan cakera pepejal di belakang, dipadankan dengan rim aloi bersaiz 18 inci dan tayar Giti Comfort 520 bersaiz 215/55.











