Dalam usaha mengukuhkan rantaian bekalan global, BYD Malaysia dan Sime Motors yang merupakan pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, hari ini mengumumkan ketibaan kapal pengangkut BYD dari Zhengzhou ke perairan tempatan, membawa bersama kenderaan BYD yang telah siap dipasang untuk dihantar kepada pengguna di Malaysia.
Kapal roll-on/roll-off (RORO) milik BYD yang berkapasiti 7,000 unit telah memulakan pelayaran sulungnya ke Asia Tenggara dengan penghantaran dijadualkan ke Filipina, Indonesia dan Singapura. Kapal tersebut tiba di North Port, Port Klang semalam, sebelum meneruskan hentian terakhir di Thailand dan kembali semula ke China.
BYD Zhengzhou merupakan kapal ketujuh dalam armada kapal pengangkut khas milik BYD, sekali gus membuktikan keupayaan rantaian bekalan dan logistik syarikat yang kukuh dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kenderaan elektrik (EV). Armada ini adalah sebahagian daripada strategi eksport BYD yang semakin berkembang dan mencerminkan komitmennya terhadap Malaysia sebagai pasaran utama di rantau ini.
Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Motors bagi Asia Tenggara berkata, “Ini merupakan satu pencapaian penting dalam kerjasama kami bersama BYD. Ia melambangkan keyakinan serta potensi pertumbuhan Malaysia sebagai hab EV yang penting. Dengan pengukuhan rantaian bekalan serantau melalui kapal pengangkut BYD, kami kini dapat menjamin masa penghantaran yang lebih singkat, sekali gus mempertingkatkan keupayaan kami untuk memberikan kepuasan pelanggan yang lebih baik. Ini memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat.”











































