Chery Malaysia mencatat sejarah sebagai jenama automotif pertama di negara ini yang menerima pensijilan SIRIM untuk Pek Bateri Kenderaan Elektrik (EV) – Bateri Lithium. Pengiktirafan ini, yang dianugerahkan oleh SIRIM QAS International, mengukuhkan komitmen Chery terhadap piawaian keselamatan dan kualiti tertinggi, sekali gus menonjolkan peranannya sebagai peneraju dalam industri EV.
Pensijilan ini menegaskan dedikasi Chery Malaysia kepada mobiliti mampan dan usaha kelestarian alam sekitar (ESG) tempatan. Ujian bateri EV dijalankan secara menyeluruh di China, mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa UN R100. Ini memastikan bateri Chery memenuhi standard keselamatan dan prestasi yang ketat, memberikan keyakinan kepada pengguna Malaysia terhadap kebolehpercayaan dan inovasi teknologi mereka.
Selain menjadi pencapaian penting bagi Chery, pensijilan SIRIM ini turut menyokong usaha Malaysia dalam mempromosikan pembangunan mampan dan mengurangkan jejak karbon. Langkah ini merupakan sumbangan signifikan kepada masa depan yang lebih bersih dan hijau untuk generasi akan datang.






